Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dipenjara, denda kerana buat kecoh di kedai Huawei, herdik polis

Dek kecewa kerana tidak dapat membeli telefon bimbit jenama Huawei pada harga diskaun, Ng Puay Chin mendera secara lisan beberapa pegawai polis dan mengherdik pengurus kedai itu sebagai "pembohong" dan "penipu".

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara, denda kerana buat kecoh di kedai Huawei, herdik polis

(Gambar: All Singapore Stuff)

Diterbitkan : 23 Oct 2020 08:57PM Dikemas Kini : 23 Oct 2020 08:58PM

SINGAPURA: Dek kecewa kerana tidak dapat membeli telefon bimbit jenama Huawei pada harga diskaun, Ng Puay Chin mendera secara lisan beberapa pegawai polis dan mengherdik pengurus kedai itu sebagai "pembohong" dan "penipu".

Wanita yang menganggur itu bertekak dengan pekerja kedai dan pegawai polis selama 15 minit, dan bertanya kepada salah seorang pegawai polis jika beliau orang jahat dan memberitahunya bahawa beliau tidak boleh menyentuhnya.

Tiga pegawai polis diperlukan untuk menahan dan menangkap wanita itu apabila dia merangkak ke bawah sebuah meja.

Pada Khamis (22 Okt), wanita berusia 54 tahun itu dikenakan hukuman penjara dua minggu dan didenda S$1,000.

Dia mengaku bersalah atas kesalahan mengganggu dan menggunakan kekerasan terhadap kakitangan awam, dengan tiga lagi tuduhan termasuk menceroboh masuk, diambil kira dalam menentukan hukuman.

Dia melakukan kesalahan itu pada 26 Julai tahun lalu, iaitu pada hari pertama promosi sempena Hari Kebangsaan yang dikendalikan oleh Huawei. Promosi itu diiklankan secara online.

Rakyat Singapura dan penduduk tetap yang berusia 50 tahun dan ke atas boleh membeli telefon bimbit Y6 Pro 2019 keluaran Huawei pada harga S$54, berbanding harga asal iaitu S$198. Para pelanggan hanya dibenarkan membeli maksimum dua telefon bimbit setiap satu.

Pada hari pertama promosi itu dijalankan, syarikat teknologi gergasi China memohon maaf di laman Facebooknya bahawa ia tidak dapat menawarkan promosi itu kepada "sebilangan besar" pelanggan disebabkan "permintaan yang tinggi".

Di salah sebuah cawangannya di pusat beli-belah Jem di Jurong East, sekitar 300 orang sudah pun beratur di luar kedai itu pada pukul 10.00 pagi.

Kakitangan kedai itu mengagihkan tiket di luar kedai itu dan mengesahkan usia para pelanggan berkenaan. Setiap orang layak menerima dua tiket dan pengurus kedai itu mempunyai hanya 46 tiket, menyebabkan sebilangan besar pelanggan pulang dengan tangan kosong.

Orang ramai yang berkumpul di luar kedai itu mula berasa tidak sabar dan gelisah. Ng mendekati pengurus kedai itu, menuding jari ke arahnya dan memanggilnya seorang "pembohong" dan "penipu", menjerit ke arahnya supaya "awas" dan "berjaga-jaga".

'ADAKAH ANDA ORANG JAHAT?'

Apabila kedai itu dibuka pada pukul 11.00 pagi, orang ramai termasuk Ng berpusu-pusu masuk ke dalam kedai.

Apabila dia mengugut diberikan telefon bimbit dan pengurus kedai itu enggan berbuat demikian, dia memanggilnya seorang pembohong dan penipu sekali lagi.

Dia juga mengumpulkan orang ramai di sekelilingnya supaya bertindak kasar terhadap pengurus berkenaan yang kemudian memberitahunya bahawa dia hanya mengganggu operasi perniagaan di kedai itu.

Namun, wanita itu enggan meninggalkan kedai itu dan polis dikerahkan untuk menguruskan orang ramai dan meleraikan pertelingkahan itu. Beberapa pegawai polis cuba memujuknya untuk meninggalkan kedai itu. Bagaimanapun dia kekal dalam kedai itu meskipun selepas bidai penutup kedai diturunkan bagi mengelakkan orang ramai dari memasuki kedai kecuali para pemegang tiket.

Apabila polis memberi amaran bahawa dia boleh ditangkap, dia meninggikan suaranya lalu berkata: "Tidak mengapa, semua orang sedang melihat. Saya berusia lebih 50 tahun dan saya seorang wanita."

Rakaman daripada kamera yang dipasang pada salah seorang pegawai berkenaan dimainkan di mahkamah.

Dalam rakaman video itu, dia berkali-kali berkata bahawa dia akan menghubungi peguamnya. Dia juga berkata: "Saya berusia lebih 50 tahun, saya tidak boleh dirotan, saya seorang wanita, saya tahu hak saya", merujuk kepada hakikat bahawa kaum wanita tidak boleh dihukum rotan di bawah undang-undang Singapura.

Ng kemudian bersembunyi di bawah sebuah meja untuk mengelak daripada ditangkap. Oleh kerana dia tidak mahu memberi kerjasama, para pegawai memutuskan bahawa kekerasan perlu digunakan untuk membawanya keluar dari kedai berkenaan, kata Timbalan Pendakwa Raya Grace Teo.

Dia akan mula menjalani hukuman pada 5 Nov. Bagi kesalahan menimbulkan gangguan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan terhadap seorang kakitangan awam, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan