Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dipenjara lebih 6 tahun, gelapkan S$1.4 juta dari badan bukan raih untung

Aggiss Tan Shu Han habiskan sekitar S$0.2 juta untuk beli barang mewah dan bayar hutang; sebahagian besar baki wang yang diseleweng itu pula hangus setelah dia sendiri ditipu.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara lebih 6 tahun, gelapkan S$1.4 juta dari badan bukan raih untung

Gambar fail Mahkamah Negara. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 28 Jul 2021 11:38PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 11:41PM

SINGAPURA: Semasa bekerja sebagai penolong kewangan dan pentadbiran di sebuah badan tidak meraih untung, Aggiss Tan Shu Han menggelapkan lebih S$1 juta dalam tempoh dua bulan.

Duit haram itu digunakan untuk membeli beg tangan mewah dan barang kemas.

Sebahagian besar wang pula dipindahkan kepada seorang penipu bernama "Fred Cheong", yang ditemuinya di app mencari jodoh online.

Ketika ditangkap dan disoal siasat polis, dia berbohong telah menjual beg dan barang kemas tersebut.

Pada Rabu (28 Jul), Tan, 36 tahun, dipenjara enam tahun dan tujuh bulan.

Warga Singapura itu mengaku bersalah atas satu dakwaan jenayah pecah amanah sebagai seorang kakitangan, satu dakwaan menghalang pelaksanaan undang-undang dan satu kesalahan memberi keterangan palsu kepada polis.

Tiga dakwaan serupa dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

APA YANG BERLAKU

Ketika melakukan kesalahan pada 2019, Tan bekerja di The International Union Against Tuberculosis and Lung Disease Asia Pacific.

Badan tidak meraih untung itu membangunkan program yang memberi tumpuan kepada penyakit batuk kering, kesihatan paru-paru serta penyakit tidak berjangkit.

Tan menerima gaji bulanan sekitar S$2,500, dan anggota pasukannya termasuk akauntan, Cuthbert Syn.

Pada Mac 2019, Encik Syn memberi Tan token perbankan internet untuk salah satu akaun badan itu di bank Standard Chartered (StanChart) dan memintanya memindahkan dana dari akaun itu ke akaun-akaun lain.

Pada beberapa kesempatan, Encik Syn memintanya untuk mengembalikan token itu tetapi dia berbohong kononnya terlupa membawanya ke pejabat.

Antara 4 April hingga 10 Jun 2019, dia menggunakan token tersebut untuk memindahkan sekitar S$1 juta ke akaun banknya sebanyak 133 kali.

Dalam tempoh yang sama, dia menggelapkan lagi S$453,000 dari akaun bank lain badan tersebut.

Dengan jumlah yang diperolehinya, dia memindahkan S$797,000 kepada pihak ketiga, berdasarkan arahan dari teman lelakinya yang dikenali sebagai "Fred Cheong".

Ini dengan tujuan melepaskan bungkusan berisi wang tunai AS$800,000 (S$1.08 juta) yang didakwa ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Namun itu hanya sangkaannya kerana pada hakikatnya, ia merupakan satu penipuan.

Dia juga memindahkan kira-kira S$322,000 kepada penipu lain, dan menghabiskan lebih S$200,000 untuk membeli barangan mewah dan membayar hutang.

Dia belum membayar balik wang tersebut, meskipun polis berjaya mendapatkan kembali sekitar S$225,000 dan barang-barang mewah tersebut.

Ini bermakna bekas majikannya mengalami kerugian sebanyak S$1.2 juta.

SURUH TUAN TANAH TIPU POLIS TENTANG DUIT SEWA

Tan direman pada 20 Jun 2019 bagi siasatan.

Dia dibenarkan menggunakan telefon bimbitnya atas belas kasihan untuk menguruskan penjagaan anak perempuannya.

Tan bagaimanapun mengambil kesempatan dengan mengirim pesanan teks WhatsApp kepada pemilik rumahnya, Liew Chwee Jen, dengan berkata: "Jika ada sesiapa yang tanya jika aku pindahkan wang, hanya katakan aku pinjamkan kau wang itu, jangan kata ia duit sewa."

Dia kemudian memadam mesej itu.

Tan juga menyimpan barang-barang kemas dan beg mewah di unit yang sewa dari Cik Liew.

Keesokan harinya, Cik Liew berbohong kepada polis bahawa dia tidak ingat tentang sebarang duit sewa yang diterima dari Tan.

Polis kemudian menemui mesej WhatsApp Tan di telefon bimbit Cik Liew. Tuan rumah itu kemudian menarik balik kenyataan yang dibuatnya.

Tan juga berbohong kepada polis dalam kenyataannya, dengan mendakwa dia sudah menjual barang kemas dan beg-beg tersebut.

Namun para pegawai kemudian menemui dan merampas barang itu dari unitnya.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada Cik Liew didakwa di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Foo Shi Hao meminta hukuman dijatuhkan, dengan berhujah bahawa modus operandi Tan menunjukkan dia membuat perancangan dan pertimbangan teliti.

Atas kesalahan jenayah yang paling serius iaitu pecah amanah sebagai seorang kakitangan, Tan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan