Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dijel, palsukan surat dibuang kerja untuk dapatkan Geran Sokongan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita dikenakan hukuman penjara selama lima minggu pada Isnin (29 Ogos) atas kesalahan memalsukan surat dibuang kerja untuk mendapatkan Geran Sokongan COVID-19. 

Goh Chyi Chen, 42 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan memalsukan dokumen. Lagi satu tuduhan cuba menipu Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan. 

Mahkamah dimaklumkan bahawa Goh bertugas sebagai seorang eksekutif runcit kanan Rigel Telecom sebelum melakukan kesalahan tersebut. Dia dibuang kerja pada Mei 2020 disebabkan prestasi kerja yang kurang memuaskan. 

Mahkamah diberitahu, sebab-sebab bagi pemecatan Goh tertera pada surat yang dikeluarkan Rigel Telecom dan pemberhentiannya tidak berhubung-kait pandemik COVID-19.

Geran Sokongan COVID-19 yang dikendalikan MSF, memberi bantuan kewangan kepada warga Singapura yang terjejas kesan kewangan pandemik. 

Bagi mereka yang kehilangan kerja atau diberikan cuti tanpa gaji untuk sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut, geran itu memperuntukkan geran tunai bulanan sehingga S$800 selama tiga bulan. Kuantum bantuan kewangan itu berdasarkan gaji bulanan yang terakhir diterima, dan dihadkan pada S$800. 

Pada 1 Oktober 2020, Goh membuat permohonan online bagi Geran Sokongan COVID-19 dan melampirkan surat pembuangan kerja yang palsu tersebut. 

Dia menggunakan sofwe pemprosesan untuk mengubah kandungan surat itu dan memadamkan semua sebab yang diberikan untuk melepaskannya, dan sebaliknya menyatakan ia berlaku disebabkan COVID-19. 

Pada 12 Oktober 2020, seorang pegawai MSF menghubungi syarikat tersebut untuk mengesahkan kandungan surat itu dan mendapat tahu bahawa syarikat berkenaan tidak mengeluarkan surat sedemikian. 

Apabila pegawai tersebut menghubungi Goh, dia tetap mendakwa bahawa dia dipecat disebabkan pandemik. MSF akhirnya menolak permohonan Goh. 

Timbalan Pendakwa Raya Norman Yew menegaskan bahawa tindakan Goh membawa risiko kepada dana awam, dan menarik perhatian bahawa Goh terus menegakkan penipuannya apabila disoal oleh seorang pegawai MSF. 

Beliau juga berkata Goh sebelum ini dikenakan tuduhan menipu, pemalsuan dan jenayah pecah amanah, walaupun tuduhan-tuduhan itu berlaku pada 2004 dan sudah lapuk. 

Peguam bela Anand Nalachandran yang mengusulkan hukuman penjara tidak lebih daripada seminggu bagi anak guamnya, meminta mahkamah untuk mengambil kira "situasi mendesak" yang dialami Goh pada waktu kejadian. 

Beliau juga menekankan bahawa permohonan Goh ditolak MSF dan tiada dana awam yang diagihkan kepadanya. 

Hukuman bagi kesalahan memalsukan dokumen adalah penjara sehingga empat tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan