Skip to main content

Singapura

Wanita dipenjara kerana tidak lapor kekasih lakukan serangan seksual ke atas anak

Seorang wanita berusia 40 tahun dipenjara hari ini (25 Feb) kerana membiarkan kekasihnya melakukan serangan seksual ke atas anak perempuannya selama tujuh tahun sejak anaknya itu berusia tujuh tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara kerana tidak lapor kekasih lakukan serangan seksual ke atas anak

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 25 Feb 2019 06:30PM Dikemas Kini : 25 Feb 2019 07:25PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 40 tahun dipenjara hari ini (25 Feb) kerana membiarkan kekasihnya melakukan serangan seksual ke atas anak perempuannya selama tujuh tahun sejak anaknya itu berusia tujuh tahun.

Mangsa mengadu kepada ibunya tentang perbuatan itu tetapi apabila kekasihnya menafikan dakwaan itu, dia tidak mengendahkannya.

Tahun demi tahun berlalu dan meskipun dia mengesyaki kekasihnya masih melakukan serangan seksual ke atas anaknya, wanita itu bersetuju untuk membiarkannya menjaga anaknya pada siang hari bila dia bekerja sebagai seorang tukang masak.

Malah, dia pernah membiarkan kekasihnya mandi bersama anaknya yang ketika itu berusia 13 tahun di rumahnya di Clementi.

Sebelum kejadian itu mangsa sudah tidak lagi mengadu kepada ibunya. Apabila dia bertanya kepada anaknya jika lelaki itu melakukan serangan seksual ke atasnya, mangsa memilih untuk tidak berterus-terang kerana tidak ingin menjadi punca ibunya bergaduh dengan kekasihnya itu.

Atas sebab secara sengaja tidak melaporkan kesalahan-kesalahan tersebut, wanita itu dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.

Tahun lalu, kekasihnya yang berusia 48 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 34 tahun dan dikenakan 24 sebatan kerana melakukan serangan seksual dan merogol mangsa. Dia sedang menjalani tempoh hukumannya.

Nama semua pihak dalam kes ini tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Lelaki berkenaan - yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki - dan ibu mangsa mula menjalinkan hubungan sulit ketika mangsa berusia empat tahun.

Lelaki yang menganggur itu, seorang bekas pemandu teksi, mula melakukan serangan seksual ke atas mangsa pada 2010, ketika dia menjaga mangsa di rumahnya sewaktu cuti sekolah.

Lelaki itu akan menonton filem-filem lucah di hadapan mangsa dan kemudian akan melakukan serangan seksual setiap kali mereka bersendirian di rumah. Dia tidak berhenti melakukan perbuatan itu meskipun mangsa merayu kepadanya dan mengadu rasa sakit.

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa mangsa mengadu kepada ibunya tetapi dia tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya.

Pada 2016, lelaki itu meminta mangsa mandi bersamanya di hadapan ibunya. Mangsa menuruti permintaannya dan ibunya tidak campur tangan. Mangsa akhirnya membuat laporan polis pada tahun itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita