Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dijumpai mati dengan bayi tidak tunjuk tanda mahu bunuh diri: Koroner

Anggaran Waktu Membaca:
 Wanita dijumpai mati dengan bayi tidak tunjuk tanda mahu bunuh diri: Koroner

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Tiada tanda-tanda menunjukkan seorang wanita 33 tahun berniat untuk membunuh diri, dengan pemeriksaan emosi selepas melahirkan anak perempuannya menunjukkan dia "tiada risiko alami kemurungan selepas bersalin".

Sungguhpun demikian, apabila suaminya keluar dengan anak lelaki mereka pada November 2023, wanita itu menjatuhkan anak perempuan mereka yang berusia setahun dari blok flat HDB mereka sebelum dia sendiri terjun.

Koroner menyifatkan kematian wanita berkenaan sebagai bunuh diri dan kematian anaknya sebagai pembunuhan menyalahi undang-undang, menurut dapatan-dapatan yang dikeluarkan pada Jumaat (27 Sep).

Dalam keputusannya, Koroner Negara Adam Nakhoda berkata mungkin "tidak akan dapat difahami sepenuhnya" mengapa ibu itu memutuskan untuk mengambil nyawanya sendiri dan juga nyawa anaknya.

"Siasatan polis tidak menemui sebarang nota sebelum bunuh diri atau surat yang ditulis oleh si ibu. Kita hanya boleh membuat spekulasi bahawa dia terlalu tertekan dan mungkin mengalami penyakit psikiatri yang tidak didiagnosis sehingga menyebabkan dia berasa seperti tiada pilihan lain kecuali mengambil langkah drastik itu," kata beliau.

"Malangnya, dalam kes ini tiada tanda-tanda menunjukkan si ibu memikirkan tentang membunuh diri."

Beliau menekankan bahawa bantuan "sentiasa ada" bagi mereka yang ada fikiran sedemikian, sama ada daripada keluarga, rakan-rakan, pengamal perubatan atau pertubuhan seperti Samaritans of Singapore.

"SOS ada talian hayat yang dikendalikan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu atau mereka boleh dihubungi menerusi WhatsApp atau melalui emel," kata koroner itu.

KES

Semasa pembukaan sesi, koroner mengenakan perintah mahkamah agar tidak didedahkan identiti semua pihak terlibat sebagai pertimbangan kepada suami dan anaknya yang masih hidup.

Perintah itu termasuk alamat rumah mereka.

Si ibu tinggal di sebuah flat bersama suaminya dan dia anak mereka.

Menurut suaminya, beliau tidak mengetahui sama ada isterinya mengalami sebarang sakit mental.

Sekalipun demikian, beliau berkata isterinya ada melempiaskan "kemarahan secara tiba-tiba" selepas melahirkan anak lelaki mereka. Ini, menurut beliau, berbeza dengan perwatakan biasa isterinya.

Beliau menyangka isterinya mengalami "isu ringan selepas bersalin" selama dua tahun selepas kelahiran anak lelaki mereka.

Wanita itu bekerja di sebuah hospital sehingga 2019 sebelum bekerja sambilan dalam bidang sama pada 2023. Wanita itu kelihatan gembira semasa mula bekerja, kata suaminya.

Pada Jun 2023, wanita itu memberitahu suaminya bahawa dia berasa seperti tidak membantu klien-kliennya dan berasa bersalah kerana majikannya memberi bayaran gaji yang baik.

Wanita itu memberitahu sebahagian kliennya supaya jangan mengambil sebarang pakej daripadanya, tetapi mereka tetap melakukan demikian. Ini membuat wanita itu berasa semakin bersalah, kata suaminya.

Pada Ogos 2023, lelaki itu menyedari tekanan yang dialami isterinya mencapai tahap "tidak sihat".

Beliau memberitahu isterinya bahawa dia boleh berehat daripada kerja kerana mereka mempunyai simpanan yang mencukupi. Wanita itu bersetuju dan duduk di rumah untuk menjaga dua anak mereka, menolak tawaran kerja daripada satu lagi syarikat pada Oktober.

Selepas pemeriksaan bagi usia setahun untuk anak perempuan mereka di sebuah poliklinik pada 10 Ogos 2023, wanita itu memberitahu suaminya bahawa anak perempuan mereka tidak membesar dengan cukup baik, kerana berat badannya rendah.

Lelaki itu berkata beliau juga seperti anak mereka. Namun ini tidak membuat isterinya berhenti berasa bimbang.

Suaminya juga mula membantu memberi makan kepada anak perempuan mereka dan menyedari keadaan isterinya bertambah baik.

Sekalipun demikian, seminggu kemudian, beliau menyedari keadaan isterinya "murung lagi" dan dia hanya akan baring di katil bersama anak perempuan mereka dan tidak berbuat apa-apa.

Keadaan isterinya kemudian bertambah baik sekali lagi seminggu kemudian menurut pemerhatian beliau, dan isterinya "kembali ceria".

Ibu wanita itu pula menyedari anaknya mudah marah selepas melahirkan anak perempuan mereka, namun berkata tiada ungkapan menunjukkan tanda ingin bunuh diri disuarakan.

Meskipun ibu wanita itu dapat merasakan bahawa anaknya mengalami sedikit kemurungan, tiada perkara lain yang luar biasa dengan anaknya itu beberapa bulan sebelum kematiannya.

Bapa wanita itu berkata tiada tanda niat mahu bunuh diri sebelum kematian. Wanita itu tidak berkongsi sebarang isu besar yang mengganggu fikirannya dengan bapanya.

HARI KEMATIAN

Pada pagi 5 November 2023, suami wanita itu meninggalkan rumah bersama anak lelaki mereka. Wanita itu berkata dia berasa tidak sihat dan anak perempuannya menghidap selesema.

Pasangan bapa dan anak lelaki itu kemudian keluar sekitar pukul 10.30 pagi. Dalam perjalanan, lelaki itu mengirimkan mesej kepada isterinya untuk memberitahu botol air anak lelaki mereka terjatuh ke landasan kereta api.

Wanita itu tidak membalas.

Sekitar pukul 12.35 tengah hari, wanita itu menjatuhkan anak perempuan mereka dari blok flat mereka sebelum dia sendiri terjun.

Seorang jiran yang sedang jemur baju menghubungi polis, dan pasangan ibu dan anak perempuan itu disahkan mati di kolong blok sekitar pukul 1.00 tengah hari, pada hari yang sama.

Apabila suaminya pulang sekitar pukul 1.40 tengah hari, beliau ternampak kepungan yang dilakukan polis dan tidak menjumpai isteri atau anaknya perempuannya di rumah.

Beliau melihat telefon bimbit isterinya sedang dicaj dan beg tangannya ada di dapur.

Beliau bergegas keluar dari rumah dan turun ke bawah, di mana beliau bertanya kepada polis sama ada di dalam kepungan itu ada dua mayat.

Polis menunjukkan gambar-gambar, meminta beliau mengenal pasti wanita dewasa dan beliau mengesahkan itu isterinya.

Ibu dan anak perempuan itu meninggal dunia disebabkan beberapa kecederaan.

Wanita itu tiada sejarah penyakit kronik dan tidak pernah didiagnosis dengan sebarang keadaan psikiatri.

Anggota keluarganya berkata wanita itu tidak pernah ada fikiran untuk bunuh diri dan bahawa mereka tidak nampak wanita itu murung sebelum insiden.

Sekalipun demikian, menurut koroner, ada "beberapa bukti" bahawa wanita itu sama ada mengalami isu psikiatri atau psikologi pada masa lalu, atau "mengalami tekanan-tekanan peribadi".

Koroner menyatakan anak perempuan pasangan itu beratnya 7kg semasa bedah siasat dijalankan, dan mungkin kanak-kanak itu tidak naik berat badan dalam tempoh sekitar tiga bulan selepas pemeriksaan terakhir di poliklinik.

Koroner mengucapkan takziah kepada keluarga pasangan ibu dan anak perempuan itu.

Di mana anda boleh dapatkan bantuan:

Talian Samaritans of Singapore: 1767

Talian bantuan Institut Kesihatan Mental: 6389 2222

Talian bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura:1800 283 7019
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan