Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dipenjara 6 bulan kerana pukul, tampar amah guna kasut, barangan rumah

Seorang wanita 54 tahun yang berkali-kali menyerang dan menampar pembantu rumahnya untuk sekurang-kurangnya lima tahun, dengan menggunakan barangan seperti kasut tumit tinggi dan senduk dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada Selasa (20 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara 6 bulan kerana pukul, tampar amah guna kasut, barangan rumah

Tan Bee Kim pada awalnya mempertikaikan kesalahannya tetapi memutuskan untuk mengaku bersalah ke atas satu tuduhan di pertengahan perbicaraan kesnya. (Gambar: Raj Nadarajan / TODAY)

Diterbitkan : 21 Oct 2020 11:43AM Dikemas Kini : 21 Oct 2020 11:46AM

SINGAPURA: Seorang wanita 54 tahun yang berkali-kali menyerang dan menampar pembantu rumahnya untuk sekurang-kurangnya lima tahun, dengan menggunakan barangan seperti kasut tumit tinggi serta senduk, dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada Selasa (20 Okt).

Tan Bee Kim, seorang bekas pekerja di Hotel Furama, pada awalnya mempertikaikan kesalahannya tetapi selepas separuh jalan perbicaraan kesnya, dia memutuskan untuk mengaku bersalah atas satu tuduhan.

Lagi 12 tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Cik Zeny Aquino Landingin, kini 48 tahun dan seorang ibu kepada enam anak, dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Tan akan menjalani hukuman penjaranya pada 30 Okt.

Cik Landingin memberi keterangan bahawa beliau mencatit nota mengenai penganiayaan itu untuk digunakan sebagai bukti terhadap majikannya. Beliau juga menahan penderaan itu untuk mencari nafkah buat keluarganya di Filipina.

Wanita itu bekerja untuk Tan dari September 2012 hingga Mac 2018. Cik Landingin menerima gaji asas bulanan sebanyak S$450 tetapi Tan menolaknya sedikit-sedikit apabila beliau merosakkan mana-mana barangan di dalam flat majikannya itu.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa sejak Tan menggajikan Cik Landingin, dia menganiaya pembantu rumah itu dengan:

  • Mengetuk kepalanya menggunakan cawan tanah liat
  • Memukul lengan dan kepalanya dengan senduk logam
  • Menghentak kepalanya dengan telapak tangannya di sebuah tempat letak kereta di Tampines
  • Menamparnya dua kali, memukul dadanya enam kali dan mengetuk kepalanya 13 kali
  • Mengetuk tepi kepalanya dengan kasut tumit tinggi sekurang-kurangnya tiga kali
  • Mencubit bahagian bawah lehernya beberapa kali
  • Mengetuk kepalanya dengan telefon bimbit

Mahkamah diberitahu bahawa kejadian terakhir berlaku pada lewat petang 24 Mac 2018.

Cik Landingin telah menyediakan makan malam untuk Tan dan menghidangkannya kepada majikan beliau di ruang tamu tempat wanita itu sedang menonton televisyen dan kemudian masuk semula ke dapur.

Ketika sedang makan, Tan memanggil pembantu rumah itu ke ruang tamu dan bertanya senduk apa yang digunakan beliau untuk menghidangkan makanan.

Cik Landingin mengambil senduk itu tetapi Tan memberitahu pembantu rumah itu untuk datang dekat kepadanya. Dia kemudian mengetuk kepala Cik Landingin dua kali dan sekali di dahinya dengan sebuah senduk lain untuk mencedok sup sebelum memarahi pembantu rumahnya itu kerana menggunakan senduk lebih kecil untuk menghidangkan makanan.

Bengkak di kepala Cik Landingin masih kelihatan sehingga keesokan paginya. Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kejiranan Tampines.

Dalam rayuan mengurangkan hukuman, peguam Tan, Manoj Nandwani, berkata kes itu meninggalkan "kesan besar" ke atas anak guamnya yang berhenti bekerja kerana tidak dapat memberikan tumpuan.

Dia tidak melakukan penindasan ke atas pembantu rumah itu atau menyekat makanannya, tambah Encik Nandwani.

Bahkan, Cik Landingin kembali ke Singapura untuk bekerja dengan Tan setelah pulang dari Filipina pada 2015.

Hukuman maksimum bagi menyebabkan kecederaan adalah sehingga dua tahun penjara dan denda tidak melebihi S$5,000. Majikan kepada pembantu rumah, atau mereka yang tinggal serumah dengan majikan itu, boleh dikenakan hukuman satu setengah kali lebih berat - membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda tidak melebihi S$7,500.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan