Skip to main content

Singapura

Wanita hamil bergaji rendah bakal dapat sokongan dana S$6.5 juta selama 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita hamil bergaji rendah bakal dapat sokongan dana S$6.5 juta selama 3 tahun

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 27 Sep 2025 07:39PM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 05:30PM

SINGAPURA: Wanita hamil berpendapatan rendah bakal mendapat bantuan dana bernilai S$6.5 juta.

Dana itu diperuntukkan untuk menyediakan keperluan penting seperti makanan, kesihatan mental dan perancangan kewangan selama tiga tahun.

Dana itu adalah satu usaha sama antara bank tempatan DBS dan kidSTART, iaitu sebuah badan amal untuk keluarga.

Susu, bantal khusus bagi ibu hamil, dan pelitup bagi ibu menyusu adalah antara beberapa barangan yang akan disediakan bagi menyokong lebih 2,200 ibu mengandung yang kurang bernasib baik.

Bantuan selepas bersalin seperti penghantaran makanan harian juga sedang diusahakan.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata: "Kajian tempatan seperti 'Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes' (GUSTO), menunjukkan bahawa pemakanan yang betul dan kesejahteraan yang positif bagi ibu semasa kehamilan - semuanya mempunyai kesan jangka panjang terhadap tumbesaran kanak-kanak, dan juga ia boleh mengurangkan komplikasi semasa bersalin, menyokong perkembangan otak yang sihat, dan merupakan asas untuk kesihatan kanak-kanak dalam jangka panjang.

"Kini, setiap kanak-kanak layak untuk mendapat sokongan yang terbaik, permulaan kehidupan yang terbaik. Mujur, ia bermula dengan sesuatu yang boleh kita kawal, dan itulah bukti seorang ibu yang kuat dan sihat."

Para ibu tersebut juga akan menerima baucar pasar raya bernilai S$300.

Mereka juga boleh mengambil bahagian dalam bengkel menguruskan perbelanjaan keluarga dan kesihatan mental.

Penerima bantuan kidSTART Singapore, Nur Nadia Nasri, berkata: "Ramai kaum ibu bergelut dengan kesihatan mental mereka, tetapi mereka tidak menyedarinya, atau mereka tidak tahu atau mereka tidak pasti bagaimana untuk mendapatkan bantuan. 

"Jadi ini benar-benar akan membantu ramai ibu, untuk menyokong kesihatan mental mereka, dan jika mereka disokong secara mental, lebih mudah bagi mereka untuk melalui kehidupan sebagai seorang ibu."

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kidSTART Singapore Joel Tan berkata: "Kami sedang mengumpul maklum balas daripada ibu bapa untuk bertanya tentang cabaran yang mereka hadapi, apakah isu yang mereka hadapi.

"Dari situ, kami sebenarnya berharap untuk mengumpul lebih banyak maklum balas dan menyesuaikan sokongan kami bagi membantu lebih ramai keluarga dengan lebih baik lagi."

KidSTART sedang mendampingi masyarakat bagi mendorong lebih ramai kaum ibu untuk mengikuti program itu.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita