Wanita dipenjara 13 hari tidak hadir janji temu COVID-19 untuk keluar berbelanja dan berjumpa kekasih semasa cuti sakit
Seorang wanita 24 tahun dihukum penjara selama 13 hari pada Selasa (5 Okt) kerana melanggar peraturan COVID-19 dengan tidak mengendahkan arahan doktornya untuk duduk di rumah selepas didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut dan diberikan sijil cuti sakit (MC).
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Seorang wanita 24 tahun dihukum penjara selama 13 hari pada Selasa (5 Okt) kerana melanggar peraturan COVID-19 dengan tidak mengendahkan arahan doktornya untuk duduk di rumah selepas didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut dan diberikan sijil cuti sakit (MC).
Janani Kalaychelvam dijadual mengambil ujian COVID-19 dua hari kemudian.
Namun dia sebaliknya keluar dari rumahnya di Yishun untuk ke pusat beli-belah Northpoint City dan ke rumah teman lelakinya.
Di bawah undang-undang, mereka yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut dan diberi MC tidak dibenarkan keluar rumah sehingga diuji negatif COVID-19. Janani akhirnya tidak diuji positif COVID-19.
Warga Singapura itu mengaku bersalah pada bulan lepas atas satu tuduhan melanggar peraturan COVID-19. Dua tuduhan serupa diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Pihak pendakwa memohon Janani dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya dua minggu dengan mengatakan terdapat keperluan untuk mencegah masyarakat daripada melakukan tindakan yang membahayakan kesihatan awam, terutama sekali di tengah-tengah pandemik.
Peguam pembelanya, Cik Tan Jun Yin, berhujah bahawa tempoh tahanan yang singkat akan mencapai matlamat serupa, tanpa menjejasn peluangnya menjadi seorang guru bahasa Tamil.
Tempoh tahanan yang singkat bermakna pesalah hanya akan dipenjarakan sehingga dua minggu, tetapi tidak akan mempunyai rekod jenayah apabila dibebaskan.
Dalam surat memohon maaf ditujukan kepada mahkamah, Janani berkata sejak kejadian itu dia mendaftar sebagai sukarelawan di Persatuan Pembangunan India Singapura (SINDA).
"Ketika insiden itu, saya tidak memahami betapa seriusnya tindakan dan kesalahan saya. Kini saya faham.....berapa ramai orang yang saya letakkan dalam bahaya disebabkan kecuaian saya. Saya merasa kesal," katanya.
Memandangkan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya adalah sama bagi kesalahan yang serupa, maka hakim berkata beliau setuju dengan permintaan pendakwa bagi hukuman penjara selama dua minggu.
TENTANG KES
Mahkamah diberitahu bahawa Janani telah pergi ke Klinik Keluarga OneDoctors di Yishun Ring Road pada petang 30 Januari tahun ini.
Dia mengadu sakit tekak, batuk, dan sesak nafas selama beberapa hari. Doktor memberitahunya supaya mengambil ujian swab.
Oleh kerana klinik itu sudah berhenti mengambil sampel swab pada waktu itu, beliau memintanya kembali dua hari kemudian untuk mengambil ujian swab. Janani setuju.
Janani juga diberi cuti sakit lima hari, kerana perlu datang lagi dua hari kemudian.
Doktor juga menerangkan kepadanya supaya tidak keluar rumah sepanjang tempoh cuti sakit kecuali jika perlu mendapatkan rawatan atau pergi ke klinik.
Meskipun akur dengan syarat itu, Janani menaiki teksi ke rumah kawannya untuk makan malam bersama dan berada di sana sehingga sekitar 3.50 pagi.
Pada hari yang dia sepatutnya menjalani ujian swab, Janani sebaliknya keluar rumah selama lebih lima jam. Dia pergi membeli-belah di Northpoint City sekitar 7.30 malam sebelum menaiki teksi ke rumah teman lelakinya.
Ketika itu, teman lelaki dan ibunya berada di rumah dan Janani berada di sana sehingga sekitar 1.00 pagi.
Sesiapa yang didapati bersalah melanggar peraturan COVID-19 boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.