Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita ini sediakan tempat bermain dan belajar buat kanak-kanak terbiar di Boon Lay

Warna senja mulai memamah suasana di Boon Lay. Orang ramai bergegas pulang setelah seharian bekerja. Ada juga yang mahu keluar untuk bertemu rakan-rakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini sediakan tempat bermain dan belajar buat kanak-kanak terbiar di Boon Lay

Shiyun Lin adalah pengasas 3Pumpkins, sebuah program seni kemasyarakatan dan Tak Takut Kids Club, iaitu sebuah ruang fizikal yang selamat untuk kanak-kanak terbiar berkumpul. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 17 Nov 2024 09:42PM Dikemas Kini : 17 Nov 2024 09:44PM
SINGAPURA: Warna senja mulai memamah suasana di Boon Lay. Orang ramai bergegas pulang setelah seharian bekerja. Ada juga yang mahu keluar untuk bertemu rakan-rakan.

Mereka semuanya berjalan di hadapan sederet unit kedai di bawah sebuah blok. Ramai tidak menyedari, di sebalik pintu unit-unit itu, pelbagai kegiatan buat kanak-kanak sedang dianjurkan.

Salah satu unit misalnya adalah sebuah studio seni. Kanak-kanak sedang mengikuti latihan untuk membuat pementasan yang sudahpun dijadualkan berlangsung di taman permainan di luar unit berkenaan.

Dalam satu lagi unit berdekatan, kanak-kanak yang tidak selalunya dapat mempunyai makanan di rumah, sedang sibu menyiapkan sandwic untuk makan malam, dalam satu dapur masyarakat.

Tidak jauh daripada mereka, sekumpulan kanak-kanak sedang bercucuk tanam di satu ruang. Mereka menanam daun kari, kacang panjang dan bahkan betik!

Semua aktiviti itu sebenarnya dianjurkan di bawah projek Tak Takut Kids Club (TTKC) oleh pertubuhan seni tidak meraih keuntungan, 3Pumpkins.

Kelab itu menyediakan ruang buat kanak-kanak dari latar belakang kurang bernasib baik untuk bermain dan membesar secara holistik, tidak kiralah apa yang mereka hadapi, menerusi pelbagai program pembangunan.
Taman permainan berhampiran Tak Takut Club di Boon Lay. (Gambar: CNA)
Semasa wartawan Mediacorp berkunjung ke Boon Lay, pengasas 3Pumpkins, Shiyun Lin, 42 tahun, kelihatan sedang sibuk di studio seni, membantu kanak-kanak memilih kostum, selain membantu mengecat alat-alat peraga bagi pementasan mereka.

"Ini ruang untuk kanak-kanak," kata Cik Lin. "(Ini) tempat mereka berkumpul, mempelajari nilai-nilai penting, membesar bersama kanak-kanak lain, dan kemudian berkongsi nilai itu dengan kanak-kanak lebih kecil."

BIMBING KANAK-KANAK TERBIAR

Cik Lin sememangnya sangat suka dengan kanak-kanak.

Beliau sebelum ini berkecimpung dalam bidang seni dan pernah bertugas sebagai seorang penerbit seni selama 14 tahun, di mana beliau berusaha mementaskan persembahan teater untuk golongan belia.

"Kanak-kanak ini selalu ada dalam fikiran saya," ujar Cik Lin.

"Saya pernah mengendalikan projek bersama kanak-kanak yang merupakan penduduk asli Kepulauan Riau. Saya pastikan mereka dapat melihat seni tradisional mereka dipersembahkan untuk mereka dan bersama mereka.

"Dengan cara ini, mereka dapat membina keyakinan dan identiti diri yang lebih utuh," kongsi beliau lagi.

Pada 2016, beberapa tahun selepas berhenti bergiat sebagai penerbit, Cik Lin tergerak hati untuk mencari tahu bagaimana beliau boleh membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Singapura.
Kanak-kanak bermain dengan cat di Lorong Toa Payoh 1 pada 2016. (Gambar: Shiyun Lin)
"Ia sesuatu yang tiba-tiba terdetik dalam hati saya," luah Cik Lin.

"Saya ingin tahu lebih lanjut tentang kanak-kanak yang tinggal di flat-flat sewa berdekatan tempat tinggal saya... di kawasan kejiranan yang biasa saya kunjungi.

"Jadi selama beberapa minggu, saya hanya memerhatikan dan bergaul dengan mereka di taman-taman permainan berhampiran blok-blok HDB," kongsi Cik Lin.

Selama tiga tahun, Cik Lin juga mendampingi ibu-ibu tunggal di Boon Lay, Toa Payoh dan Lengkok Bahru agar dapat mengenali keluarga-keluarga yang menetap di sana.

Beliau ada kalanya akan membawa anak lelakinya yang baru berusia tiga tahun.

Sepanjang tempoh itu, Cik Lin mendapati terdapat tiga golongan kanak-kanak yang memerlukan persekitaran selamat: Kanak-kanak yang tinggal di flat sewa; kanak-kanak yang tidak punya penjaga sepenuh masa kerana masalah keluarga seperti dadah; dan kanak-kanak yang menghidapi cabaran kesihatan mental seperti ketagih menggunakan peranti digital, atau mereka yang terpinggir dan mengalami kegelisahan.

"Mereka kanak-kanak yang terlalu takut untuk duduk rumah kerana takut dipukul, dan pada masa yang sama takut untuk ke sekolah kerana guru-guru akan memarahi mereka kerana tidak menyelesaikan tugasan yang diberikan," kata Cik Lin.

"Jadi ke mana mereka untuk berasa selamat dan 'diterima'? Mereka akan keluar rumah.

"Dan jika tiada 'geng baik' di luar sana, kanak-kanak ini akan terjebak dengan belia yang mempunyai latar belakang sama, dan semua ini akan menjadi satu kitaran."

Cik Lin bertekad mengubah situasi itu dengan menubuhkan 'geng baik' sendiri.

Bersama beberapa temannya, Cik Lin memperkenalkan beberapa kegiatan untuk kanak-kanak yang ditemui di tiga kawasan kejiaran.

Beliau akan membimbing mereka untuk melakukan aktiviti 'role-playing', permainan berpasukan yang berstruktur serta pertunjukan boneka dan pementasan teater - semuanya dilakukan di taman permainan berhampiran rumah mereka.

"Kanak-kanak itu semuanya memang sudah ada di sana kerana mereka tidak mahu duduk rumah atau ke sekolah. Jadi saya bermain dengan sesiapa yang ada di sana," katanya.
Lin mengadakan aktiviti interaktif bagi sekumpulan kanak-kanak di Lengkok Bahru pada 2019. (Gambar: Shuyin Lin)
Setahun selepas menjalankan aktiviti ad-hoc itu, Cik Lin melihat beberapa kesan positif.

"Semuanya dilakukan di taman permainan dan tidak lama selepas itu, kanak-kanak mula datang kembali," ujarnya.

"Daripada mereka ponteng sekolah tanpa sebab dan menghabiskan masa di tempat-tempat yang tidak selamat dengan remaja lain, mereka menemui masyarakat di taman permainan... tempat mereka boleh bermain atau membawa kerja sekolah untuk belajar lalu mengajak kanak-kanak lain untuk melakukan sama."

Pada 2019, Cik Lin mahu memperluaskan lagi usahanya itu.

Beliau menyedari tentang pentingnya mempunyai ruang khas dan medapatkan sokongan sebuah pertubuhan untuk melakukan lebih banyak lagi.

PENUBUHAN TAK TAKUT KIDS CLUB

3Pumpkins berkongsi unit dengan sebuah kedai yang menjual buah-buahan di Lengkok Bahru, bagi ruang pertamanya.

Cik Lin menyewa unit itu selama dua bulan untuk terus mendekati kanak-kanak yang telah beliau dampingi.

Di sana, Cik Lin mendapati bukan sahaja kanak-kanak sahaja yang rajin ke unit itu. Ahli keluarga masing-masing dan bahkan penduduk lain turut melakukan sama.

"Saya menyedari bahawa ruang fizikal khas bagi kanak-kanak akan sentiasa menarik individu lain, sama ada warga emas atau golongan dewasa," katanya.

"Kanak-kanak mampu menarik mereka dan apabila anda memberi mereka ruang untuk meneroka potensi masing-masing, anda juga dapat membina sebuah masyarakat yang prihatin."

Selepas tamatnya tempoh pajakan, Cik Lin dan rakan-rakan kembali bertemu kanak-kanak di taman permainan yang sering dikunjungi, pada setiap minggu.
Pada masa yang sama, beliau menyewa separuh unit sebuah kedai dobi di Boon Lay yang tidak jauh dari tempat tinggalnya.

Cik Lin menamakan tempat itu 'Tak Takut Kids Club',

"Maksud di sebalik nama itu sama dengan apa yang saya mahukan. Saya ingin kanak-kanak menjadi berani, tidak gentar," katanya.

Cik Lin kini merancang untuk mengembangkan ruang itu ke Lengkok Bahru dan Toa Payoh, iaitu tempat di mana beliau mula menjalankan usahanya.

"Ini adalah ruang untuk (kanak-kanak), mereka yang menjaga ruang itu dan menghasilkan pelbagai idea. Golongan dewasa di sini hanya menyokong mereka, dan memastikan mereka dilihat, didengar dan selamat," tegas beliau.

Cik Lin juga percaya TTKC membolehkan kanak-kanak berisiko melakukan aktiviti bermakna yang menerapkan nilai tanggungjawab dalam diri mereka, dalam sebuah ekosistem masyarakat yang berkembang maju.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan