Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita import sosej untuk jual di FB & ancam pegawai siasatan dipenjara

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita import sosej untuk jual di FB & ancam pegawai siasatan dipenjara

(Gambar: Agensi Makanan Singapura)

Diterbitkan : 12 Sep 2022 01:31PM Dikemas Kini : 12 Sep 2022 01:32PM
SINGAPURA: Seorang wanita yang secara haram mengimport 36 kilogram sosej, daging dan telur itik dari China, berniat untuk menjualnya di Facebook.

Apabila ditangkap dan diminta memberikan keterangan kepada pegawai Agensi Makanan Singapura (SFA), dia mengancam untuk menjerit seolah-olah pegawai itu mencabul kehormatannya, sedangkan dia tahu perbuatan itu akan mencalar reputasi pegawai berkenaan.

Wang Shu, rakyat Singapura berusia 41 tahun, dipenjara empat minggu dan dikenakan denda S$5,000 hari ini (20 Sep). Jika dia tidak dapat membayar denda tersebut, dia perlu menjalani hukuman penjara lagi dua minggu dan tiga hari.

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Daging dan Ikan Selamat Dimakan, satu tuduhan mahu menalar reputasi pegawai perkhidmatan awam dan satu tuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung. Tuduhan kelima dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Wang, yang juga dikenali sebagai Vicky, merupakan pengarah Thanksgiving Group. Dia tidak memilik lesen import yang sah untuk mengimport makanan atau komoditi berkaitan.

Pada pagi 29 Julai 2020, para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena 40 kaki panjang di Benoi Road selepas mengesan kejanggalan.

Kontena itu tiba di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang dari China seharu sebelumnya bagi pelepasan import. Para pegawai ICA mengesan pelbagai jenis makanan dalam kontena tersebut yang diimport secara haram, seperti telur asin itik dan sosej.

Perkara itu kemudian dirujuk kepada SFA bagi siasatan lanjut dan sebanyak 32.42kg produk daging dan 60 keping atau 3.6kg telur asin itik dijumpai.

Wang mengimport sebanyak 36kg makanan yang tidak diisytiharkan. Ini termasuk 17.1kg sosej ayam dan itik, 500 gram daging salai dan 60 telur asin itik. Semuanya dirampas dan tiga bungkus sosej babi dan ayam didapati dihurung ulat.

Siasatan mendedahkan Wang menempah semua barangan makanan tersebut dari China menerusi aplikasi WeChat. Dia membayar bagi barangan tersebut menerusi pindahan WeChat ke pembekal di China.

Wang mendakwa dia tidak mengetahui bahawa dia tidak dibenarkan membawa masuk makanan sedemikian dari China dan ini merupakan kali pertama dia melakukannya. Dia juga mendakwa makanan itu dibeli untuk dimakan keluarganya. Namun kemudian terbongkar niatnya untuk menjual makanan tersebut.

Pada 6 Oktober 2020, dia memuat naik iklan di laman Facebook peribadinya, dengan niat untuk menjual sosej babi dan ayam serta daging salai. Dia bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian memandangkan konsainannya ditahan SFA.

PEGAWAI SFA LAWAT PEJABAT WANG

Pada 29 Oktober 2020, para pegawai SFA mengadakan lawatan ke syarikat Wang di Pandan Loop untuk menjejakinya memandangkan mereka tidak dapat menghubunginya menerusi panggilan telefon mahupun di rumah.

Salah seorang pegawai kemudian mengambil keterangan Wang di pejabatnya dan dia mengesahkan bahawa dia sendiri membawa masuk barangan makanan tersebut dari China dan ia bukan untuk dijual oleh syarikatnya.

Semasa disoal siasat, komunikasi yang menunjukkan Wang bersalah dikesan pada telefon bimbitnya dan dia mula tidak memberikan kerjasama.

Rakan sejawatan pegawai SFA itu kemudian meninggalkan bilik tersebut kerana enggan membuatkan Wang bertambah marah. Mereka meninggalkan Wang sendirian berdama seorang sahaja pegawai SFA.

Apabila pegawai tersebut cuba menenangkan Wang dan dia enggan, beliau menghentikan soal siasat tersebut. Sekalipun demikian, semasa pegawai berkenaan sedang mengumpulkan barangannya untuk berlalu, Wang berulang kali meminta beliau menyerahkan rakaman keterangan yang sudah diambil.

Apabila pegawai itu enggan berbuat demikian, Wang menghadang pintu, yang merupakan satu-satunya laluan keluar daripada bilik tersebut. Wang menutup pintu dan menguncinya dan menghadang tombol pintu. Dia kemudian mengancam untuk menjerit "molest" seolah-oleh dicabul oleh pegawai berkenaan jika beliau masih enggan menyerahkan keterangan tersebut.

Dia tahu tuduhannya itu palsu dan jeritannya akan mencalar reputasi pegawai SFA tersebut kerana orang lain mungkin menyangka pegawai itu sudah melakukan kesalahan seksual terhadap Wang.

Disebabkan ancaman tersebut, pegawai SFA itu memberikan keterangan kepada Wang, yang dikoyakkan oleh Wang sebelum membuka pintu. Pegawai berkenaan kemudian meninggalkan pejabat tersebut bersama rakan sekerjanya.

Bagi kesalahan mengimport secara haram produk daging tanpa lesen, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, dikenakan denda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan mengancam untuk mencalar reputasi pegawai perkhidmatan awam, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

CETUS KEBIMBANGAN

Dalam satu kenyataan media bersama, SFA dan ICA menyatakan cara (Wang) cuba menutup kes ini "mencetuskan kebimbangan" memandangkan cara yang sama boleh digunakan oleh orang lain untuk menyeludup barangan keselamatan ke Singapura.

"ICA akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang, barangan dan kenderaan demi untuk melindungi keselamatan Singapura," menurut kenyataan itu.

"SFA akan terus melindungi keselamatan makanan menerusi sistem bersepadu keselamatan makanan, yang termasuk peraturan ketat import dan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan agensi-agensi kawalan sempadan untuk mencegah tindakan import haram ke sempadan kita."
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan