Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita maut dihempap pokok 'sangat baik', tidak pentingkan diri sendiri, kata rakan sekerja

Di luar studio, Loke seorang yang aktif dan lasak. Loke gemar melakukan aksi-aksi lasak bermotosikal dan makan durian beramai-ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita maut dihempap pokok 'sangat baik', tidak pentingkan diri sendiri, kata rakan sekerja

Dag Loke meninggal dunia pada 18 Feb 2021 setelah dihempap pokok. (Gambar: Dag Loke/Facebook)

Diterbitkan : 20 Feb 2021 08:05AM Dikemas Kini : 20 Feb 2021 08:30AM

SINGAPURA: Sebaik tamat syifnya, Dag Loke menunggang motosikalnya tetapi bukan untuk terus pulang ke rumahnya di Woodlands pada malam itu.

Sebaliknya, beliau yang menjumpai seekor tupai yang cedera sanggup menghantarnya ke sebuah klinik di Upper Serangoon.

"Waktu itu tengah malam...Itulah keperibadian beliau," kata Cik Dawn Tan, 54 tahun, seorang penyampai berita Mediacorp semasa mengimbas kembali insiden tersebut.

Cik Tan yang merujuk Loke kepada rakannya yang merupakan seorang doktor haiwan. Loke kemudian meletakkan tupai itu ke dalam jaketnya dan menunggang motosikal ke klinik itu untuk menyelamatkan nyawa haiwan tersebut.

Kebaikan dan sifat belas ihsan Loke itu jelas sekali menerusi cerita-cerita yang dikongsi rakan-rakannya bersama Mediacorp.

Loke meninggal dunia pada Khamis (18 Feb) setelah dihempap sebatang pokok yang tumbang di Marsiling Park.

Wanita berusia 38 tahun itu merupakan penyelaras teknikal kanan di studio CNA dan sudah bekerja di Mediacorp selama enam tahun.

Apabila COVID-19 menular dan Mediacorp memulakan aturan bekerja dari rumah, Loke memainkan peranan utama dalam membantu para penyampai berita menubuhkan studio di rumah masing-masing.

"Ia keadaan yang luar biasa, kami tidak pernah ada studio di rumah sebelum ini. Ia satu proses pembelajaran (bagi kami)," kata Cik Tan.

"Setiap malam Dag ada bersama saya dan Steve (Lai) menyokong kami dari segi komunikasi."

Di luar studio, Loke seorang yang aktif dan lasak. Loke gemar melakukan aksi-aksi lasak bermotosikal dan makan durian beramai-ramai.

Cik Rachel Yeo, 27 tahun, masih ingat lagi semasa beliau menyertai Mediacorp sebagai penerbit pada 2018, Loke sentiasa di sisinya setiap kali beliau memerlukan bantuan.

"Sesiapa sahaja boleh menjadi pekerja yang baik, tetapi tidak semua orang boleh menjadi rakan kerja yang hebat, yang prihatin terhadap orang lain dan ikhlas menyayangi," kata Cik Yeo, yang kini seorang penyampai berita.

"Beliau sentiasa meluangkan masa untuk sesiapa saja, sangat baik dan mudah mesra. Saya gembira dapat mengenalinya."

Penyelianya, Cik Nadia Natasha, pula mengenang Loke sebagai seorang penggemar motosikal dan seseorang yang selalu boleh dipercayai akan dapat menguruskan hal-hal kerja.

Misalnya, pada Isnin lalu (15 Feb) Loke pulang lewat menjangkaui waktu rasmi kerjanya untuk memastikan semuanya akan berjalan lancar bagi Belanjawan 2021 keesokan harinya (16 Feb).

Cik Nadia, 29 tahun, berkata mereka baru sahaja berbincang tentang aspirasi kerjaya Loke pada hari Selasa, hanya dua hari sebelum tragedi itu.

Pada Rabu (17 Feb), malam sebelum Loke meninggal dunia, beliau berkongsi aspirasinya dengan beberapa orang rakan sekerja semasa majlis perpisahan bagi pengarah studio Mageswaran Nethagi.

"Banyak yang dikongsinya pada malam itu, memberitahu kami tentang perancangan kerjayanya," kata Encik Mageswaran, 35 tahun.

"Siapa sangka, majlis selamat tinggal itu bukan untuk saya."

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan