Skip to main content

Singapura

Wanita hangus S$1.2 juta; diperdaya seolah-olah bantu siasatan 'polis'

Ia bermula dengan mereka memberitahunya bahawa dia disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita hangus S$1.2 juta; diperdaya seolah-olah bantu siasatan 'polis'

Seorang wanita yang sedang menggunakan telefon bimbit. (Gambar hiasan: iStock/Catherine Costa)

Diterbitkan : 18 Mar 2025 10:37AM Dikemas Kini : 18 Mar 2025 10:43AM
SINGAPURA: Ia bermula dengan mereka memberitahunya bahawa dia disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

Selama lebih sebulan, "Jane", seorang wanita berusia 50-an tahun, terpaksa bekerjasama dengan "para pegawai polis" untuk membuktikan dia tidak bersalah.

Mereka menyuruhnya membuka akaun bank dan memindahkan wang ke dalamnya; malah secara fizikal menyerahkan wang tunai sebagai sebahagian daripada "siasatan yang dijalankan".

Dia akhirnya mengalami kerugian S$1.2 juta - wang yang disimpannya untuk membeli rumah baharu.

Bercakap kepada para wartawan pada Jumaat (14 Mac) dengan syarat namanya tidak didedahkan, Jane, yang bekerja dalam bidang kewangan, menceritakan bagaimana dia ditipu tahun lalu dalam apa yang kini boleh dikategorikan sebagai penipuan penyamaran pegawai pemerintah.

Kes-kes sedemikian adalah antara jenis penipuan paling membimbangkan, dengan jumlah kerugian tertinggi tahun lalu - sekurang-kurangnya S$151.3 juta, menurut statistik yang dikeluarkan oleh polis pada Februari lalu.

BAGAIMANA IA BERMULA

Jane sedang bersarapan pada pagi 11 Dis apabila seorang wanita menelefonnya sambil mendakwa dia dari Pusat Antipenipuan (ASC) Pasukan Polis Singapura (SPF).

Wanita itu, yang memperkenalkan dirinya sebagai "Jenny Koo", berkata kad NRIC Jane telah digunakan untuk mendaftarkan kad SIM untuk menghantar mesej berunsur penipuan.

Dalam keadaan keliru, Jane meminta alamat yang didaftarkan di bawah kad SIM itu. Ia bukan miliknya.

Jenny kemudian mencadangkan kepada Jane supaya membuat aduan polis, dan menyalurkan panggilan itu kepada "pasukan penyiasat polis".

Panggilan itu dijawab oleh penipu kedua, yang memperkenalkan dirinya sebagai "Inspektor Yang". Semasa panggilan itu, dia seolah-olah sedang berbual dengan orang lain, melalui walkie-talkie. Ini membuatkan Jane mempercayai lelaki itu.

Selepas menjalankan "pemeriksaan", Yang memberitahunya seorang pengurus cawangan UOB dengan nama "Serena Chilyn" telah menggunakan identiti Jane untuk membuka akaun bagi melakukan pengubahan wang haram, dan Jane telah mengambil 10 peratus komisen.

Dia kemudian berkata bahawa untuk membuktikan Jane tidak bersalah, Jane perlu mengemas kini pergerakannya empat kali sehari melalui WhatsApp, dan memberikan penyata bank untuk membuktikan dia tidak bersalah.

Pada ketika ini, Jane sudah mula mencurigainya.

Jane meminta Yang membuktikan bahawa dia seorang pegawai polis. Yang menunjukkan kepadanya "pas polis".

Jane juga bertanya kepada Yang mengapa dia tidak menerima pemberitahuan daripada UOB - di mana dia mempunyai akaun tulen - jika NRICnya digunakan untuk membuka akaun lain.

Yang berkata bahawa Serena, sebagai pengurus cawangan, mempunyai cara untuk "menyembunyikan" akaun bank.

Jane memberitahu para wartawan bahawa dia masih berasa ragu-ragu pada hari pertama itu. Hanya selepas "banyak perbualan" dengan Yang pada hari-hari berikutnya, dengan dia menyemak jadualnya, perlahan-lahan meyakinkannya bahawa dia benar-benar menyiasat kes itu.

Inspektor palsu itu kemudian memberinya surat yang menyatakan bahawa Jane boleh ditahan selama 60 hari atas pengubahan wang haram. Dia juga memberi amaran kepada Jane supaya jangan memberi maklumat atau berkongsi maklumat tentang perkara ini dengan pihak ketiga.

Jane melakukan seperti yang diarahkan. Ketika itu, Jane juga sedang menguruskan kematian ahli keluarga, di samping berasa kurang sihat dan terlalu terbeban dengan kerja.

"Saya (tidak) dalam keadaan fikiran yang baik untuk memutuskan apa-apa ... Jadi, apa sahaja yang anda mahu, saya berikan sahaja kepada anda ... Anda jangan lagi mengganggu saya."

"DIA CUBA MEYAKINKAN SAYA"

Langkah Yang seterusnya ialah merujukkan Jane kepada "pegawai kanan" untuk melakukan "pemeriksaan kewangan lanjut".

Ini dipercayai adalah kaedah yang biasanya digunakan oleh penipu untuk memperdayakan mangsa supaya memindahkan wang ke akaun tertentu.

Untuk mengelakkan diri daripada ditahan, Jane mengikut arahan Yang. Dia mengeluarkan S$500,000 daripada simpanannya dan memasukkannya ke dalam akaun baharu yang dibuka di sebuah bank China.

"Pegawai kanan", yang dipanggil "Inspektor Chong", memberitahunya bahawa mereka memerlukan bantuannya untuk memerangkap orang dalam perbankan seperti Serena.

"Dia membuat saya percaya padanya ... bahawa saya sedang membantu polis."

Pada 18 Dis dan 19 Dis, Jane membuat sembilan pemindahan bank daripada akaun bank China kepada para penipu, setiap kali sekitar kurang S$20,000.

Para penipu memberitahunya bahawa ini adalah bayaran untuk memerangkap Serena dan simpanan sebenar Jane tidak akan terjejas.

Pada peringkat ini, ASC sebenar telah dimaklumkan.

Tetapi Chong lebih licik, dengan memberi amaran kepada Jane bahawa ASC akan menghubunginya untuk memaklumkannya tentang kemungkinan ada berlaku penipuan. Dia mengarahkan Jane untuk memberitahu pegawai ASC bahawa dia tahu apa yang dia lakukan; dan dia tidak perlu memberitahu mereka perkara sebenar kerana dia sudah membantu "polis".

Apabila ASC sebenar menghubungi Jane - dan mengulangi apa yang Chong memberitahunya - tindakan tersebut semakin meyakinkan Jane.

"Saya tidak tahu mengapa mereka mengatakan dengan tepat apa yang dia (Chong) katakan. (Ia) membuatkan saya percaya apa yang dia (Chong) katakan."

Sekitar S$180,000 telah dipindahkan kepada penipu.

Para penipu seterusnya meminta Jane menyerahkan baki S$320,000 secara tunai dan bertemu muka dengan mereka.

Semasa pertemuan itu, Chong turut memberitahu Jane, siapa yang akan mengambil wang tunai daripadanya. Lelaki yang ditemuinya memakai kemeja-T dan seluar jeans dan kelihatan seperti "ah beng", kata Jane.

Terdapat tiga lagi pertemuan di mana Jane terpaksa menyerahkan - kadangkala kepada lelaki yang berbeza - malah lebih banyak wang tunai bagi tujuan "siasatan".

Dalam tempoh lebih sebulan, Jane akhirnya memberikan S$1.2 juta kepada para penipu.

PENIPU "IBARAT PEMBURU"

Walaupun selepas menipunya lebih satu juta dolar, para penipu masih menghubungi Jane, memberitahunya untuk terus mengemas kini kedudukan Jane sebanyak empat kali sehari.

Antara kemas kininya, Jane akan bertanya tentang wangnya kerana dia memerlukannya untuk melunaskan pinjaman bagi rumah baharu.

Para penipu kemudian menghilangkan diri selepas 24 Jan.

Namun Jane terus menghantar kemas kini dan hanya pada 4 Feb - selepas 10 hari - barulah dia sedar bahawa dia mungkin telah ditipu.

Dua hari kemudian, dia membuat laporan polis.

Jane berkata dia menangis atas "kebodohannya", dan akhirnya menceritakan segala-galanya kepada anak-anak dan suaminya.

Tiga anak lelakinya menawarkan untuk membayar kerja-kerja ubah elok bagi rumah barunya.

"Mereka berkata, walau apa pun yang berlaku, anda masih mempunyai kami. Wang, kami masih boleh mendapatkan kembali. Tetapi yang paling penting ialah anda selamat'," kata Jane.

Ahli keluarga yang lain, termasuk adik-beradiknya, tidak tahu tentang penipuan itu.

Jane berkata nasihatnya ialah jangan biarkan penipu mengawal emosi seseorang. Dia menyamakan mereka dengan pakar psikiatri "jahat", mengkaji mangsa untuk "menyerang" mereka seperti "pemburu".

Di Singapura, undang-undang baharu telah diluluskan awal tahun ini memberikan kuasa kepada polis untuk mengarahkan bank untuk menyekat urus niaga mangsa penipuan. Jane percaya ini akan membantu mangsa seperti dirinya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita