Wanita guna petikan skrin palsu PayNow untuk tipu restoran hantar makanan bernilai lebih S$9,000
Gambar fail yang menunjukkan seorang individu yang sedang menggunakan perkhidmatan pembayaran elektronik PayNow. (Gambar: Gaya Chandramohan)
Warga Filipina, Santos-Tumalip Maria Monalyn Bagaporo, 33 tahun mengaku bersalah pada Selasa (11 Nov) atas empat tuduhan termasuk menipu dan mencuri.
Lagi tiga tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Bagaporo mula menempah makanan dari restoran Home of Seafood di Joo Chiat Place pada Mei 2022.
Dia memilih PayNow sebagai kaedah pembayaran dan diminta membuat bayaran bagi makanan itu menerusi khidmat pembayaran mudah alih itu.
Bagaporo kemudian memikirkan cara untuk mengelak daripada membuat bayaran.
Dia menggunakan PayNow untuk memindahkan wang itu kepada dirinya lalu mengambil petikan skrin slip urus niaga itu.
Dia kemudian menggunakan sebuah aplikasi untuk menyunting petikan skrin itu supaya penerimanya adalah Home of Seafood.
Kadangkala, dia akan menyunting butiran akaun penghantar, supaya ia kelihatan seolah-olah dia membuat bayaran daripada akaun yang berbeza.
Bagaporo menghantar petikan skrin yang disunting itu kepada restoran tersebut menerusi WhatsApp sebagai bukti pembayaran.
Selepas mengesahkan bayaran yang kononnya dibuat itu, restoran itu akan memproses tempahan Bagaporo dan menghantar makanan yang ditempahnya.
Walaupun pengurus restoran itu memeriksa petikan skrin untuk memastikan jumlah wang yang dipindahkan dan tarikh urus niaga itu bertepatan dengan tempahan yang dibuat, beliau tidak memeriksa rekod bank bagi memgesahkan bayaran sudah pun dibuat.
Sebanyak 35 kali antara Mei 2022 dengan Ogos 2023, Bagaporo menipu restoran itu menerusi cara itu untuk menghantar tempahan makanan bernilai sekitar S$3,892.
Dia melakukan demikian kerana dia "mahu menempah makanan untuk teman-temannya dan memikat hati mereka".
Pada September 2023, pengurus restoran itu menyemak penyata akaun bank dan mendapati beberapa kejadian di mana pelanggan menghantar bukti bayaran melalui PayNow, tetapi tiada bayaran dibuat.
Beliau kemudian membuat aduan polis yang menyatakan pelanggan itu menipu restoran tersebut.
Bagaporo kemudian menggunakan helah yang sama untuk menipu sebuah lagi restoran untuk menghantar makanan kepadanya.
PERDAYA RESTORAN ITALI MENERUSI KAEDAH SAMA
Antara Jun 2024 dengan Mei 2025, dia membuat 24 tempahan makanan bersama restoran itali Baci Baci melalui WhatsApp bagi tempahan makanan bernilai kira-kira S$6,168 secara keseluruhannya.
Bagaporo kemudian melanggani Lalamove, sebuah syarikat penghantaran untuk menghantar makanan itu kepadanya.
Restoran itu mendapati pada 25 Mei bahawa tiada bayaran dibuat dan membuat aduan polis.
Bagaporo juga mengaku mencuri barangan dapur bernilai kira-kira S$739 dari sebuah cawangan pasar raya Giant di Bedko pada November 2024.
Pada tahun yang sama, Bagaporo berpura-pura sebagai seorang individu bernama "Tom" dan menghantar kiriman teks kepada sebuah salun rambut di Stamford Road, sambil mendakwa dia mahu membeli baucar rawatan rambut bagi saudara perempuannya.
Dia kemudian menghantar petikan skrin pembayaran yang dipalsukan bagi pembelian baucar itu dan kemudian pergi ke salun rambut itu dan menggunakan baucar tersebut untuk membuat bayaran bagi rawatan rambut yang bernilai S$381.50.
Pada hari yang sama, Bagaporo menghantar mesej di WhatsApp kepada nombor yang sama dan meminta untuk membeli satu lagi baucar. Dia kemudian menghantar petikan skrin yang dipalsukan yang menunjukkan bayaran sudah dibuat.
Pengarah salun rambut itu memeriksa dan mendapati tiada bayaran dibuat.
Beliau juga menyedari bahawa beliau belum menerima bayaran bagi baucar yang pertama.
Kakitangan salun itu berkali-kali mengingatkan Bagaporo suupaya membuat bayaran bagi kedua-dua baucar itu beberapa minggu selepas itu.
Bagaporo memberi pelbagai alasan berhubung mengapa dia tidak boleh membuat bayaran dan pengarah salun itu membuat aduan polis pada Julai.
Apabila dihubungi polis supaya melaporkan diri untuk memberi keterangan, Bagaporo menghapuskan semua mesej di WhatsApp yang dihantar kepada akaun salun itu, sekaligus menghalang proses keadilan.
Bagaporo kemudian membuat bayaran semula kepada Home of Seafood dan salun rambut itu.
Dia ditahan reman sejak September lalu.
Pihak pendakwa memohon hukuman penjara 23.5 hingga 27 bulan untuk Bagaporo, dengan menyatakan bahawa "tingkah laku menyalahi undang-undang yang terang-terangan dan degil" beliau mesti dihadapi dengan hukuman yang setimpal.
Dia akan dijatuhi hukuman pada minggu ini.
Hukuman bagi kesalahan menipu adalah hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.