Skip to main content

Singapura

Wanita dituduh bertemu kawan di luar Lucky Plaza semasa 'pemutus jangkitan', serang sarjan polis

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dituduh bertemu kawan di luar Lucky Plaza semasa 'pemutus jangkitan', serang sarjan polis

(Gambar: Lucky Plaza/Facebook)

SINGAPURA: Seorang wanita dituduh bertemu individu lain di luar Lucky Plaza semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada tahun lalu untuk membeli-belah dan meminum arak.

Warga Filipina, Ong Rica Mae Icamina, yang berusia 41 tahun, didakwa dengan tujuh tuduhan pada awal bulan ini. Ini termasuk bertemu dengan individu bukan serumah bagi tujuan yang tidak dibenarkan di samping menggunakan kekerasan jenayah dan melemparkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam. 

Semasa kesnya dibicarakan pada 6 Disember, Ong mendakwa dia buntu dan akan mendapatkan nasihat guaman. 

Ong kembali ke mahkamah hari ini (27 Dis) untuk sebutan lanjut kesnya. Mahkamah dimaklumkan bahawa Ong akan memohon bantuan guaman di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah. 

Menurut kertas pertuduhan, Ong bertemu dengan seorang individu bernama Quirog Juliet Saragena di luar Lucky Plaza sekitar 5.50 petang pada 31 Mei 2020. Pada masa itu, pemutus rantaian jangkitan COVID-19 sedang dikuatkuasakan bagi melarang sebarang perhimpunan sosial dan kegiatan tidak penting demi membendung penularan COVID-19. 

Ong dipercayai bertemu dengan Quirog untuk membeli-belah dan meminum bir, yang bukan merupakan tujuan yang dibenarkan di bawah peraturan COVID-19 ketika itu. 

Kira-kira lima minit kemudian, Ong dipercayai menarik lengan seorang sarjan polis di luar Lucky Plaza. 

Ong dibawa ke Kompleks Polis Cantonment pada malam yang sama, di mana dia dituduh menghamburkan kata-kata kesat terhadap para pegawai polis. Ong dipercayai berkata "ibu anda adalah seorang pelacur" dalam bahasa Tagalog kepada seorang sarjan wanita dan cuba menumbuknya. 

Ong juga cuba menendang sarjan tersebut dan memaki seorang pegawai lelaki sebelum menjerit secara agresif dan menyuruh mereka supaya melepaskan garinya, menurut kertas pertuduhan. 

Ong akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada Januari. 

Jika didapati bersalah kerana tidak mematuhi peraturan COVID-19, Ong boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam, dia boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Bagi kesalahan menghamburkan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam, dia boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita