Wanita Melayu SG cipta sejarah terpilih jadi Ketua Pegawai Kerajaan bagi Gwent, Wales
SINGAPURA: Cik Shereen Aziz Williams cipta sejarah menjadi warga Singapura pertama yang dicalonkan sebagai Ketua Pegawai Kerajaan bagi Gwent di Wales, United Kingdom.
Jika tiada halangan, Cik Shereen akan secara rasmi menyandang jawatan itu setelah diberi watikah pelantikan oleh Raja Charles III pada sekitar Mac 2026.
Peranan utama Ketua Pegawai Kerajaan adalah untuk menyokong institusi Diraja dan badan kehakiman di samping membantu usaha pencegahan jenayah, menyokong perkhidmatan kecemasan serta mengangkat kerja sektor sukarelawan dan badan amal.
Sejak bermastautin ke Britain pada 2005, Cik Shereen banyak memainkan peranan penting dalam perkhidmatan awam dan kerja-kerja masyarakat di Wales.
Bagi dirinya, ini juga menandakan detik penting dalam representasi wanita dan masyarakat Melayu/Islam di peringkat antarabangsa.
“Bagi saya sebagai seorang warga Singapura dan lebih-lebih lagi sebagai wanita Melayu, saya bangga dapat mengetengahkan masyarakat saya pada tahap ini. Wanita Melayu/Islam boleh maju apabila diberikan peluang. Wales telah memberikan saya banyak peluang dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya.
PENGHORMATAN YANG TIDAK DIJANGKA
Mengulas mengenai pencalonannya itu, Cik Shereen berkata beliau amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan.
“Saya berasa amat dihormati. Tiada proses permohonan untuk menjadi 'High Sheriff'. Anda hanya akan dicalonkan oleh individu yang percaya anda layak memegang jawatan tersebut, jadi ia benar benar istimewa.”
Beliau turut mengimbau pengalaman ketika menjadi sukarelawan di sebuah Sekolah Islam Sabtu di Wales berkaitan peranan itu.
“Seorang pelajar perempuan pernah bertanya sama ada seorang Muslim boleh menjadi 'High Sheriff' dan jawapannya ialah sudah tentu boleh. Saat saya menerima pencalonan ini, detik itu terlintas semula. Saya menerimanya bukan hanya untuk diri saya tetapi juga untuk kanak kanak serta wanita muda di Wales yang kelihatan seperti saya dan berkongsi agama Islam yang sama.”
SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT WALES
Cik Shereen kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Demokrasi dan Sempadan Cymru dan Setiausaha kepada Suruhanjaya Sempadan untuk Wales.
Beliau mengetuai beberapa projek penting termasuk Kajian Semula Kawasan Parlimen 2023 serta kajian pertama kawasan pilihan raya Senedd untuk Pilihan Raya 2026.
Menurutnya, beliau merupakan individu pertama dalam sejarah Wales yang berjaya melaksanakan pembaharuan sempadan pilihan raya untuk kerajaan tempatan, Parlimen Wales dan Parlimen United Kingdom.
Sebelum ini, beliau berkhidmat selama 10 tahun dalam kerajaan tempatan Newport dan Monmouthshire dalam bidang keharmonian masyarakat, kesaksamaan dan pencegahan ekstremisme.
PENCALONAN BAGI KETUA PEGAWAI KERAJAAN BAGI GWENT
Ditanya mengenai pencalonannya, Cik Shereen tidak pasti sebab-sebab bagi pencalonannya kerana ia tidak dinyatakan secara terbuka.
Namun, beliau merasakan ia berdasarkan rekod perkhidmatan masyarakat dan kerjanya dalam pengukuhan masyarakat.
“Sebab pencalonan tidak dimaklumkan kerana prosesnya dilakukan secara sulit. Saya hanya boleh mengandaikan bahawa pencalonan ini berdasarkan kerja-kerja masyarakat yang saya jalankan sejak berpindah ke Wales pada 2005, termasuk keharmonian masyarakat, dialog antara agama dan kerja saya dalam sempadan pilihan raya,” kongsi Cik Shereen
Pelantikan Ketua Pegawai Kerajaan akan hanya disahkan dalam upacara Diraja ‘pricking the bodkin’ pada pertengahan Mac 2026, diikuti majlis mengangkat sumpah pada awal atau pertengahan April.
Upacara ‘pricking the bodkin’ ialah tradisi Diraja di mana Raja Charles III akan menandakan nama calon High Sheriff menggunakan jarum khas sebagai simbol pelantikan rasmi.
“Raja biasanya mengadakan upacara ini pada pertengahan Mac, jadi saya dijangka mengangkat sumpah pada sekitar awal hingga pertengahan April,” jelas Cik Shereen.
SIAPKAN BUSANA WARISAN UNTUK PAKAIAN RASMI
Sebagai persediaan, Cik Shereen menghadiri bengkel dan latihan bersama calon-calon Ketua Pegawai Kerajaan dari seluruh England dan Wales.
Beliau juga perlu memilih tema tahunan seperti yang dilakukan ketua-ketua pegawai kerajaan sebelumnya.
Beliau berkongsi dengan wartawan Fatyn Afiqah bahawa beliau memilih tema sukarelawan, satu aspek yang sangat dekat dengan pengalaman hidupnya.
“Ketika saya mula berpindah ke Wales, saya banyak mendapat manfaat daripada kerja sukarelawan. Keluarga saya juga mendapat manfaat kerana anak-anak saya bermain ragbi dan jurulatih mereka semuanya sukarelawan. Saya juga seorang Majistret dan semuanya beroperasi melalui sukarelawan. Untuk tahun perkhidmatan saya nanti, saya mahu menonjolkan sumbangan mereka dan menggalakkan lebih ramai orang menjadi sukarelawan,” kata Cik Shereen.
Beliau berhasrat menggunakan platform rasmi dan media untuk menonjolkan sumbangan para sukarelawan serta mempromosikan impak positif kerja-kerja sukarela terhadap masyarakat.
Di samping itu, Cik Shereen juga memberi perhatian khusus kepada pakaian rasmi yang mencerminkan identitinya.
“Saya mahu menampilkan warisan Melayu saya. Saya bekerjasama dengan Ratianah Kebaya untuk menghasilkan pakaian rasmi Ketua Pegawai Kerajaan yang ditempah khas menggunakan baldu gelap, renda dan butang 'steel cut'. Saya juga masih perlu menyiapkan topi dengan bulu burung unta,” kata Cik Shereen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.