Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita hamil lebih berisiko alami komplikasi serius jika terjangkit COVID-19; sesetengah ibu masih keberatan divaksin

Sesetengah wanita hamil dan yang sedang menyusukan bayi mereka masih teragak-agak untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita hamil lebih berisiko alami komplikasi serius jika terjangkit COVID-19; sesetengah ibu masih keberatan divaksin

Gambar: Pexel

Diterbitkan : 03 Jun 2021 03:13PM Dikemas Kini : 03 Jun 2021 03:28PM

SINGAPURA: Sesetengah wanita hamil dan yang sedang menyusukan bayi mereka masih teragak-agak untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 atas keprihatinan tentang kesannya terhadap bayi mereka. Ini meskipun pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 menilai pemvaksinan golongan tersebut sebagai selamat.

Hanya dua daripada tujuh wanita hamil yang ditemui Mediacorp mengatakan bahawa mereka akan merebut peluang untuk menerima suntikan vaksin apabila tiba giliran mereka.

BACA: Wanita hamil boleh buat temu janji vaksin COVID-19 mulai 4 Jun: MOH
Pemerintah sudah membuka pendaftaran bagi mereka untuk menjalani vaksinasi mulai Jumaat (4 Jun) jika sudah tiba giliran kumpulan usia mereka bagi program vaksinasi negara.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jawatankuasa pakar bagi vaksinasi COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Rabu (2 Jun) bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna membahayakan wanita hamil atau bayi mereka.

MUDARAT JIKA DIJANGKITI COVID-19

Para pakar sakit puan dan penyakit berjangkit akur bahawa wanita yang hamil dan sedang menyusukan anak mereka mungkin bimbang. Namun mereka menegaskan risiko jangkitan COVID-19 ketika mengandung lebih teruk daripada risiko yang didatangkan oleh vaksinasi. Ini kerana vaksinasi berupaya mengurangkan kemungkinan menghidap penyakit memudaratkan atau kematian bayi sewaktu lahir.

Profesor Madya Tan Lay Kok dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) merujuk kepada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa wanita hamil lebih berisiko mengalami komplikasi serius dan kritikal, bahkan sehingga mungkin memerlukan bantuan pernafasan atau rawatan di unit jagaan rapi.

Prof Madya Tan, ketua jabatan perubatan (KKH) yang merawat kehamilan berisiko tinggi berkata, komplikasi sedemikian dikesan lebih-lebih lagi dalam gelombang kedua jangkitan koronavirus di Britain.

"Wanita hamil yang dijangkiti (COVID-19) dan menunjukkan gejala seganda lebih berisiko melahirkan bayi pramatang (tidak cukup bulan), yang meningkatkan risiko diletakkan di bawah jagaan rapi selepas mereka dilahirkan," kata Prof Madya Tan.

Jawatankuasa Pakar MOH pada Isnin meluluskan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna bagi wanita hamil dan sedang menyusukan bayi mereka.

Ini menyusuli semakan jawatankuasa tersebut terhadap data berhubung wanita hamil di negara-negara di mana COVID-19 menular dengan meluas.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jawatankuasa pakar tersebut menyatakan bahawa vaksinasi COVID-19 dilancarkan bagi ramai wanita hamil dan sedang menyusukan anak mereka di merata dunia.

"Hasil kajian itu dikaji oleh jawatankuasa tersebut dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna boleh mendatangkan mudarat ke atas wanita hamil atau bayi mereka."

Jawatankuasa pakar itu menyatakan: "Terdapat data dan pemahaman jelas berhubung fungsi vaksin asid ribonukleik pengutus (mRNA).

"Vaksin mRNA bukan vaksin hidup, RNA luput dengan pantas di dalam tubuh dan tidak berkemungkinan dari segi biologi untuk menjejas bayi yang diberi susu."

Sebaliknya susu badan ibu yang divaksin mungkin boleh melindungi bayi daripada COVID-19 kerana adanya antibodi di dalam susu badan ibu, meskipun kesan perlindungan sepenuhnya perlu dikaji dengan lebih lanjut.

"Belum ada laporan tentang kesan sampingan berhubung vaksin dalam kalangan bayi yang disusukan oleh ibu mereka, meskipun Amerika Syarikat dan sebilangan negara lain sudah memvaksin ramai ibu yang menyusukan bayi tanpa perlu menghentikan penyusuan."

RISIKO KOMPLIKASI KEPRIHATINAN UTAMA

Meskipun tiada kajian di mana-mana negara yang membuktikan bahaya vaksin terhadap wanita hamil dan kandungannya, ibu-ibu hamil yang ditemui Mediacorp berkata mereka mengambil pendekatan 'lihat dan tunggu dahulu' kerana risiko komplikasi tetap menjadi keprihatinan utama.

Pereka grafik Syahidah Sahib, 29 tahun, yang hamil lima bulan dengan anak sulungnya, berkata meskipun data menunjukkan vaksinasi akan melindungi dirinya daripada koronavirus, beliau berasa was-was tentang perkara-perkara yang belum diketahui, seperti kesan jangka panjang terhadap bayi.

Pengurus projek Elaine Sim, 32 tahun, yang hamil enam bulan dengan anak keduanya berkata: "Sungguhpun saya ingin melindungi diri saya dan bayi saya daripada virus itu, saya secara jujur tidak ingin menjadi antara yang pertama (divaksin), kerana siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa ia tidak akan membahayakan bayi?"

Sebaliknya, pegawai pengambilan pekerja, Eileen Low, 30 tahun yang hamil selama hampir tujuh bulan, berhasrat untuk mendapatkan suntikan vaksin sebaik saja diberikan peluang.

Sekalipun begitu, Cik Low menambah bahawa beliau akan berbincang dengan pakar sakit puannya sebelum mendapatkan suntikan vaksin.

Lima wanita yang sedang menyusukan bayi masing-masing memberitahu Mediacorp bahawa mereka mengalu-alukan pengumuman pihak berkuasa yang menyatakan vaksin COVID-19 selamat untuk diambil.

Namun Cik Siti Sabrina, 33 tahun, yang mempunyai anak berusia empat bulan berkata beliau tidak akan menyusukan anaknya dalam tempoh seminggu selepas divaksin sebagai langkah berjaga-jaga.

FAEDAH PEMVAKSINAN

(Gambar: Reuters)

Para pakar perubatan berkongsi dengan Mediacorp bahawa kajian ke atas keselamatan vaksin bagi wanita hamil dan sedang menyusu adalah terhad sejauh ini.

Namun hasil kajian yang sedia ada setakat ini adalah memberangsangkan dan tidak menunjukkan vaksin mendatangkan risiko kepada mereka.

Dr Khoo Chong Kiat, konsultan kanan obstetrik dan sakit puan di Hospital Mount Elizabeth berkata sedang negara-negara seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat memvaksin wanita hamil, terdapat lebih banyak data yang menyokong vaksinasi semasa mengandung atau menyusukan bayi.

Dr Khoo merujuk kepada data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat melibatkan lebih 100,000 wanita hamil yang disuntik vaksin mRNA seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna. Tiada keprihatinan keselamatan dibangkitkan.

Selain itu terdapat banyak faedah vaksinasi bagi ibu-ibu yang hamil dan sedang menyusukan bayi mereka.

Dr Khoo berkata vaksinasi mengurangkan risiko kemudaratan dan mengurangkan risiko kematian bayi sewaktu lahir atau kelahiran pramatang.

Ia juga mengurangkan risiko jangkitan terhadap anggota keluarga yang mudah terdedah seperti kanak-kanak dan ibu bapa lanjut usia.

Profesor Madya Natasha Howard dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata hasil kajian baru-baru ini menunjukkan wanita yang menerima vaksin ketika mengandung, kebanyakannya dalam tempoh tiga bulan terakhir, menyalurkan antibodi kepada bayi belum lahir yang boleh menawarkan perlindungan sewaktu dilahirkan.

Satu lagi kajian baru-baru ini juga mendapati antibodi dilepaskan dalam susu badan ibu setelah divaksin, mungkin menyumbang kepada perlindungan bayi, kata Profesor Madya Howard.

Seperti mana-mana ubat, vaksin mungkin mendatangkan kesan sampingan ringan dalam masa terdekat, kata doktor-doktor itu.

Pakar sakit puan Dr Tan Toh Lick dari Klinik Wanita Thomson di Jurong dan Pusat Pembedahan Thomson berkata kebanyakan wanita hamil mengadu lebih berasa sakit namun mereka juga kurang melaporkan berasa letih, sakit kepala, sengal-sengal otot, seram sejuk dan demam berbanding wanita tidak hamil selepas divaksin.

Prof Madya Tan dari KKH berkata kesan sampingan seperti demam boleh dikawal seperti biasa dengan mengambil ubat seperti paracetemol, iaitu ubat penahan sakit yang biasanya digunakan untuk merawat kesakitan dan sengal, selamat digunakan ketika mengandung.

"(Namun), kami menasihatkan supaya vaksinasi bagi wanita hamil sepatutnya dilakukan setelah berbincang dan mencapai keputusan bersama dengan pakar obstretik atau karyawan kesihatan masing-masing," katanya lagi.

Sumber : Today/ZM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan