Wanita Melayu S'pura ini bantu lebih 500 pelarian asing yang hidup serba daif
Bagi wanita Melayu Singapura bernama Murshidah Said ini, tangannya membantu bukan setakat empat lima orang, tetapi lebih 500 pelarian dari Syria, Somalia dan Yaman agar kehidupan mereka terbela dan dapat berdikari.
BERITAmediacorp: Kata orang, tangan yang menghayun buaian, tangan itu jugalah yang mampu menggoncang dunia.
Bagi wanita Melayu Singapura bernama Murshidah Said ini, tangannya membantu bukan setakat empat lima orang, tetapi lebih 500 pelarian dari Syria, Somalia dan Yaman agar kehidupan mereka terbela dan dapat berdikari.
Dalam Laporan Khas Bahagian 2 mengenai misi warga Singapura membantu pelarian-pelarian yang ditempatkan di Malaysia, BERITAmediacorp ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan usaha dan hasil kerja kemanusiaan yang dijalankan Cik Murshidah di sana.
KEADAAN MENGHIBAKAN GOLONGAN PELARIAN
Tahukah anda, ada lebih 170,000 pelarian dari negara asing dan pemohon suaka di Malaysia. Demikian menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR). Ramai daripada mereka masih hidup dalam keadaan serba daif kerana status mereka sebagai pelarian.
Meskipun mendapatkan perlindungan di Malaysia, di bawah Akta Imigresen negara itu, mereka tidak dibenarkan bekerja. Mereka juga kurang akses kepada penjagaan kesihatan.
"Ada yang dalam rumah mereka dengan tasbih, tunggu nak mati sahaja. Sebab dia tidak terima bantuan, dia tak cukup duit nak pergi ke hospital atau mendapatkan rawatan. Jadi apa yang kita boleh buat, kita duduk sana doa sama-sama. Lepas itu beri apa yang kita boleh dan kita juga kena kuatkan semangat kita," rintih Cik Murshidah.
Itulah antara situasi yang membuatkan Cik Murshidah, 48 tahun, sangat terpanggil untuk membantu demi meringankan beban mereka.
Umumnya, para pelarian yang berlindung di Malaysia ingin mendapatkan perlindungan daripada penindasan dan kekacauan politik di negara masing-masing. Namun mengendalikan bilangan pelarian asing yang banyak hakikatnya adalah suatu masalah yang kompleks dari segi sosial dan politik serta beban kewangan yang tinggi bagi Malaysia.
Dari segi masalah-masalah yang dihadapi si pelarian sendiri, Cik Murshidah melihat sendiri bagaimana para pelarian sukar mencari sesuap nasi kerana tidak dibenarkan bekerja "secara sah". Bagi yang mencuri-curi bekerja pula, ada yang ditindas, ditipu dan tidak menerima upah yang dijanjikan.
Pernah juga seseorang pelarian yang dikenali Cik Murshidah terpaksa bermalam di penjara semata-mata kerana bekerja. Cik Murshidah yang tampil untuk membayar wang ikat jamin baginya.
Kanak-kanak pelarian juga sukar mendapatkan pendidikan sewajarnya.
"Terlalu ramai di sini untuk pergi ke sekolah. Jadi mereka hanya merayau-rayau. Ada banyak sekolah pelarian sebenarnya tetapi tidak boleh menampung jumlah yang kian meningkat," kata Cik Murshidah.
Namun demikian, sepanjang empat tahun lalu, Cik Murshidah menganggarkan beliau sudah dapat mendekati dan membantu lebih 500 orang pelarian dalam pelbagai situasi.
Secara peribadi, beliau kini mengenali sekitar 100 pelarian - antaranya dari Yaman, Somalia dan Syria.
MULA-MULA DERMA, KEMUDIAN MENGUPAYA
"Dulu saya selalu beri sumbangan wang dan saya nampak mereka masih gitu (hidup susah). Mereka cuma happy bila nampak saya bawa makanan atau beri sumbangan.
"Jadi saya terfikir: Mengapa tidak saya membantu dengan mengajar mereka agar boleh cari pekerjaan sendiri dan tidak mengharapkan bantuan orang lain," tambah Cik Murshidah.
Lantaran itu, beliau bersama suami mula mengadakan dan memperluaskan program-program kemahiran dan motivasi. Pada 2015, beliau adakan kelas membuat kuih bagi para pelarian Syria dan sejak itu mendapat 'anak murid' dari pelbagai negara.
Beliau memperkasa para pelarian menerusi bengkel-bengkel kemahiran asas seperti penggunaan media sosial dan komunikasi.
Dengan kemahiran-kemahiran seperti inilah, Cik Murshidah berharap pelarian-pelarian berkenaan boleh mula berniaga secara kecil-kecilan dan menyara kehidupan masing-masing.
YUSRA – ANTARA WANITA PELARIAN YANG DIBANTU
Antara orang yang beliau bantu termasuklah wanita bernama Yusra, seorang pelarian dari Yaman. Beliau melarikan diri bersama anaknya kerana ditindas sebagai seorang wanita di tanah airnya. Yusra kini mempunyai sijil kemahiran dalam bidang solekan atas bantuan Cik Murshidah.
Yusra sekarang malah mampu berbahasa Inggeris dan menjadi 'orang kanan' dan penterjemah bagi Cik Murshidah untuk memahami keperluan para pelarian lain yang masih belum mendapatkan bantuan.
"Kalau ada apa sahaja, saya akan menelefon sister Murshidah. Kalau ada sesiapa yang ingin mendengar rintihan dan keluhan kami, hanya Murshidah sahaja," kata Yusra yang masih belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris.
"Saya selalu terapkan nilai-nilai kasih sayang dan rasa hormat. Saya ingin menggalak mereka untuk bersatu padu, bekerjasama, jangan bergaduh, jangan membawa isu-isu dari negara mereka ke negara baru ini," jelas Cik Murshidah pula.
MURSHIDAH POPULAR DI KALANGAN PELARIAN
Jelas, Cik Murshidah menjadi antara penyinar kehidupan bagi pelarian-pelarian di Kuala Lumpur.
Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke satu kawasan di Kuala Lumpur yang didiami ramai pelarian, kata-kata pujian banyak dilontarkan ke atasnya. Cik Murshidah kini ibarat bintang terkenal dalam kalangan mereka.
Namun kata wanita lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, beliau sendiri belajar daripada para pelarian.
"Bila saya bantu pelarian-pelarian ini, saya yang mempelajari banyak perkara daripada kehidupan mereka. Timbul rasa syukur, Alhamdulillah kita dari Singapura dan Malaysia - sebuah negara aman," kata Cik Murshidah.
BAGAIMANA MISI MEMBANTU PELARIAN BERMULA?
Cik Murshidah sebenarnya pernah melalui kehidupan berliku pada suatu ketika dahulu kerana berdepan dengan masalah kewangan dalam perniagaannya di Singapura. Syarikat pengurusan acaranya akhirnya gulung tikar.
Pada 2006 pula, Cik Murshidah berpindah ke Kuala Lumpur untuk mengikuti suaminya yang mendapat tawaran pekerjaan. Malangnya, keluarganya tetap dihimpit masalah kewangan dan ia menjejas hubungannya suami isteri.
"Saya ada RM2 sahaja ketika itu, jadi saya tahu bagaimana susah untuk datang dari luar nak membina balik (kehidupan) walaupun suami saya orang Malaysia tapi kehidupan pada masa itu saya tak tahu apa pekerjaan yang saya akan buat," ceritanya.
KERJA KEBAJIKAN JADI PENYELAMAT RUMAH TANGGA
Siapa sangka, yang menjadi 'penyelamat' kepada kehidupan keluarganya adalah kegiatan sukarelawan. Mereka suami isteri mula menabur bakti bersama-sama dan ia mengeratkan lagi hubungannya bersama suami.
Cik Murshidah pada awalnya hanya berkunjung ke rumah-rumah anak yatim bersama suami dan anaknya. Mereka juga aktif membantu golongan memerlukan - dari golongan fakir miskin hinggalah pekerja seks.
Lama-kelamaan, beliau meluaskan lagi usaha murninya. Dari situlah, beliau menyedari ada begitu banyak pelarian warga asing di Kuala Lumpur yang benar-benar memerlukan bantuan.
Kini perniagaannya turut berkembang. Yang terkini, Cik Murshidah memulakan perniagaan baru dengan sebuah kolej tempatan, Optopreneur, bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran pada kos yang dimampui.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.