Wanita ditemui maut di landasan LRT Punggol terjatuh secara tidak sengaja: Koroner
(Gambar: CNA)
Demikian menurut dapatan mahkamah koroner.
Dalam dapatan bertulisnya yang didedahkan pada Isnin (12 Ogos), Koroner Negara Adam Nakhoda berkata Cik Wong Soon Heng maut kerana dia terjatuh secara tidak sengaja.
Dia tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan dia mempunyai niat untuk mengambil nyawanya dan mengatakan bahawa insiden yang mana dia terjatuh adalah "sekadar satu kemalangan yang tragis".
Cik Wong, seorang rakyat Malaysia dan penduduk tetap Singapura, mempunyai seorang suami, yang hanya dinamakan sebagai Encik LM dalam kertas mahkamah.
Mereka mempunyai seorang anak lelaki, yang berusia kira-kira setahun apabila Cik Wong meninggal dunia.
Ketika kematiannya pada 23 Mac 2023, Cik Wong baru sahaja lebih seminggu bertugas sebagai seorang eksekutif perakaunan kanan dengan sebuah firma perakaunan.
Pengarah syarikat tersebut berkongsi bahawa mendiang merupakan seorang pekerja yang rajin, selalu menepati masa dan pantas melaksanakan tugas dan beliau malah, belum memberikan banyak kerja kepadanya kerana dia baru sahaja menyertai firma itu.
Suami Cik Wong mengatakan dia tahu isterinya itu mempunyai jamuan malam bersama rakan kerjanya di sebuah restoran pada malam 23 Mac 2023. Pasangan itu saling bertukar pesanan WhatsApp sepanjang hari tersebut.
Selepas kerja, Cik Wong serta rakan kerjanya bertemu untuk makan malam bagi seorang lagi rakan kerja mereka yang telah melepaskan jawatan.
Dia dilihat gembira, dengan dua rakan kerjanya mendedahkan dia telah minum satu sehingga tiga gelas wain. Dia kemudian mengambil komputer ribanya dari pejabat tersebut dan pulang, sambil mengirimkan teks kepada suaminya mengenai pencapaiannya dalam permainan di telefon bimbitnya.
STESEN LRT COVE
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Cik Wong menaiki sebuah kereta api LRT di laluan Punggol dan turun di stesen LRT Cove dengan penumpang-penumpang lain.
Daripada membelok ke kanan untuk menuruni tangga dan keluar dari stesen itu, dia sebaliknya dilihat berjalan melintasi platform ke arah satu lagi landasan.
Sedang dia menghampiri bahagian tengah platform tersebut, momentum langkahnya bertambah pantas sehingga dia dilihat berlari ke arah jurang antara penghalang kaca yang dipasang secara tetap itu.
Dia berlari melalui jurang tersebut lalu terjatuh ke landasan LRT berkenaan sebelum kepalanya terhantuk.
Sesetengah penumpang melihat Cik Wong terjatuh dan kelihatan tidak bergerak sedang dia berbaring di landasan berkenaan. Sebuah kereta api tiba kira-kira 18 saat kemudian dan melanggar Cik Wong.
Sejurus paramedik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati Cik Wong mengalami kecederaan yang meragut nyawanya dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan mendedahkan seorang penumpang telah menggunakan interkom tersebut di LRT Cove untuk memaklumkan Pusat Operasi dan Perintah SBS bahawa seseorang telah jatuh ke landasan itu.
Pusat tersebut segera menekan butang kecemasan mereka untuk menghentikan operasi kereta api di LRT Cove, tetapi Cik Wong telahpun dilanggar ketika itu.
Bedah siasat mendedahkan bahawa punca kematian itu adalah akibat pelbagai kecederaan, termasuk beberapa tulang rusuk yang retak.
Paras etanol dalam darah Cik Wong - yang berkemungkinan akibat meminum arak - adalah rendah, dan ia tidak mengakibatkan atau menyumbang kepada kematiannya.
Kereta api LRT tersebut beroperasi tanpa pemandu dan berautomasi, dikawal oleh pengawalan operasi dan perintah SBS. Para pegawai SBS akan hanya memasuki kereta api apabila terdapat sebarang gangguan.
Meskipun kereta api LRT itu boleh mengesan sebuah lagi kereta api di hadapannya untuk mengelak sebarang pertembungan, kereta api berkenaan tidak mampu mengesan mana-mana serpihan atau barangan di landasan itu, seperti yang diberitahu kepada mahkamah.
Koroner Negara Adam Nakhoda berkata jelas berdasarkan bukti daripada keluarga, bekas rakan setugas Cik Wong serta yang bertugas dengannya sekarang bahawa dia tidak menunjukkan sebarang petanda mengalami isu kesihatan mental.
Cik Wong dan suaminya bahkan, tidak dibelenggu sebarang isu kewangan.
Koroner tersebut mendapati ia tidak berkemungkinan Cik Wong mabuk dan tidak mampu berjalan seperti biasa pada hari tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.