Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita ditangkap, terlibat dalam penipuan menyamar pegawai China

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang wanita 21 tahun yang disyaki terlibat dalam penipuan menyamar sebagai pegawai China ditangkap selepas polis menerima laporan mengenai kes penculikan yang direka.

Menurut polis dalam satu kenyataan media pada Sabtu (24 Sep) pihaknya dimaklumkan pada Selasa lepas (20 Sep) bahawa seorang wanita 21 tahun didakwa diculik.

Sebelum laporan itu dibuat, ibu bapa mangsa di China menerima rakaman video menunjukkan anak perempuan mereka diikat kaki dan tangannya dengan tuntutan wang tebusan daripada orang yang tidak dikenali yang berkomunikasi dalam bahasa Mandarin.

Susulan laporan itu, polis menjalankan pencarian dan siasatan untuk mengesan mangsa dan beliau didapati selamat pada Khamis di sebuah flat di Yishun yang disewanya.

Siasatan awal mendedahkan mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa dari Kementerian Kesihatan (MOH). Individu tersebut mendakwa talian telefon yang didaftarkan atas nama mangsa digunakan untuk menipu orang di China.

Mangsa diperdaya untuk memindahkan lebih S$350,000 sebagai "wang jaminan" kepada penipu untuk elak daripada dihantar pulang ke China.

Mangsa yang bertindak mengikut arahan penipu berkenaan juga merakam video dirinya diikat untuk kononnya membantu siasatan.

Mangsa tidak tahu penipu tersebut telah menghantar video itu kepada ibu bapanya di China dan meminta wang tebusan untuk pembebasannya.

Siasatan polis masih dijalankan.

Sebanyak 476 kes penipuan menyamar sebagai pegawai China dilaporkan dalam lapan bulan pertama tahun ini melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$57.3 juta.

Sepanjang tahun lalu, 752 kes dilaporkan dengan kerugian berjumlah S$106.4 juta, berbanding 442 kes pada 2020 dengan kerugian sebanyak S$39.7 juta.

Polis juga menarik perhatian bahawa Polis China, Interpol dan penguatkuasaan undang-undang luar negara lain tidak mempunyai bidang kuasa untuk membantu dalam sebarang bentuk siasatan tanpa kelulusan daripada Pemerintah Singapura.

Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikut apabila mereka menerima panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali:

- Abaikan panggilan sedemikian dan arahan yang diberikan. Tiada agensi pemerintah yang akan meminta anda memindahkan wang menerusi panggilan telefon atau kiriman mesej.

- Bagi warga asing yang menerima panggilan yang mendakwa diri mereka polis dari negara asal, hubungi kedutaan atau pesuruhjaya tinggi anda untuk mengesahkan dakwaan pemanggil.

- Elak daripada memberi butiran peribadi dan maklumat perbankan anda sama ada di laman web ataupun kepada pemanggil melalui telefon

- Jangan memindahkan wang jika anda ragu-ragu dengan identiti pemanggil.

- Hubungi rakan yang boleh dipercayai ataupun saudara sebelum bertindak.

Jika anda rasa ragu, letakkan telefon dan periksa dengan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan