Wanita hambur komen perkauman dalam MRT diberi amaran tegas
SINGAPURA: Seorang wanita yang menghamburkan komen-komen berbaur penghinaan terhadap penumpang lain dalam MRT berdasarkan kaum mereka sudah diberi amaran tegas dan dakwaan terhadapnya ditarik balik, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Rabu (14 Dis).
Tan Beow Hiong diberi amaran tegas kerana menyebabkan gangguan awam dan atas kelakuannya yang boleh menjejas keharmonian berbilang kaum di sini, kata seorang jurucakap AGC. Amaran itu dikeluarkan setelah "fakta dan situasi berhubung isu tersebut dipertimbangkan dengan teliti", tambah jurucakap tersebut.
Setelah amaran tegas dikeluarkan, pihak pendakwa memfailkan tiga tuduhan yang dikenakan terhadapnya pada Jun tahun lalu digugurkan. Ia diluluskan oleh mahkamah pada Selasa (13 Dis).
Menurut jurucakap AGC, keputusan itu, antara lain, mengambil kira tiga sebab.
Pertama, Tan dinilai mengalami gangguan delusi yang "membuatnya percaya seolah-olah dia dalam bahaya" dan menyumbang kepada kelakuannya. Ia menyebabkan Tan kurang berupaya untuk membuat penilaian sosial dan "meningkatkan sebarang prasangka buruk" yang dia ada terhadap orang lain.
"Tan tiada pengetahun mengenai keadaannya. Dia enggan menerima rawatan di bawah arahan rawatan wajib yang diperintah oleh mahkamah," kata jurucakap tersebut.
Tan juga direman selama dua minggu setelah didakwa dan tempoh reman tersebut akan dipertimbangkan oleh mahkamah apabila menjatuhkan hukuman sekiranya didapati bersalah.
"Pejabat Peguam Negara memandang serius terhadap sebarang kelakuan atau kata-kata yang menyakitkan hati kaum seseorang atau prasarangka buruk terhadap keharmonian kaum dan hubungan masyarakat. Pesalah yang melakukan perbuatan sedemikian akan ditangani dengan sewajarnya," tegas jurucakap itu.
Pada 18 Jun tahun lalu, Tan dikenakan satu tuduhan menyebabkan gangguan awam dan dua tuduhan melakukan perbuatan yang dengan sengaja menjejas keharmonian antara kumpulan agama atau kaum yang berbeza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.