Skip to main content

Singapura

Wanita dipenjara 14 bulan; tikam paha anak perempuan dengan pisau atas dakwaan kelakuan seksual

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara 14 bulan; tikam paha anak perempuan dengan pisau atas dakwaan kelakuan seksual

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 04 Jan 2023 06:05PM
SINGAPURA: Seorang wanita menggunakan sebilah pisau untuk menikam paha anak perempuannya yang berusia 15 tahun, dikatakan kerana kelakuan seksual remaja itu. Atas tindakannya itu, dia dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada Rabu (4 Jan).

Wanita itu, yang tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti mangsa, sebelum ini mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunkan alat yang boleh menyebabkan kematian.

Mahkamah diberitahu bahawa wanita tersebut sedang minum minuman keras di rumahnya pada malam 19 Jun tahun lalu.

Anak perempuannya, yang berusia 15 dan 20 tahun ketika itu, juga berada di flat tersebut bersama adik lelaki mereka serta pembantu rumah.

Pada awal pagi 20 Jun 2022, anak perempuannya yang berusia 15 tahun sedang bersiap untuk tidur apabila dia memasuki bilik lalu memarahi anaknya itu.

Wanita tersebut memanggil anak sulungnya dan bertanya jika dia boleh membunuh anaknya itu. Oleh kerana takut dengan ibunya itu, remaja tersebut keberatan untuk masuk campur.

Si ibu kemudian mengambil sebilah pisau dari dapur dan bertanya lagi anak sulungnya jika dia patut membunuh adik perempuannya itu.

Dia kemudian merodok pisau tersebut di paha kanan anak perempuannya yang berusia 15 tahun, menyebabkannya berdarah.

Mangsa juga mengalami luka di tangannya ketika dia cuba melawan ibunya.

POLIS TIBA DAN TINGGALKAN RUMAH TERSEBUT

Polis tiba sebaik menerima aduan mengenai bunyi bising yang datang dari unit flat berkenaan.

Wanita tersebut memberitahu anak perempuannya supaya jangan keluar dari tandas. Dia malah menafikan berlakunya sebarang pertikaian apabila ditanya polis.

Sebaik sahaja polis meninggalkan unit tersebut, si ibu kembali mengherdik dan menyerang mangsa. Kali ini, dia menggunakan kipas elektrik kecil dan kayu bola lantai untuk memukul mangsa.

Ibu tersebut memberitahu mahkamah dia menikam anak perempuannya setelah mendapat tahu kelakuan seksual anak perempuannya dengan orang lain.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita