Wanita maut selepas mendaki di Upper Bukit Timah dihempap bongkah konkrit ketika bergambar
(Gambar: Today/Daryl Choo)
Cik Melita Dollah, ibu kepada empat orang anak, meninggal dunia pada usia 48 tahun pada 19 Disember 2021. Koroner Negara pada Jumaat (17 Feb) mengesahkan kematiannya sebagai satu peristiwa malang.
Mahkamah diberitahu bahawa Cik Melita, seorang pegawai polis tambahan, berjumpa lima rakannya di Stesen MRT Hillview sekitar pukul 9.30 pagi pada hari tersebut.
Mereka berhasrat untuk mendaki sebuah kawasan di Bukit Timah, yang juga dikenali sebagai Kampong Mendoza. Kawasan hutan tersebut, yang tidak mempunyai laluan pendakian rasmi, merupakan kawasan hutan berbentuk tiga segi bersempadan dengan Lorong Sesuai, Upper Bukit Timah Road dan bekas tapak kilang Ford.
Pada waktu itu, kawasan tersebut tidak dikepung dan tiada sekatan diletakkan untuk mencegah sesiapa daripada memasuki kawasan tersebut. Selain itu, tiada papan tanda yang memaklumkan orang awam bahawa mereka dilarang memasuki kawasan hutan tersebut.
Kumpulan itu kemudian memasuki kawasan hutan tersebut di sepanjang pinggir utara, diketuai oleh salah seorang pendaki yang pernah melalui kawasan tersebut.
Mereka berjalan selama dua jam, mengambil beberapa gambar dan menikmati pandangan sebelum mereka tiba di tempat kejadian sekitar tengah hari. Kawasan tersebut merupakan bekas tapak Kampong Mendoza yang terbiar.
Terdapat sebuah bongkah konkrit sebesar kira-kira 1.5 meter sehingga 2 meter di kawasan tersebut, yang berkemungkinan merupakan saki-baki tembok bangunan tersebut.
Terdapat juga keretakan yang ketara pada bahagian tengah bongkah itu, tetapi tidak ada pendaki yang menyedarinya.
Apabila kumpulan tersebut tiba di sana, mereka mula mengambil gambar berdekatan bongkah itu.
Salah seorang pendaki tersebut ingin mengambil gambar Cik Melita, lalu menyuruh yang lain supaya berlalu daripada kawasan itu.
Cik Melita menyarankan wanita tersebut supaya berdiri di atas benteng di belakang bongkah, sementara Cik Melita berdiri di hadapan bongkah itu.
Menurut seorang lagi wanita dalam gambar itu, Cik Melita menarik tangannya, menyebabkan berat badan wanita itu menjejas bongkah tersebut.
BONGKAH PECAH, SEPARUH HEMPAP CIK MELITA
Kesan bongkah yang pecah pada bahagian yang retak tersebut mencederakan seorang wanita lain dalam gambar tersebut, yang menjerit kesakitan.
Kumpulan tersebut memberi bantuan kepadanya tetapi menyedari tidak lama kemudian bahawa badan Cik Melita juga dihempap separuh daripada bongkah konkrit.
Hanya kakinya saja terdedah, dan salah satu daripada buku lalinya cedera parah.
Kumpulan tersebut menghubungi ambulans sekitar pukul 12.55 tengah hari dan membimbing paramedik ke kawasan hutan tersebut. Paramedik itu tiba pada pukul 1.12 tengah hari dan menjumpai Cik Melita terkulai tanpa nadi dan tidak bernafas.
Dia dikejarkan ke hospital tetapi tidak dapat diselamatkan. Dia disahkan meninggal dunia sekitar pukul 2.35 petang pada hari yang sama di Hospital Besar Ng Teng Fong.
Bedah siasat mendapati dia sihat dan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan. Ini termasuk luka pada paru-paru dan jantung serta keretakan pada tulang belakangnya.
Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat dalam kes tersebut.
KORONER BERI AMARAN KEPADA PENDAKI
Koroner Negara Adam Nakhoda memberi amaran kepada para pendaki supaya sedia maklum mengenai unsur bahaya yang wujud ketika mereka melakukan kegiatan luar.
Para pendaki tidak seharusnya melalui laluan yang tersasar daripada laluan yang ditetapkan, dan jika tiada laluan yang ditetapkan, mereka patut berwaspada terhadap sebarang bahaya.
Kebanyakan kampung di Singapura sudah dirobohkan, tetapi di kawasan hutan, sisa-sisa bangunan mungkin masih wujud.
Para pendaki seharusnya menyedari bahawa struktur sedemikian yang sudah terbengkalai untuk berdekad-dekad lamanya, tidak dijaga dan mungkin akan mudah pecah atau runtuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.