Wanita dipenjara 4 bulan kerana dera amah selepas tidak puas hati dengan kerja rumah mangsa
Marah dengan cara amahnya menjalankan tugas seperti menjemur baju atau mencuci botol, seorang wanita berusia 67 tahun menampar, menumbuk dan mencakar mangsa sehingga berdarah.
(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)
Pembantu rumah itu yang meraih gaji bulanan sebanyak S$470, mengadu hal tersebut kepada kakitangan Pusat Pekerja Domestik semasa satu panggilan rutin mengenai penderaan itu dan kemudian satu laporan polis dibuat.
Hazel Phang Fong Yen, seorang wanita rakyat Singapura berusia 67 tahun, dihukum penjara empat bulan pada Rabu (24 Jun).
Dia juga diarah membayar pampasan sebanyak S$4,440 kepada mangsa. Jika dia tidak membayarnya, dia perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama empat minggu.
Phang mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap seorang pekerja hijrahan, dengan tuduhan kedua yang serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.
BUTIRAN KES
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, seorang warga Myanmar berusia 27 tahun, Man Sian Hoih Cing mula bekerja untuk Phang pada Ogos 2022, ketika beliau berusia 23 tahun.
Phang tinggal bersama suami dan ibunya di sebuah flat.
Pada September 2022, Phang mengarahkan mangsa memeriksa tarikh luput bagi satu produk makanan.
Mangsa melakukan satu lagi tugas yang tidak dijelaskan, juga atas arahan Phang, tetapi beliau lupa untuk memeriksa tarikh luput makanan tersebut.
Disebabkan marah, Phang menampar pipi mangsa.
Dia menampar mangsa sekali lagi, sama ada pada bulan yang sama atau bulan seterusnya kerana amah itu tidak dengar apabila Phang memanggilnya untuk meminta bantuan.
Pada September atau Oktober 2022, Phang mengarahkan mangsa membersihkan botol-botol sabun di dalam tandas, di mana amah itu menuruti perintahnya dengan menyembur botol-botol itu dengan air.
Namun, Phang menumbuk mata amah itu kerana dia tidak berpuas hati dengan cara mangsa mencuci botol-botol tersebut.
Pada Oktober 2022, mangsa sedang menjemur cadar dengan menggunakan galah. Phang memarahi mangsa kerana dia menggantung cadar lebih berat di hujung galah dan kemudian mencakar bahagian leher dan dada mangsa, menyebabkan kulitnya berdarah.
Pada 15 Oktober 2022, Phang mengarahkan mangsa untuk menyiram pokok-pokoknya pada kira-kira pukul 6.00 petang.
Pada ketika itu, mangsa sedang masak dan memotong buah-buahan untuk suami Phang atas permintaannya.
Apabila Phang menyedari bahawa pokok-pokoknya belum disiram, dia berasa marah dan mencakar muka mangsa sekurang-kurangnya dua kali, berhampiran pipi dan bawah hidungnya, menyebabkan bahagian muka mangsa itu berdarah.
Pada keesokan hari, anak saudara Phang mengunjungi flat itu dan melihat mangsa mengalami pendarahan.
Beliau memberitahu perkara itu kepada bapanya, yang juga saudara lelaki Phang.
Beliau membawa mangsa ke hospital. Sebuah laporan perubatan menyatakan mangsa mengalami trauma dipukul pada bahagian mata, lebam pada muka dan pelbagai luka lelas pada muka dan dadanya.
Luka mangsa dibersihkan dan beliau diberikan ubat-ubatan untuk dibawa pulang.
Mangsa juga mengambil gambar kecederaan yang dialami.
Setelah dibenarkan pulang dari hospital, mangsa berpindah lalu tinggal bersama saudara mara Phang.
Pada Disember 2022, Pusat Pekerja Domestik (CDE) menghubungi mangsa sebagai sebahagian daripada panggilan rutin untuk memeriksa kebajikannya.
Mangsa berkata Phang mencederakannya dan seorang kakitangan pusat itu membuat laporan polis pada hari yang sama.
Mangsa dibawa ke hospital dan laporan itu menyatakan terdapat kesan luka pada bibir, pipi dan dadanya disebabkan oleh perbuatan Phang.
Phang diberkas tidak lama kemudian.
Gaji bulanan mangsa adalah S$470 dan beliau menganggur selama dua bulan mulai tarikh laporan polis dibuat pada Disember 2022 hingga 28 Feb 2023.
Phang membayar mangsa gajinya sebanyak S$470 dan memberikan duit belanja sebanyak S$72.30 pada 8 Disember 2022 bagi tempoh antara 9 November 2022 hingga 8 Disember 2022.
Dia juga membayar mangsa lagi S$289.20 bagi tempoh antara 9 Disember 2022 dengan 27 Disember 2022.
HUJAH HUKUMAN
Timbalan Pendakwa Raya Melissa Heng memohon hukuman penjara selama empat hingga enam bulan bagi Phang, selain daripada arahan membayar pampasan sebanyak S$4,440.
Ini termasuk S$940 bagi tempoh mangsa tidak bekerja selama dua bulan dan S$3,500 bagi penderitaan dan kesakitan yang dialaminya berhubung dua tuduhan berkenaan kerana terdapat kesan luka pada bahagian muka dan dadanya.
Peguam Phang, Encik Kalaithasan Karuppaya dari Regent Law, memohon denda S$10,000 atau hukuman penjara selama tiga bulan.
Beliau berkata anak guamnya sangat menyesali perbuatannya dan mengaku bertanggungjawab sepenuhnya.
Beliau juga berkata Phang "dilanda rasa bersalah" dan tinggal bersama suaminya yang berusia 70 tahun, yang pernah menghidap dan pulih daripada barah prostat.
Pasangan itu tidak mempunyai anak dan Phang tidak bekerja sejak keadaan kesihatannya mula bertambah buruk.
Phang juga penjaga utama ibunya yang berusia 103 tahun sehingga kematiannya pada 2024, katanya.
Pada 2022, Phang dikesan menghidap barah paru-paru.
Dia juga mengalami masalah perubatan lain seperti tekanan darah rendah, osteoartritis, gangguan pada proses pencernaan dan masalah lemah kawalan kencing.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, Phang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Memandangkan mangsa adalah seorang pekerja hijrahan, Phang boleh dikenakan dua kali ganda hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.