Skip to main content

Singapura

Wanita dituduh aniaya 3 bayi dilarang kerja di prasekolah; kakitangan lain dikenakan tindakan: ECDA

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) melarang seorang wanita yang dituduh menganiaya tiga bayi daripada bekerja di mana-mana prasekolah, serta mengambil tindakan terhadap pengetua prasekolah berkenaan dan dua lagi kakitangannya.
Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dituduh aniaya 3 bayi dilarang kerja di prasekolah; kakitangan lain dikenakan tindakan: ECDA
Pintu masuk ke bangunan Mahkamah Negara. (Gambar fail: CNA)
SINGAPURA: Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) melarang seorang wanita yang dituduh menganiaya tiga bayi daripada bekerja di mana-mana prasekolah, serta mengambil tindakan terhadap pengetua prasekolah berkenaan dan dua lagi kakitangannya.

Tindakan itu diambil selepas wanita tersebut, seorang warga Singapura berusia 36 tahun, didakwa pada Khamis (20 Nov) atas tiga pertuduhan menganiaya bayi berusia antara lapan hingga 12 bulan ketika kejadian.

Bekas guru prasekolah itu dituduh memaksa seorang bayi perempuan berusia 12 bulan untuk makan sehingga muntah, memasukkan bib ke dalam mulut seorang kanak-kanak berusia lapan bulan serta menutup muka kanak-kanak itu dengan selimut, serta menjatuhkan kerusi “bumper” yang sedang diduduki seorang kanak-kanak berusia 10 bulan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, ECDA dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan prasekolah tersebut dimaklumkan mengenai perbuatan “salah urus kanak-kanak” melibatkan tertuduh pada 25 September 2024.

Selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), prasekolah itu memecat wanita berkenaan pada keesokan harinya dan memaklumkan ECDA mengenai kes tersebut pada 27 September. Prasekolah itu turut membuat laporan polis.

Selain melarang pendidik tersebut daripada bekerja di mana-mana prasekolah, ECDA juga mengambil tindakan terhadap pengetua pusat berkenaan dan dua lagi kakitangan atas pelanggaran Peraturan Pusat Pembangunan Awal Kanak-Kanak.

Agensi itu menyatakan bahawa ia tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai pelanggaran peraturan dalam kes tersebut memandangkan prosiding mahkamah sedang berlangsung.

“Kelemahan-kelemahan peraturan yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di prasekolah tidak boleh diterima,” kata jurucakap ECDA, sambil menambah bahawa agensi berkenaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali atau kakitangan yang didapati gagal memenuhi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

“Semua pengendali prasekolah dikehendaki mempunyai langkah-langkah dan perlindungan yang kukuh untuk memastikan kanak-kanak sentiasa selamat. Ini termasuk memastikan para pendidik menggunakan amalan yang sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak ketika berinteraksi dengan mereka, serta menerima penyeliaan dan panduan sewajarnya semasa menjalankan tugas.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita