Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita Melayu kurang faham tentang HPV, ambil langkah cegah barah pangkal rahim: Tinjauan

Meskipun barah pangkal rahim adalah barah ke ketujuh paling biasa didiagnosis dalam kalangan wanita Melayu Singapura, terutamanya yang berusia antara 26 dengan 45 tahun, terdapat kurang pemahaman tentang penyakit itu, punca serta cara untuk mencegahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Melayu kurang faham tentang HPV, ambil langkah cegah barah pangkal rahim: Tinjauan

(Gambar hiasan: Prompilove/iStock)

SINGAPURA: Meskipun barah pangkal rahim adalah barah ke ketujuh paling biasa didiagnosis dalam kalangan wanita Melayu Singapura, terutamanya yang berusia antara 26 dengan 45 tahun, terdapat kurang pemahaman tentang penyakit itu, punca serta cara untuk mencegahnya.

Demikian menurut dapatan satu tinjauan, Projek Sinaran, yang dijalankan selama sebulan oleh Perikatan Singapura bagi Tindakan Aktif Terhadap Papilomavirus Manusia (A4HPV) ke atas 30 wanita Melayu, berumur antara 25 dengan 50 tahun.

Para responden terbahagi kepada tiga kumpulan usia - antara 25 hingga 30 tahun, antara 31 hingga 39 tahun dan antara 40 hingga 50 tahun. Seramai 19 responden sudah berkahwin manakala yang bakinya belum mendirikan rumah tangga.

WANITA MELAYU MASIH KETINGGALAN

Di Singapura, barah pangkal rahim biasanya menjejas kaum wanita yang mencapai usia mantap antara 30 dengan 39 tahun. Ia juga adalah penyebab kedua utama yang membawa kepada kematian dalam kalangan wanita berusia antara 15 dengan 44 tahun, menurut A4HPV menerusi satu kenyataan hari ini (16 Dis).

Barah pangkal rahim adalah sejenis barah yang lebih biasa dihidapi golongan wanita Melayu berbanding wanita-wanita Cina atau India.

Menurut A4HPV, wanita Melayu juga kurang menjalani ujian berkala pap smear (34.8 peratus) - antara cara utama untuk mengesan barah pangkal rahim - berbanding wanita China (49.9 peratus) dan wanita India (46.1 peratus).

Di peringkat nasional pula, dianggarkan bahawa antara 2015 hingga 2018, kurang 50 peratus wanita menjalani ujian pap smear secara berkala. Perangkaan itu jauh lebih rendah berbanding sasaran 80 peratus yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Bagi vaksinasi barah pangkal rahim pula, tambah A4HPV, ia dianggarkan hanya 13.6 peratus wanita berusia antara 18 dengan 26 tahun sudahpun mendapatkan vaksin-vaksin yang diluluskan dan bersubsidi.

Lantaran itu, A4HPV menjalankan tinjauan kualitatif untuk mengenal pasti sikap terhadap kesihatan, tabiat dan tingkah laku untuk menjaga kesihatan bagi golongan wanita Melayu berhubung HPV serta barah pangkal rahim.

Antara dapatan utama tinjauan itu termasuk:

Pemeriksaan kesihatan
• 57 peratus menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala
• 47 peratus menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan wanita secara berkala

Ujian pap smear
• 73 peratus tahu apa itu pap smear
• 73 peratus sudah menjalani ujian pap smear dalam tempoh tiga tahun lalu

Ujian HPV dan vaksinasi
• 80 peratus tidak tahu tentang virus HPV
• 80 peratus tidak tahu apa itu ujian DNA HPV
• 80 peratus belum divaksin terhadap HPV

Seramai 93 peratus responden berkata mereka akan menggalak anggota keluarga lelaki berjumpa doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang HPV setelah mereka tahu bahawa virus itu juga boleh dijangkiti kaum Adam.

Seramai 96 peratus responden berkata mereka bersedia membuat janji temu dengan doktor jika mereka tahu ada vaksin untk mencegah barah pangkal rahim.

BOLEH DIELAKKAN DENGAN LANGKAH PROAKTIF

Penasihat Teknikal Perubatan A4HPV, Dr Ida Ismail, berkata beliau tidak terkejut dengan respons yang diterima daripada tinjauan tersebut.

"Seringkali, saya berjumpa pesakit barah pangkal rahim yang sepatutnya boleh mengelakkan keadaan menyedihkan yang mereka alami, sekiranya mereka pergi menjalani ujian pap smear secara berkala, pemeriksaan HPV ataupun jika mereka sudah divaksin," kata Dr Ida.

"Nyawa boleh diselamatkan. Keluarga mungkin tidak perlu menanggung trauma melihat orang tersayang merana," Ujar beliau.

Oleh demikian, Dr Ida menasihatkan kaum wanita supaya menjalani ujian pap smear sekali setiap tiga tahun apabila mereka berusia antara 25 dengan 29 tahun.

"Lakukannya sekali pada setiap lima tahun jika anda berumur 30 tahun dan ke atas," tambahnya.

"Sudah tiba masanya untuk lebih ramai lelaki mengetahui lebih lanjut tentang HPV. Kita boleh menjadi pembawa tanpa disedari dan menyebabkan wanita dijangkiti virus HPV itu. Mereka kemudian akan menanggung beban barah pangkal rahim," ujar Belia A4HPV, Wawan Husen, 31 tahun, yang juga seorang penyanyi dan penulis lagu.

"Hanya dua langkah mudah sahaja yang perlu diambil untuk menjadikan kita lebih bertanggungjawab: buat pemeriksaan HPV dan dapatkan vaksinasi HPV," tambahnya.

Tinjauan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan A4HPV untuk mewujudkan hala tuju tiga tahun dalam perjuangan Singapura untuk menangani barah pangkal rahim, iaitu satu-satunya jenis barah yang boleh dicegah, menjelang 2030.

"Dapatan tinjauan tersebut akan membantu kami mengenal pasti bidang-bidang yang mana kami boleh tumpukan perhatian apabila kami melancarkan program-program pendidikan dan sokongan untuk membantu wanita serta keluarga mereka," kata Cik Roszanah Abdul Salim, Setiausaha Agung Persatuan Muhammadiyah, kumpulan masyarakat Melayu/Islam yang turut menyokong tinjauan itu.

A4HPV akan menggunakan maklumat yang dikumpulkan daripada tinjauan tersebut untuk menyelami lebih dalam tentang cara bagaimana perikatan itu boleh melakarkan inisiatif yang mampan bagi pihak-pihak berkepentingan berbeza, termasuk masyarakat Melayu/Islam, dalam usaha untuk menangani HPV serta barah pangkal rahim.

"Kami sudah memperolehi dapatan berharga daripada tinjauan itu. Kami memerlukan lebih ramai rakan kongsi dalam perjuangan ini," kata Cik Summer Ng, Ketua Duta A4HPV.

"Kami memerlukan anggota keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja, personaliti hiburan dan contoh teladan lain untuk mencapai sasaran 2030 kami. Kami mesti membangunkan dan menyediakan sumber bagi memperkasa kaum wanita," ungkapnya lanjut.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan