Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dijel 7 bulan; tebus 397 pelitup Yayasan Temasek secara haram

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dijel 7 bulan; tebus 397 pelitup Yayasan Temasek secara haram

Pelitup yang diagihkan oleh Yayasan Temasek di Singapura.

SINGAPURA: Semasa bekerja sebagai perekrut, Chua Sah May menggunakan pelbagai kad pengenalan pekerja hijrahan untuk menebus secara haram hampir 400 pelitup percuma daripada Yayasan Temasek.


Warga Singapura itu dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan pada Isnin (17 Jan) selepas mengaku bersalah di mahkamah daerah atas satu tuduhan menipu.

Setiap penduduk berhak mendapat satu pek pelitup dan boleh menebusnya dengan menekan nombor kad pengenalan pada mesin layan diri yang disediakan di merata negara melalui dua agihan yang dijalankan pada Jun dan September 2020.

Mahkamah diberitahu bahawa Chua dikerahkan oleh syarikatnya ke syarikat kimia Clariant Singapore dan Archroma Singapore ketika itu. Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan nama majikannya.

Chua diberikan nombor kad pengenalan (FIN) pekerja hijrahan bagi membolehkannya menguruskan gaji dan permohonan pas kerja mereka.

Dia kemudian memutuskan untuk menggunakan nombor kad pengenalan (FIN) pekerja hijrahan yang dipercayai sama ada sudah meninggalkan Singapura atau tidak dibenarkan untuk memasuki negara ini disebabkan oleh sekatan-sekatan COVID-19 untuk menebus pelitup itu secara haram.

Dia menyalin nombor FIN tersebut pada sekeping kertas dan membawanya ke Kelab Masyarakat Yio Chu Kang untuk menebus sekurang-kurangnya 397 kit pelitup yang bernilai sekitar S$3,100. Perbuatannya itu dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV).

Selepas Chua diberkas, dia menyerahkan 454 kit pelitup kepada pihak polis. Yayasan Temasek tidak dapat menerimanya atas sebab-sebab kebersihan, menurut mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Louis Ngia mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya tujuh bulan kerana pelitup-pelitup yang diambil Chua boleh bertahan lebih daripada 66 tahun. Yayasan Temasek menganggarkan sepasang pelitup boleh bertahan sehingga dua bulan.

"Sekalipun kesalahan itu tidak rumit, ia dilakukan secara berterusan melalui dua agihan. Tidak boleh dikatakan tertuduh melakukannya mengikut gerak hati," menurut pendakwa raya.

Peguam bela Chua, Ramesh Tiwary, berhujah dalam rayuan bagi pihak anak guamnya bahawa Chua "benar-benar sudah serik" dan selepas bermalam dalam lokap dia tidak mahu mengulangi kesalahan tersebut."

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menipu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan