Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dijel, palsukan sijil GCE O untuk mohon kerja sebagai pengetua prasekolah

Seorang wanita dihukum penjara dua minggu pada Khamis (26 Jan) kerana memalsukan dokumen untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pengetua prasekolah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita dihukum penjara dua minggu pada Khamis (26 Jan) kerana memalsukan dokumen untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pengetua prasekolah.

Zhong Anqi Angela, 43 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan pemalsuan, dengan lagi dua tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Zhong memohon pekerjaan sebagai pengetua pusat di Tadika Prasekolah Al-Amin (Tampines) di 9 Tampines Street 32.

Untuk melayakkan diri sebagai seorang pengetua prasekolah, para pemohon kerja perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak, memperolehi sijil Diploma dalam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-Kanak - Kepimpinan dan memegang Surat Makluman Guru (LON) Peringkat Dua.

Untuk melayakkan diri bagi pensijilan Peringkat Dua, pemohon harus mempunyai sekurang-kurangnya lima kredit dalam peperiksaan GCE Peringkat O termasuk Bahasa Inggeris dan sijil Diploma dalam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-Kanak - Pengajaran.

Pusat prasekolah Al-Amin membuat permohonan online pada Februari 2019 menerusi One@ECDA untuk mendaftarkan Zhong sebagai pengetuanya. One@ECDA merupakan sebuah wadah online yang digunakan oleh guru prasekolah untuk mendaftar pekerjaan mereka dan memohon untuk sijil mereka diiktiraf.

Selepas menerima permohonan itu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) melakukan semakan pengesahan bersama badan-badan pengeluar sijil dan mendapati empat dokumen Zhong tidak dapat disahkan.

Salah satu dokumen yang diserahkan oleh Zhong adalah sijil LON yang kononnya dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) kepada Pat's Schoolhouse, yang menyatakan Zhong ditauliahkan dengan sewajarnya.

Siasatan mendedahkan bahawa Zhong tidak pernah bekerja di Pat's Schoolhouse. ECDA juga mengesahkan bahawa sijil LON diberikan kepada pusat tadika dan bukan kepada pusat jagaan kanak-kanak seperti Pat's Schoolhouse.

Pada awalnya Zhong menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa sijil LON yang dihantarnya adalah sah.

Dia hanya mengaku selepas siasatan lanjut mendedahkan bahawa dokumen itu dipalsukan. Menurutnya, dia sedar bahawa dia perlu menghantar LON sebagai sebahagian daripada permohonan pekerjaan.

Dia mencari salinan LON dalam talian antara Ogos 2018 dengan Julai 2019 lalu mengimbasnya. Dia kemudian menggunakan aplikasi 'Paint" pada komputer ribanya untuk mengubah dokumen tersebut dengan menyertakan namanya dan menukar tarikh sebelum mencetak sijil itu.

Sijil Peringkat O Zhong juga tidak dapat disahkan. Dalam sijil itu, ia menyatakan bahawa dia menduduki peperiksaan GCE Peringkat O pada 1995 dan mendapat gred B3 bagi Bahasa Inggeris.

Namun, Zhong sebenarnya menduduki peperiksaan itu pada 1996 dan 1997 dan meraih gred D7 untuk kedua-duanya. Dia sedar keputusan 'lulus' diperlukan untuk Bahasa Inggeris untuk layak dilantik sebagai pengetua prasekolah.

Dia juga memalsukan dokumen itu dengan menggunakan aplikasi 'Paint' pada komputer ribanya. 

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun, sambil merujuk kepada penghakiman sebelum ini yang menyatakan bahawa hukuman penjara tidak dapat dielakkan dalam kes yang mana keyakinan awam dipertaruhkan atau pemalsuan menyebabkan seseorang itu diberikan kontrak.

"Ini adalah penting memandangkan Pemerintah melaksanakan usaha berterusan untuk membangunkan dan memperbaiki mutu prasekolah dan mengukuhkan perkembangan guru prasekolah untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat permulaan terbaik dalam hidup," katanya.

"Memastikan pelantikan pengetua dan guru bertauliah, seperti diluluskan oleh ECDA, adalah penting untuk penyediaan penjagaan dan pendidikan bermutu kepada kanak-kanak."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan