Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita Melayu/Islam belum cukup diwakili dalam lingkungan awam

Golongan wanita Melayu/Islam masih belum diwakili secukupnya, khususnya dalam lingkungan awam. Ini antara lain berpunca dari kesenjangan budaya dan struktur masyarakat Melayu/Islam, yang masih berasaskan 'peraturan lama'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan wanita Melayu/Islam masih belum diwakili secukupnya, khususnya dalam lingkungan awam. Ini antara lain berpunca dari kesenjangan budaya dan struktur masyarakat Melayu/Islam, yang masih berasaskan 'peraturan lama'.

Lantaran itu, golongan elit agama Islam punya peranan "sangat penting" dalam soal ini kerana agamalah yang berpotensi membawakan perubahan.

Demikian hujah sarjana pengajian Melayu, Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman, semasa menyampaikan ceramah awam anjuran Yayasan Warisan Melayu pada Sabtu (9 Okt), di Wisma Geylang Serai.

Dalam ceramah bertajuk Renungan mengenai Masyarakat Muslim Singapura: Kemajuan dan Hambatan Kebudayaan itu, beliau mengupas beberapa faktor yang menghambat kemajuan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Satu daripadanya adalah peranan sosial wanita dan kurangnya bilangan wanita yang memegang peranan kepimpinan dalam pertubuhan-pertubuhan setempat termasuk dalam pertubuhan agama.

Beliau berpendapat bahawa di peringkat nasional, kaum lelaki masih belum menyokong sebagaimana sepatutnya dalam soal kesetaraan wanita, dan perjuangan itu nampaknya dipacu oleh wanita sendiri.

"Masyarakat Melayu/Islam, mesti bekerjasama dengan masyarakat lain untuk mempunyai lebih banyak kesedaran tentang masalah ini kerana anak perempuan anda, isteri anda sedang melalui perubahan besar yang mencerminkan keadaan yang berubah dalam masyarakat.

"Mereka terlibat dalam lingkungan awam, mereka bekerja, belajar dan akan terdapat jangkaan yang lebih besar terhadap peranan awam mereka dalam masyarakat," kata beliau.

Tambahnya jika ia tidak ditangani, masalah tersebut akan menjadi sangat sukar dan akan terdapat banyak kesan rumit, bukan sahaja dari segi mutu kehidupan mereka tetapi juga bagi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

PEMIMPIN ISLAM BOLEH MAIN PERANAN RAPATKAN JURANG KESETARAAN WANITA

Di sinilah beliau berpendapat para pemimpin Islam boleh memainkan peranan penting untuk merapatkan jurang tersebut.

Ini kerana sejarah menunjukkan bahawa Islam itu bersifat "sangat reformis" dalam membela hak wanita.

Jadi cabarannya bagi masyarakat Melayu/Islam kata Prof Madya Aisha, yang merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), ialah memperkaya tradisi itu dan menangani hambatan-hambatan yang menyekat kemajuan golongan wanita.

"Wanita kurang diwakili dalam peranan kepimpinan dan kedudukan dalam badan-badan keagamaan kita sekalipun.

"Dan saya rasa perlu ada kesedaran lebih tinggi bahawa ini tidak seharusnya menjadi peranan satu kumpulan sivik seperti PPIS sahaja.

"Jadi saya fikir para pemimpin Islam mempunyai peranan sangat penting untuk dimainkan juga kerana agama mempunyai potensi untuk membawa perubahan ini." jelas Prof Madya Noor Aisha.

Beliau bagaimanapun turut menekankan bahawa masalah ini bukan sesuatu yang eksklusif kepada masyarakat Melayu/Islam sahaja tetapi dialami di seluruh dunia.

Maka itu beliau menyeru agar semua masyarakat berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran tentang isu tersebut.

Ceramah yang disampaikan Dr Noor Aisha merupakan edisi terakhir siri ceramah Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan