Skip to main content

Singapura

Wanita dipenjara 12 tahun kerana tipu bos serah S$3.7 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara 12 tahun kerana tipu bos serah S$3.7 juta

Lynne Charlotte James di Mahkamah Negara pada 13 Mac 2024. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 13 Mar 2024 01:25PM Dikemas Kini : 13 Mar 2024 04:34PM
SINGAPURA: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun kerana memperdayakan bosnya dalam sebuah syarikat hartanah, yang akhirnya menyerahkan S$3.7 juta, termasuk simpanan untuk hari tua, dalam tempoh hampir sedekad.

Lynne Charlotte James terus-menerus berbohong kepada mangsa bahawa dirinya akan menjadi muflis dan bahkan menyamar sebagai pegawai pemerintah dalam emel untuk menyokong dakwaan-dakwaannya.

Selepas lelaki berusia 69 tahun itu kehabisan simpanan, beliau dan isteri terpaksa menjual dua unit kondominium mereka, serta barang peribadi untuk mengumpulkan dana buat James.

Apabila pasangan itu sudah kehabisan wang tunai, mangsa perlu meminjam S$1.1 juta daripada anak saudaranya, yang kemudian mengemukakan kes ini kepada pihak berkuasa.

Pasangan itu kini tidak boleh membeli flat HDB dua-bilik, dan tinggal di rumah sewa.

James, seorang rakyat Singapura berusia 47 tahun, pada minggu lalu didapati bersalah bagi lima tuduhan menipu. Tujuh tuduhan serupa lain diambil kira semasa hukuman dijatuhkan ke atasnya.

James tidak memulangkan sebarang pampasan kepada mangsa.

Dia akan mula menjalani hukumannya pada 16 April dan kini diikat jamin S$100,000, selepas meminta masa untuk menjaga anak dan ibunya.

James mengaku bersalah setengah jalan semasa perbicaraan berlangsung, yang tertangguh selepas dia mendakwa mengalami serangan semput dan tidak boleh bernafas.

Hakim Daerah Shawn Ho memberitahu mahkamah pada Rabu (13 Mac) bahawa ini satu "kes sangat menyedihkan".

Akibat tekanan yang dialami daripada kes ini, mangsa diserang angin ahmar dan hampir menceraikan isterinya. Beliau kini menghidap barah.

Kesihatan mental isterinya pula terjejas sehingga memerlukan rawatan pakar psikiatrik. Beliau bagaimanapun terpaksa berhenti menjalani rawatan kerana mereka tidak mampu menanggung kos perubatannya.

Anak perempuan mereka juga mencederakan dirinya sendiri.

Hakim sedia maklum James mengirimkan beratus-ratus emel yang dipalsukan kepada mangsa dan "mereka cerita secara terperinci".

"Anda menipu mangsa sebanyak 2,253 kali dalam tempoh hampir 10 tahun," tambah beliau.

Mahkamah diberitahu James mula bekerja di sebuah syarikat hartanah yang tidak didedahkan namanya, pada sekitar 2006. Dia melaporkan diri kepada mangsa.

Pada 2008, James mengalami masalah kewangan dan berdepan risiko muflis. Dia mengatur rancangan untuk menipu mangsa, yang namanya dikeluarkan daripada dokumen mahkamah.

James memberitahu mangsa dirinya akan muflis dan berbohong kepadanya bahawa Pejabat Muflis dan Pemegang Amanah Awam (IPTO) menahan dana dalam estet kemuflisannya.

Dia meminta mangsa untuk membantu membayar kononnya pelbagai yuran kepada IPTO agar IPTO mengembalikan dana kepadanya.

Lelaki itu mempercayai James dan memberikannya beberapa jumlah wang. Dari semasa ke semasa, James meminta lebih banyak wang tunai daripadanya sambil berjanji semua wang itu akan dikembalikan sebaik sahaja IPTO melepaskan dana dalam estetnya.

Mangsa terpedaya bahawa dia harus terus memindahkan wang kepada James, kerana pesalah mendakwa wang yang dipinjamkan tidak dapat dikembalikan, sekiranya IPTO tidak melepaskan dananya.

Mangsa juga tidak henti-henti meminjamkan wang kerana ingin mendapatkan semula semua wang yang telah dipinjamkan kepada James.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita