Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita ini beri susu, 'Milo' percuma, prihatin kanak-kanak di flat sewa pergi ke sekolah dengan perut kosong

Menyediakan sarapan percuma bagi menggalak kanak-kanak untuk rajin ke sekolah.
 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Menyediakan sarapan percuma bagi menggalak kanak-kanak untuk rajin ke sekolah.

Itulah inisiatif yang dimulakan bersama seorang ibu, Cik Marlina Mohamed Yased, 44 tahun di sebuah kejiranan flat sewa di kawasan Lengkok Bahru.

Menerusi inisiatif 'Healthy You and Me', kanak-kanak bersekolah yang tinggal di enam flat sewa di kawasan tersebut boleh mengambil sekotak kecil air susu atau 'Milo' percuma setiap pagi, sebelum ke sekolah dari peti sejuk yang terletak di rumah flat dua biliknya.

"Pertama sekali, mereka kena datang dengan seragam sekolah mereka dengan beg. Kemudian mereka kena datang ke rumah saya, mula daripada 6.40 pagi hingga ke 7.15 pagi. Seterusnya mereka kena tulis nama dan mereka akan 'tick' di dalam kotak setiap kali mereka mengambil susu dari peti sejuk itu," kata Cik Marlina, yang juga seorang ibu lima orang anak.

(Gambar: Elisa Devi Govindasamy)

Setiap kanak-kanak diberi pilihan tiga jenis susu termasuk yang berperisa coklat atau strawberi dan minuman 'Milo' yang berharga sekitar S$0.70 setiap satu.

Selain tidak mahu kanak-kanak itu pergi ke sekolah dengan perut kosong, Cik Marlina juga mahu memberi mereka lebih semangat untuk ke sekolah.

"Pada Isnin berikutnya, dia orang akan menerima bukan susu sahaja, tetapi dengan sesuatu yang mereka mahu. Seperti bijirin 'Koko Krunch' ke apa untuk dia orang. Berikan mereka lagi semangat untuk pergi ke sekolah," tambah Cik Marlina.

Menurut Cik Marlina yang juga seorang peniaga dari rumah (HBB), idea itu tercetus apabila melihat keadaan kanak-kanak di kawasan perumahannya.

"Saya sudah tinggal di sini sudah 13 tahun dan saya memperhatikan kanak-kanak kurang motivasi untuk ke sekolah. Itulah tercetusnya idea untuk adakan peti sejuk di luar. Saya rasa susu ini berkhasiat. Ia akan menguatkan tulang kita dan budak-budak. Jadi saya memulakan anak-anak dari kecil dengan susu," jelas Cik Marlina.

Beliau juga menguar-uarkan inisiatifnya itu kepada mereka yang memerlukan menerusi laman TikToknya @healthyyouandmelb.

PETI SEJUK BEKU MAKANAN UNTUK 1,000 KELUARGA

Selain minuman untuk kanak-kanak, Cik Marlina turut menyediakan barang makanan kering dan beku untuk sekitar 1,000 keluarga di Lengkok Bahru.

Ini juga antara usahanya untuk memastikan para keluarga mempunyai makanan yang mencukupi untuk setiap waktu makan.

"Makanan yang saya sediakan itu, semua saya asingkan dalam beg-beg yang kecil. Jadi kita boleh kongsi ramai. Jadi satu keluarga boleh dapat satu hidangan setiap satu, daripada makanan beku itu. Selain daripada makanan beku, saya pun ada bahagian makanan kering macam mi segera, kopi, bawang, kentang," kata Cik Marlina.

Barangan tersebut juga boleh diambil sendiri daripada peti sejuk beku dan almari makanan yang terletak di luar rumah Cik Marlina.

"Untuk makanan beku, kita akan ada kotak menggunakan kunci dengan kombinasi. Jadi kalau mereka nak datang, lepas 7 malam pun mereka boleh datang. Selepas mereka sudah mengambilnya, mereka akan beri gambar," katanya.

"Kita (lakukannya) berdasarkan kepada kepercayaan. Jadi saya akan pesan mereka dalam talian. Saya cakap dengan mereka ambil apa yang kamu perlu sahaja untuk masak. Pertahankan kamu di berapa hari ini untuk memasak untuk keluarga kamu," ujar Cik Marlina.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Buat masa sekarang, beliau berkata bekalan makanan mencukupi sehingga akhir bulan Mei.

Cik Marlina berharap inisiatif tersebut dapat menyediakan lebih banyak jenis keperluan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kepada para penduduk dengan bantuan dan derma orang ramai.

"Saya akan memikirkan macam mana kita boleh mendampingi para penderma. Sebab itu kami adakan TikTok kerana TikTok itu bukan untuk populariti. Sebenarnya kita nak tunjukkan kepada para penderma yang makanan yang mereka berikan itu dapat kita berikan kepada orang-orang ini semua," kata Cik Marlina.

Sekiranya projek itu mendapat sambutan, Cik Marlina merancang untuk memperluaskannya ke kawasan-kawasan lain seperti Yishun dan Bukit Batok.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan