Skip to main content

Singapura

Wanita mengaku keguguran gara-gara KKH dalam rencana Wake Up Singapore akan didakwa

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita mengaku keguguran gara-gara KKH dalam rencana Wake Up Singapore akan didakwa

(Gambar-gambar: Facebook/Wake Up Singapore, TODAY/Lim Li Ting)

SINGAPURA: Wanita yang ditukil dalam laporan Wake Up Singapore (WUSG) mengenai dakwaan keguguran di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), pada Isnin (6 Mei) akan didakwa di mahkamah atas tuduhan memfitnah, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (5 Mei).

Wanita terbabit, kini berusia 27 tahun, bakal menjadi individu kedua yang didakwa dengan tuduhan fitnah berkaitan kes ini, selepas pengasas dan pentadbir WUSG, Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, didakwa atas kesalahan sama pada 24 Apr.

Rencana bertajuk "The baby is probably dead - Woman shared a harrowing account of her miscarriage at KKH A&E" (Janinnya mungkin sudah mati - Wanita kongsi pengalaman pahit keguguran di A&E KKH), diterbitkan media alternatif itu pada Mac 2022.

Ia mendakwa bahawa pengurusan salah KKH menyebabkan wanita terbabit mengalami keguguran semasa menunggu selama empat jam di hospital pada 28 Feb 2022, di mana dia tidak ditangani sesiapa.

Menyusuli dakwaan wanita tersebut, KKH menyatakan bahawa tidak ada rekod insiden sebegitu berlaku di hospitalnya lalu memfailkan laporan polis.

Wanita berkenaan kemudian mengaku kepada WUSG bahawa pengakuannya tidak benar dan ini mendorong agensi berita itu mengeluarkan permohonan maaf.

"Sebaik sahaja menerima laporan polis daripada KKH, polis mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) dan selepas itu diberi keizinan untuk menyiasat perkara tersebut," menurut SPF dalam kenyataan medianya.

"Siasatan mendapati bahawa wanita berusia 27 tahun itu dipercayai mengirimkan mesej menerusi akaun Instagram miliknya, kepada akaun Instagram WUSG, yang membutirkan bagaimana dirinya mengalami keguguran di KKH. Siasatan lanjut mendapati bahawa dakwaan oleh wanita berusia 27 tahun itu tidak benar."

Disebabkan perbuatan menerbitkan dakwaan-dakwaan tidak benar, WUSG dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada ketika itu menyatakan bahawa KKH sudah mengenal pasti pesakit dan mendapati beliau ditangani seorang doktor dalam tempoh sejam setibanya di hospital.

MOH juga menyatakan bahawa dia "tidak mengalami sebarang keguguran".

WUSG menerbitkan notis pembetulan tidak lama selepas itu.

Kes Ariffin akan kembali dibicarakan pada 24 Mei.

Sesiapa yang didapati bersalah atas tuduhan fitnah berdepan hukuman penjara dan/atau denda.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita