Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita mengaku dera amah yang turun balkoni dari tingkat 15 untuk larikan diri

Oleh kerana tidak dapat lagi tahan didera oleh majikannya, Cik Sulis Setoywati memanjat balkoni dari tingkat 15 dan turun dari satu balkoni ke balkoni lain dari untuk melarikan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita mengaku dera amah yang turun balkoni dari tingkat 15 untuk larikan diri

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 10:36PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 03:26PM

SINGAPURA: Oleh kerana tidak dapat lagi tahan didera oleh majikannya, Cik Sulis Setoywati memanjat balkoni dari tingkat 15 dan turun dari satu balkoni ke balkoni lain untuk melarikan diri.

Pembantu rumah berusia 26 tahun itu kemudian membuat laporan polis terhadap majikannya Nuur Audadi Yusoff.

Nuur Audadi, 31 tahun, mengaku bersalah pada Isnin (28 Sep) ke atas enam tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap amah Indonesia itu dari Januari hingga Mei 2018. Dia sebelum ini berniat untuk meminta dibicarakan.

Sembilan lagi tuduhan serupa akan diambil kira dalam pengadilan pada 18 Nov.

Mahkamah diberitahu bahawa Cik Sulis bekerja untuk Nuur Audadi dari Disember 2017 sehingga pada hari beliau melarikan diri iaitu pada 1 Mei 2018.

Sejak itu, Cik Sulis menetap di kedutaan Indonesia di Singapura.

BERKALI-KALI DIDERA

Penderaan itu bermula tidak lama selepas Cik Sulis mula bekerja untuk Nuur Audadi, yang pada masa itu merupakan seorang pegawai khidmat pelanggan di Kementerian Tenaga Manusia (MOM), menurut dokumen mahkamah.

Pejabat Peguam Negara kemudian menjelaskan bahawa dia merupakan kakitangan Singtel yang dipinjamkan ke pusat hubungan MOM dan bukan seorang kakitangan kementerian itu.

Dia tidak lagi bertugas di situ dan sekarang ini tidak bekerja.

Pada Januari 2018 apabila Nurr Audadi mendapati bahawa Cik Sulis terlupa untuk menyapu minyak telon pada perut anaknya, tertuduh meludah ke arahnya lalu menamparnya sebanyak dua kali ketika memarahinya.

Pada bulan seterusnya, Nuur Audadi menghentak kepala Cik Sulis menggunakan penutup gelas minuman kerana beliau tidak menyediakan sarapan.

Dia juga mengheret Cik Sulis ke bilik air dengan menarik rambutnya apabila beliau tidak memandikan anak-anaknya.

Dia sekali lagi menarik Cik Sulis pada rambutnya apabila tertuduh mendengarnya menyanyi kepada anak-anaknya.

Selepas beberapa kejadian itu, Cik Sulis menangis dan meminta tertuduh menghantarnya kepada majikan yang lain.

Nuur Audadi berjanji untuk tidak memukulnya lagi dan Cik Sulis bersetuju untuk terus bekerja untuk Nuur Audadi kerana beliau perlu menghantar pendapatan bulanannya sebanyak S$580 bagi menyara anaknya.

Pada April tahun itu, Nuur Audadi juga membawa Cik Sulis ke MOM untuk membuat aduan terhadap majikan lamanya bagi gaji yang belum dibayar.

Untuk itu, Cik Sulis berterima kasih dan merasakan bahawa majikannya "ada kalanya tidak melayannya dengan cara berbeza kerana beliau seorang pembantu rumah", kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chong Kee En di mahkamah.

Namun, Nuur Audadi masih tetap menderanya.

Pada bulan yang sama, dia memberitahu Cik Sulis supaya membersihkan motosikal dan topi keledar suaminya namun pembantu rumah itu kemudian menyedari bahawa beliau terlupa meminta kunci rumah supaya beliau dapat keluar dari flat itu.

Pasangan itu sudah pun keluar rumah pada ketika itu.

Apabila Nuur Audadi pulang ke rumah, dia memukul Cik Sulis dengan bahagian pemegang payung dan menggunakannya untuk mencucuk perutnya beberapa kali sehingga meninggalkan kesan lebam, kata DPP Chong.

TURUN DARI BALKONI KE BALKONI, LARIKAN DIRI

Selepas berkali-kali didera, Cik Sulis memutuskan dia perlu melarikan diri.

Beliau memanjat ke balkoni untuk memasuki biliknya yang terkunci lalu mencampak pakaiannya ke bawah dan turun setinggi 15 tingkat. Beliau mengambil masa hampir sepanjang pagi.

Cik Sulis kemudian mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Khoo Teck Phuat. Beliau mengalami luka pada bahagian dahi, pinggang, lengan dan bahagian paha, serta calar pada dada dan bahunya.

Sehingga hari ini, Cik Sulis masih berasa takut terhadap Nuur Audadi, kata DPP Chong.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 bulan, sambil mengatakan setiap kecederaan yang disebabkan oleh Nuur Audadi "membawa kesan buruk fizikal dan psikologi".

Dia "naik berang atas alasan-alasan amat remeh-temeh" dan sebelum ini menafikan perbuatan "penderaan kejam", tambah DPP Chong.

Hukuman maksimum bagi kesalahan menyebabkan kecederaan adalah penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga S$5,000. Para majikan pembantu rumah, atau mereka yang tinggal sebumbung dengan mereka, boleh dikenakan 1.5 ganda hukuman itu, iaitu hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga S$7,500.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan