Wanita dijel humban TV, pembesar suara kekasih dari tingkat 50 kondominium
Seorang wanita yang menghumban barangan milik teman lelakinya dari balkoni unit kondominiumnya di tingkat 50 dijatuhi hukuman penjara selama tujuh minggu pada Selasa (19 Oktober), menurut laporan TODAY.
(Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Seorang wanita yang menghumban barangan milik teman lelakinya dari balkoni unit kondominiumnya di tingkat 50 dijatuhi hukuman penjara selama tujuh minggu pada Selasa (19 Oktober), menurut laporan TODAY.
Barang-barang itu termasuk satu televisyen dan alat pembesar suara.
Kejadian itu berlaku pada awal pagi 28 Februari tahun lalu, seminggu selepas teman lelaki Maria Isabel Lluen Saenz mengaku main kayu tiga.
Saenz, yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai guru di Sekolah Antarabangsa Kanada, kini sudahpun berkahwin dengan teman lelakinya itu.
Warga Peru berusia 49 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan tindakan melulu yang membahayakan keselamatan diri orang lain.
TEMAN LELAKI BERLAKU CURANG SEMASA LAWATAN KE BATAM
Pasangan itu sudah bersama selama hampir dua tahun, dan berpindah ke kondominium V at Shenton di Shenton Way lapan bulan sebelum kejadian tersebut, menurut TODAY.
Mahkamah diberitahu bahawa Saenz mendapat tahu kekasihnya main kayu tiga pada 21 Februari tahun lalu ketika dia pergi ke Batam, Indonesia.
Teman lelakinya itu tidak dapat dihubungi hingga keesokan harinya, di mana dia kemudian mengaku main kayu tiga semasa pergi ke Batam.
Saenz dikatakan memindahkan barangan milik teman lelakinya itu ke balkoni dan kemudian menghumbannya ke bawah.
Timbalan Pendakwa Raya Andre Ong memberitahu mahkamah bahawa Saenz menyedari betapa bahayanya tindakannya tetapi tetap melakukan tindakan tersebut, lapor TODAY.
Pihak pendakwa, meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan minggu, dengan menarik perhatian bahawa barang yang dihumban oleh Saenz menimbulkan "bahaya yang amat tinggi bagi nyawa manusia" dan ia "hanya kebetulan" tiada yang tercedera atau maut.
Dalam rayuannya, peguam bela Saenz berkata anak guamnya sudah menjadi pendidik selama 24 tahun dan mempunyai rekod bersih sepanjang hidupnya, menurut TODAY.
Dia tiba di Singapura pada tahun 2010 dan mengajar di United World College secara sambilan sebelum bekerja sepenuh masa di Sekolah Antarabangsa Kanada.
Menurut laporan TODAY Saenz akan dihantar pulang dan kemungkinannya tidak akan dapat mengajar lagi. Pasangan itu akan meninggalkan Singapura setelah Saenz menjalani hukuman penjara, tambah laporan itu.
Dia akan memulakan hukumannya pada 21 Oktober dan buat masa ini bebas dengan diikat jamin. Suaminya dilihat berada di mahkamah bersamanya.
Saenz boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda hingga S$ 2,500, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.