Skip to main content

Singapura

Wanita ini pimpin usaha kemas kini aplikasi ScamShield, bantu warga SG banteras skim penipuan

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini pimpin usaha kemas kini aplikasi ScamShield, bantu warga SG banteras skim penipuan

Reshma Vasu bantu lindungi warga Singapura dari skim penipuan menerusi aplikasi ScamShield. (Gambar: Open Government Products)

Diterbitkan : 15 Sep 2025 11:59AM Dikemas Kini : 15 Sep 2025 12:01PM
SINGAPURA: Skim-skim penipuan semakin berleluasa sehingga ramai yang pasti mengenali seseorang yang menjadi mangsa kepada skim penipuan.

Bagi Reshma Vasu, makciknya adalah seorang mangsa skim penipuan.

Pada Disember 2021, makciknya kehilangan keseluruhan wang simpanannya sebanyak S$500,000 kepada skim penipuan.

Ini walaupun makciknya celik digital dan pernah bekerja di sebuah syarikat berbilang negara.

Setelah memperolehi wang CPF, beliau berhasrat untuk bermastautin di Perth, Australia.

Namun, beliau menjadi mangsa skim penipuan melibatkan bank OCBC.

Beliau merupakan salah seorang daripada 790 mangsa yang kehilangan wang sebanyak S$13.7 juta.

Para penipu memalsukan ID penghantar OCBC supaya mesej SMS itu seolah-olah dihantar daripada pihak bank tersebut.

Mesej-mesej SMS itu juga mengandungi pautan ke laman palsu yang direka untuk mencuri butiran perbankan online mangsa, PIN dan kata laluan sekali.

Skim penipuan itu sangat canggih sehinggakan makcik Reshma tidak menyedari bahawa beliau kehilangan kesemua wangnya sehingga sebulan kemudian, iaitu pada Januari 2022.

"Beliau berada dalam keadaan teruk sekali," kata Reshma. "Beliau enggan keluar bilik dan banyak menangis."

OCBC akhirnya membayar balik keseluruhan wang itu kepada makcik Reshma dan beberapa mangsa lain secara muhibah.

Namun, Reshma tidak dapat melupakan gangguan emosi yang dilalui oleh makciknya.

Pada ketika itu, beliau sedang mencipta baucar RedeemSG dan CDC di Open Government Products (OGP).

Justeru pada Disember 2023, apabila beliau diminta untuk memimpin pasukan yang ditugaskan untuk merombak ScamShield dan melindungi orang ramai daripada skim penipuan, beliau katakan ya.

ScamShield adalah sebuah aplikasi yang boleh menyekat panggilan skim penipuan dan kiriman SMS dan membolehkan para pengguna melaporkan sebarang kes penipuan.
Reshma di palcnarkan aplikasi ScamShield yang dipacu AI pada Ogos 2024, yang beliau cipta bersama pasukannya. (Gambar: Open Government Products)
Pada Ogos 2024, beliau dan pasukannya melancarkan kemas kini lebih canggih yang dipacu AI.

Ia sudah pun dimuat turun sebanyak 1.35 juta kali.

TANGANI LONJAKAN SKIM PENIPUAN DIPACU TEKNOLOGI

Selepas beberapa tahun jumlahnya meningkat, jumlah kes skim penipuan yang dilaporkan merosot sebanyak 26 peratus kepada 19,665 pada separuh pertama 2025 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2024, menurut Taklimat Jenayah Siber dan Skim Penipuan Pertengahan Tahun Pasukan Polis Singapura 2025.

Keseluruhan jumlah kerugian merosot sebanyak 12.6 peratus namun jumlahnya kekal sebanyak S$456.4 juta.

Sesetengah skim penipuan lazimnya melibatkan jumlah lebih kecil namun menyasarkan beribu-ribu orang - sebagai contoh, skim penipuan pengambilan pekerja di mana para penipu menyamar sebagai perekrut LinkedIn dan meminta bayaran "kecil" bagi pensijilan, kata Reshma yang berusia dalam lingkungan 30an tahun kepada CNA Women.

Sementara itu, skim-skim penipuan lain seperti skim penipuan pelaburan menyebabkan keseluruhan baki dalam akaun bank atau CPF hangus.

Skim-skim penipuan kripto sebagai contoh, membawa mangsa ke sebuah platform yang sebenarnya sebuah laman pancingan data.

Walaupun platform itu kelihatan sahih, ia mungkin sebahagian daripada skim Ponzi.

Dalam kes-kes sedemikian, para penipu akan meminta jumlah kecil wang daripada mangsa dan menawarkan "pulangan" lebih tinggi daripada wang yang dibayar untuk membina kepercayaan.

Sebaik sahaja mangsa 'termakan umpan', mereka akan disuruh untuk melabur jumlah wang lebih besar - puluhan ribu atau lebih - sebelum para penipu lesap dengan wang yang diambil, kata Reshma.

Teknologi juga membolehkan sindiket mengendalikan skim-skim penipuan secara besar-besaran.

Kalau sebelum ini, para penipu perlu membuat satu panggilan atau menghantar satu kiriman SMS pada satu-satu masa, kini mereka menggunakan sofwe membuat panggilan beramai-ramai secara serentak dan teknologi AI untuk meniru suara untuk menghubungi 10 orang pada satu-satu masa, kata Reshma.

Skim-skim penipuan sedemikian menyelinap ke dalam setiap aspek kehidupan kita.

Kelajuan, skala dan kecanggihan skim tersebut menyukarkan orang awam mengikuti perkembangannya.

Terdapat teman-teman lama palsu dan kenalan lama yang meminta bantuan kewangan kecemasan serta pegawai pemerintah palsu yang mendakwa mangsa melakukan kesalahan dan diancam akan diberkas, dibekukan akaun atau berdepan tindakan guaman jika mangsa tidak segera bertindak.

Reshma bahkan berkongsi tentang skim penipuan penjualan tiket Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) dan skim penipuan penjualan durian Mao Shan Wang pada harga murah yang mengambil kesempatan terhadap minat warga Singapura bagi durian dan diskaun.

Walaupun skim-skim penipuan dahulu bermula dengan kiriman SMS dan panggilan telefon, sejak pandemik, kebanyakannya sudah beralih ke wadah WhatsApp dan Telegram.

Apabila pertama kali dilancarkan pada 2020, fungsi utama ScamShield adalah untuk menyekat panggilan penipuan dan kiriman SMS.

Namun dengan adanya ciri-ciri penyulitan hujung ke hujung di WhatsApp dan Telegram, ia lebih sukar untuk pihak berkuasa memintas skim-skim penipuan tersebut pada masa nyata, jelas Reshma.

Ini sebab mengapa ia adalah penting bagi para pengguna memberikan maklum balas segera dikuasakan AI terhadap potensi skim-skim penipuan bagi bantu menghalang sebarang percubaan menipu, katanya.

Aplikasi ScamShield yang dikemas kini membolehakn penggulan memuat naik petikan skrin mesej, atau periksa telefon number atau pautan link dan mendapatkan maklum balas segara sama ada ia sudah pun dilaoprkan sebagai skim penipuan atau berkemungkinan satu penipuan.

KEWASPADAAN TERHADAP SKIM PENIPUAN

Pengurus produk kanan ScamShield Reshma Vasu berkongsi beberapa tips.

Periksa pautan URL sebelum menekan: Lihat jika terdapat sebarang tanda sempang, sempang dan nombor di tempat-tempat ia sepatutnya tidak berada - sebagai contoh nombor '0' digunakan bagi menggantikan huruf 'O' dalam URL yang mengandung nama syarikat.

Jangan imbas kod QR mencurigakan: Kod QR berniat jahat berupaya memuat turun perisian hasad ke dalam peranti yang boleh menimbulkan risiko terhadap data anda, terutama sekali bagi peranti Android.

Kadangkala, para penipu bahkan akan menampal kod QR atas kod-kod QR yang sah seperti surat dari pihak bank atau agensi pemerintah yang meletakkan notis di ruang-ruabg masyarakat.

Jangan dampingi kumpulan mencurigakan: Jika anda dimasukkan dalam kumpulan sembang WhatsApp atau Telegram oleh seseorang yang tidak dikenali, itu sesuatu yang mencurigakan.

Berhati-hati jika terdapat tawaran 'sukar untuk dipercayai': Jika tawarannya cukup luar biasa, ia berkemungkinan ya. Periksa ScamShield, atau bercakap dengan seseorang yang dipercayai.

BINA RANGKAIAN PERISIKAN

Namun kuasa ScamShield lebih daripada setiap pemeriksaan perseorangan, kata Reshma.

Apabila pengguna melihat sesuatu yang disyaki skim penipuan, mereka mempunyai pilihan untuk melaporkan perkara itu menerusi aplikasi tersebut.

Jika polis menentukan ia adalah satu skim penipuan, nombor itu akan disekat oleh ScamShield, supaya mesej SMS dan panggilan daripada nombor itu tidak dihantar ke pengguna.

Dengan bukti yang mencukupi, polis juga akan bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media, syarikat penyedia telekomunikasi, dan syarikat teknologi seperti Meta, Telegram, Apple dan Google untuk menurunkan nombor-nombor itu, kata Reshma.

"Anda bukan sahaja melindungi diri anda menerusi pemeriksaan dan laporan. Terdapat 1.35 juta pengguna yang memeriksa dan menyerahkan laporan. Data ini digunakan untuk menghalang (skim penipuan) di peringkat kebangsaan. Ia seperti satu rangkaian perisikan," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita