Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita mengaku bersalah dera pembantu rumah sehingga buta, cacat telinga

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita mengaku bersalah dera pembantu rumah sehingga buta, cacat telinga

Ummi Kalsum Ali di luar Mahkamah Negara pada 25 Okt 2022. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Selepas menyebabkan salah satu daripada mata pembantu rumahnya buta dengan menumbuknya berkali-kali, seorang wanita tidak membenarkan mangsa untuk mendapatkan rawatan perubatan. Malah, dia terus menyerang pembantu rumahnya sehingga mangsa akhirnya kehilangan daya penglihatan di sebelah mata juga.

Pembantu rumah itu tetap melakukan kerja-kerja rumah, meskipun kehilangan daya penglihatan pada kedua-dua mata. Apabila mangsa secara tidak sengaja menyebabkan pakaian majikannya terbakar sewaktu menggosoknya kerana tidak dapat melihat, majikannya menekap seterika panas padanya.

Telinga pembantu rumah berusia 51 tahun itu juga menjadi cacat akibat penderaan yang dialaminya. Mangsa akhirnya ditinggalkan di lapangan terbang, dengan berkerusi roda, untuk mencari jalan pulang sendiri.

Pada Selasa (25 Okt), Ummi Kalsum Ali, 43 tahun, mengaku bersalah atas enam tuduhan. Tuduhan-tuduhan tersebut termasuk menyebabkan kecederaan parah secara sengaja ke atas seorang pembantu rumah, menganiaya seorang pembantu rumah dengan mengabaikan untuk memberi rawatan perubatan kepadanya dan gagal membayar gajinya tepat pada masanya. Beberapa tuduhan lain juga akan dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, warga Indonesia berusia 51 tahun, mula bekerja dengan Ummi pada 5 Ogos 2019. Beliau dibayar gaji S$670 sebulan.

Ummi mula mendera pembantu rumahnya selama lebih lima bulan dari April 2020. Warga Singapura itu pada mulanya menyita telefon bimbit pembantu rumahnya dan memasang kamera televisyen litar tertutup di dapur untuk memantau mangsa.

Ummi terus melakukan penderaan terhadap mangsa antara April 2020 hingga September 2020. Meskipun mengetahui bahawa mangsa sudah buta sebelah mata, dia tidak berhenti menyerang mangsa sehingga beliau menjadi buta sepenuhnya.

Ummi juga didapati tidak membayar gaji kepada pembantu rumah itu tepat pada masanya antara Januari 2020 dengan September 2020.

Pada 23 Oktober 2020, Ummi meninggalkan mangsa dalam kerusi roda di lapangan terbang dengan seorang kakitangan lapangan terbang. Dia memberi pembantu rumahnya sekitar S$6,750 dalam mata wang Singapura serta Indonesia dan mangsa ditinggalkan di sana untuk mencari jalan pulang sendiri.

Penderaan yang dialami itu diketahui apabila mangsa pulang ke kampung halamannya. Beliau kemudian dihantar kembali ke Singapura bagi membantu siasatan.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa sudah menerima rawatan perubatan di Singapura tetapi keadaannya yang buta tidak dapat dipulihkan.

Kes tersebut dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya dan seorang pendakwa Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Timbalan pendakwa raya itu meminta hukuman penjara selama 10 tahun, manakala pendakwa MOM menyifatkan kes tersebut sebagai "kejam".

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Kanan Daerah menyifatkan hubungan kerja antara yang tertuduh dengan mangsa sebagai bersifat "menindas dan mengeksploitasi".

Beliau membenarkan permohonan Ummi untuk menangguhkan tarikh menjatuhkan hukuman kepada 8 November agar dia dapat menyelesaikan urusannya, termasuk urusan penjagaan anak.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan