Skip to main content

Singapura

Wanita letak jawatan selepas dikenakan pelan peningkatan prestasi gagal dalam tuntutan pemecatan tidak adil

Seorang wanita yang meletak jawatan selepas gagal memenuhi keperluan pelan peningkatan prestasi (PIP) syarikatnya, tidak berjaya dalam tuntutannya bagi pemecatan tidak adil.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita letak jawatan selepas dikenakan pelan peningkatan prestasi gagal dalam tuntutan pemecatan tidak adil

Bangunan Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 06:06PM Dikemas Kini : 30 Sep 2026 11:09PM
SINGAPURA: Seorang wanita yang meletak jawatan selepas gagal memenuhi keperluan pelan peningkatan prestasi (PIP) syarikatnya, tidak berjaya dalam tuntutannya bagi pemecatan tidak adil.

Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) mendapati majikannya mempunyai alasan yang munasabah untuk menamatkan perkhidmatannya.

Wanita itu menyertai sebuah syarikat sebagai eksekutif kanan media sosial pada Januari 2024.

Nama wanita tersebut dan syarikat berkenaan tidak didedahkan dalam penghakiman berkenaan, seperti kebiasaan bagi kes ECT yang didengar secara tertutup.

Selepas melepasi tempoh percubaan selama dua bulan, bidang tugasnya diperluaskan mulai Mac 2024 untuk merangkumi fungsi kreatif.

Syarikat tersebut menjelaskan bahawa perubahan itu sebahagian daripada proses penyatuan di seluruh syarikat.

Wanita itu bersetuju dengan peluasan bidang tugasnya, tetapi berkata persetujuannya dibuat berdasarkan jaminan bahawa latihan dan bimbingan yang mencukupi akan diberikan.

GAGAL PELAN PENINGKATAN PRESTASI

Pada November 2025, wanita itu diletakkan di bawah PIP selama sekitar tiga bulan.

Pelan tersebut mengenal pasti empat bidang yang perlu diperbaiki, termasuk penghasilan idea kreatif dan video, pengeluaran dan pelaksanaan, fotografi dan penggayaan serta perancangan kandungan.

Apabila PIP itu berakhir pada Mac tahun ini, wanita tersebut dinilai gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Ketua sumber manusia (HR) kemudian memaklumkannya mengenai kemungkinan dipindahkan ke jawatan lain.

Wanita itu turut diberikan pilihan untuk meletak jawatan.

Menurut penghakiman, wanita itu difahamkan bahawa pekerjaannya akan ditamatkan sekiranya dia tidak menerima kedua-dua pilihan tersebut.

Beliau akhirnya meletak jawatan pada hujung Mac 2026.

Syarikat itu bersetuju mengetepikan dan memendekkan tempoh notisnya supaya beliau dapat memulakan pekerjaan baharu.

Pada Jun, wanita tersebut memfailkan tuntutan pemecatan tidak adil.

Beliau pada awalnya menuntut S$20,000 sebelum mengurangkannya kepada S$4,000, bersamaan gaji sebulan.

Wanita itu berhujah bahawa pemecatannya berpunca daripada masalah prestasi yang dikaitkan dengan tugas-tugas kreatif yang "tidak pernah diperuntukkan kepada beliau mengikut kontraknya."

Beliau juga mendakwa tidak diberikan sokongan yang dijanjikan.

MAJIKAN ADA BUKTI BERHUBUNG PRESTASI

Majistret Tribunal Kevin Ho Hin Tat mendapati wanita itu tidak meletak jawatan secara sukarela, tetapi terpaksa berbuat demikian.

Namun, Encik Ho tidak mendapati bahawa pemecatan itu dilakukan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

Menurutnya, hujah wanita tersebut bahawa beliau tidak pernah "dilantik secara kontrak" untuk melaksanakan fungsi kreatif tidak dapat diterima.

Meskipun tiada kontrak pekerjaan baharu yang mencerminkan peluasan bidang tugasnya, wanita tersebut tidak mempertikaikan bahawa dia sudah bersetuju untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Beliau juga sudah menjalankan tugas tersebut sejak Mac 2024.

Encik Ho turut mendapati dakwaan bahawa wanita itu tidak diberi sokongan yang dijanjikan tidak disokong bukti objektif atau diperincikan dengan secukupnya.

Dokumen PIP pula memperincikan sumber dan sokongan yang akan diberikan bagi setiap bidang yang perlu diperbaiki.

Wanita tersebut juga tidak menghubungi pegawai HR yang mengendalikan PIP untuk mendapatkan sokongan atau membangkitkan bantahan terhadap pelan itu.

Encik Ho menyifatkan PIP tersebut sebagai satu proses yang tersusun dan didokumentasikan, dengan tempoh tetap diberikan kepada wanita itu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Beliau berpuas hati bahawa syarikat berkenaan mengemukakan bukti objektif yang mencukupi mengenai kebimbangan sebenar terhadap prestasi kerja wanita itu.

Laporan penilaian pada Disember 2025 turut menunjukkan prestasi keseluruhannya dinilai sebagai "sebahagiannya memenuhi jangkaan", iaitu yang kedua terendah daripada lima kategori.

Meskipun wanita itu dianggap boleh diharapkan dan menghasilkan keputusan, laporan tersebut turut mengenal pasti beberapa masalah mutu kerja yang berulang.

Encik Ho menambah bahawa sekalipun wanita tersebut dapat membuktikan berlaku pemecatan tidak adil, beliau akan menghadapi kesukaran untuk membuktikan bahawa beliau berhak menerima pampasan.

Ini kerana beliau sudah dibayar bagi tempoh notis dan pada dasarnya tidak mengalami sebarang tempoh tanpa pekerjaan selepas meninggalkan syarikat tersebut.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita