Skip to main content

Singapura

Wanita hadapi dakwaan sebabkan kanak-kanak cederakan diri dengan colok, pisau

Seorang wanita menghadapi dakwaan menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun mencederakan dirinya sendiri dengan colok yang menyala dan pisau buah pada Jun dan Julai tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita hadapi dakwaan sebabkan kanak-kanak cederakan diri dengan colok, pisau

Gambar hiasan colok. (Gambar: Unsplash/Sebastian Sammer)

Diterbitkan : 30 Oct 2020 02:43PM Dikemas Kini : 30 Oct 2020 02:47PM

SINGAPURA: Seorang wanita menghadapi dakwaan menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun mencederakan dirinya sendiri dengan colok yang menyala dan pisau buah pada Jun dan Julai tahun ini.

Wanita berusia 41 tahun itu, yang namanya tidak boleh didedahkan untuk melindungi identiti mangsa, dihadapkan semula ke mahkamah pada Jumaat (30 Okt) atas dakwaan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.

Dia dituduh menganiaya kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya, pada Jun tahun ini dengan memberi pisau buah kepadanya dan mengarahkannya untuk melukakan dirinya.

Tuduhan kedua menyatakan bahawa dia menganiaya kanak-kanak lelaki yang sama pada sekitar 11.00 pagi pada 25 Jul, dengan membakar colok dan menyerahkannya kepada budak itu. Dia kemudian didakwa menyuruhnya melecurkan diri sendiri.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan hubungan antara tertuduh dengan mangsa.

Wanita tersebut telah didakwa awal tahun ini tetapi kembali dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan lanjut kes tersebut pada Jumaat. Mahkamah diberitahu bahawa laporan perubatan belum siap, dan pegawai siasatan akan menghubungi Pejabat Peguam Negara untuk arahan sebaik sahaja laporan itu siap.

Wanita itu, yang diikat jamin S$15,000, akan kembali ke mahkamah bulan depan.

Jika disabitkan menganiaya kanak-kanak di bawah jagaannya, dia boleh dipenjara sehingga lapan tahun dan didenda tidak melebihi S$8,000 bagi setiap tuduhan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita