Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita ini kongsi pengalaman rugi hampir S$20,000 jadi mangsa penipuan iklan bank di Google

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini kongsi pengalaman rugi hampir S$20,000 jadi mangsa penipuan iklan bank di Google
Diterbitkan : 20 Feb 2022 11:06PM Dikemas Kini : 23 Feb 2022 10:55AM

SINGAPURA: Pengalaman mengerikan bagi Cik Wong (bukan nama sebenar) bermula pada 12 Disember tahun lalu apabila beliau menerima notifikasi daripada aplikasi Grab di telefon bimbitnya bahawa fungsi tambah wang secara automatik sedang menghadapi masalah.

Notifikasi tersebut menyatakan Cik Wong tidak mempunyai cukup dana dalam akaun banknya, dan sudah beberapa hari beliau menerima pemberitahuan serupa di telefonnya, kongsi beliau kepada Mediacorp.

Cik Wong maklum dana GrabPay dikaitkan dengan kad kreditnya bersama Maybank. Lantaran itu, beliau memeriksa akaun MayBank miliknya sebelum mengesahkan terdapat wang mencukupi dalam akaun tersebut.

Selepas rencana ini diterbitkan, jurucakap Maybank menegaskan bahawa dompet tersebut dikaitkan dengan kad debit Cik Wong dan bukan kad kredit.

Pada hari yang sama, Cik Wong yang berusia 48 membuat keputusan untuk menghuraikan isu tersebut sama sekali.

Konsultan kecantikan itu melakukan pencarian di Google bagi nombor khidmat pelanggan Maybank. Menurutnya beliau yakin nombor yang tertera bukan sebuah iklan dan kelihatan sahih.

Orang yang menjawab panggilan Cik Wong mengenalkan dirinya sebagai "Freddy Heng" dari Maybank. Cik Wong berkata, layanan Freddy sangat profesional, mendengar masalah Cik Wong dan menanyakan soalan-soalan yang betul.

Fredy meminta nama Cik Wong, alamat, tarikh lahir, emel dan tempat beliau membuka akaun Maybank, dan Cik Wong menyerahkan semua maklumat kepadanya.

"Fredy betul-betul bertindak seperti seorang pegawai Maybank," katanya.

Cik Wong diberitahu bahawa akaunnya dibeku sebagai sebahagian kempen membanteras skim antipenipuan oleh pihak polis. Grab tidak mengambil bahagian dalam kempen tersebut kata Freddy dan oleh itu terjadi isu tambah dana.

Untuk menghuraikan isu tersebut, Cik Wong diberitahu beliau perlu memindahkan wang ke akaun Maybank yang lain.

Sebagai menunjukkan seakan-akan perbuatannya itu sahih, Freddy tidak memberitahu maklumat akaun tersebut menerusi telefon. Sebaliknya, maklumat ini dikirimkan melalui SMS dan emel.

SMS itu muncul di bawah nama Maybank yang selalu digunakan bank untuk menghantar kata kunci sekali sekali saja (OTP). Emel itu nampaknya seperti dihantar Maybank, dengan gambar rasmi, dan tidak mempunyai sebarang ejaan yang salah. Emel itu kelihatan boleh dipercayai, kata Cik Wong.

Beliau lantas menambah had wang boleh dipindahkan dan mengirimkan hampir S$19,000 ke akaun itu, yang kata Cik Wong tertera namanya.

"Saya rasa ada yang tak kena pada sebelah malam," katanya.

"Walaupun akaun itu di bawah nama saya, ia mungkin adalah nama samaran, dan boleh dimiliki sesiapa pun."

Cik Wong pun membuat pencarian di Google dan mendapati hasil pencarian sudah berubah. Ia kelihatan serupa dengan yang dilihatnya sebelum itu, kata Cik Wong, namun nombor khidmat pelanggan yang tertera berbeza. Dengan segera, beliau menghubungi nombor itu dan memaklumkan apa yang sudah terjadi.

Orang yang menjawab panggilan Cik Wong kali ini ialah seorang pegawai Maybank yang betul. "Mereka berkata ia satu penipuan," kata Cik Wong.

"Apabila saya cuba mengongsi apa yang sudah berlaku, mereka meminta saya membuat aduan polis."

Menurut jurucakap Maybank, Cik Wong menghubungi bank berkenaan lima sejam selepas transaksi tersebut.

TIDAK BERDAYA

Sekurang-kurangnya 15 orang menjadi mangsa skim penipuan baru yang memperdaya mereka untuk menghubungi nombor hotline palsu bank yang ditemui dalam iklan pencarian Google.

Secara keseluruhan mereka mengalami kerugian lebih S$495,000 sejak Disember tahun lalu, menurut polis pada 19 Januari.

Jumlah kes penipuan yang melonjak tahun lalu juga menyumbang kepada meningkatnya kadar jenayah di Singapura, dengan skim penipuan merangkumi lebih separuh kes jenayah yang dilaporkan pada 2021. Ini merupakan satu kenaikan kira-kira 40 peratus berbanding 2020.

Pada lewat hari itu, Cik Wong memutuskan untuk membuat aduan polis.

BACA: Lonjakan skim penipuan naikkan jumlah keseluruhan kes jenayah S'pura pada 2021

Diminta mengulas tentang kejadian yang melibatkan Cik Wong itu, seorang jurucakap Maybank memberitahu Mediacorp bahawa bank tersebut menasihatkan Cik Wong supaya membuat laporan polis, sambil menyatakan Maybank bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

"Kami bersimpati terhadap pengalaman yang dilalui oleh para mangsa penipuan. Pihak bank, bagaimanapun, tidak dapat mengulas lanjut tentang pelanggan tertentu sedang siasatan polis dijalankan," kata jurucakap itu.

"Pihak bank sentiasa mengutamakan sebarang kes penipuan dan menguruskannya dengan cara yang profesional, seiring dan bekerjasama penuh dengan siasatan polis. Kami juga akan memastikan kakitangan kami dapat membantu para pelanggan sebaik mungkin."

Selepas Cik Wong membuat aduan polis, Maybank juga membuat aduan polis dan memaklumkan IMDA mengenai penipuan tersebut dan menghantar SMS palsu kepada agensi anti-penipuan.

"Sebaik pelanggan membuat aduan beberapa jam kemudian, duit itu sudah lama lesap," tambahnya.

Bagi Cik Wong beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai nombor telefon yang mereka lihat di pencarian Google dan elak membuat pindahan wang melalui khidmat perbankan Internet ke nombor-nombor akaun yang tidak dikenali.

"Pergi sahaja ke bank. Mungkin ia lebih leceh, tetapi anda tidak akan tertipu," tambahnya, sambil menambah bahawa beliau masih tidak tahu mengapa dompet GrabPaynya menghadapi masalah.

"Saya hanya mahu berkongsi cerita saya supaya orang lain lebih bijak bertindak - jika tidak satu panggilan telefon sahaja semua wang mereka akan lesap," kata Cik Wong menutup bicara.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan