Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dijel 3 tahun dera 2 anak perempuan; salah seorang patah gigi

Seoang ibu yang mendera dua anak perempuannya dengan menampar dan menendang mereka beberapa kali pada waktu-waktu berbeza, hari ini (29 Sep) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dijel 3 tahun dera 2 anak perempuan; salah seorang patah gigi

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 29 Sep 2021 06:58PM Dikemas Kini : 29 Sep 2021 08:50PM

SINGAPURA: Seoang ibu yang mendera dua anak perempuannya dengan menampar dan menendang mereka beberapa kali pada waktu-waktu berbeza, hari ini (29 Sep) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Suri rumah berusia 38 tahun itu tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah demi melindungi identiti anak-anaknya.

Sebelum ini, wanita berkenaan mengaku bersalah atas tujuh tuduhan menganiaya anak-anak perempuannya yang berusia empat dan lapan tahun ketika kesalahan-kesalahan itu dilakukan.

Penderaan itu terbongkar selepas suami wanita tersebut memasang sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di ruang tamu mereka pada Disember 2018. Ia dipasang berikutan beberapa kali tertuduh meninggalkan anak-anaknya sendirian di rumah.

Lelaki berusia 37 tahun itu adalah bapa kandung kepada kedua-dua budak perempuan tersebut. Pasangan itu juga mempunyai seorang anak lelaki kecil yang tidak didera.

Pada 18 Jun 2019, suami tertuduh pulang ke rumah dan mendapati anak perempuannya yang berusia lapan tahun rongak gigi depan.

Apabila ditanya apa yang sudah berlaku, budak perempuan itu memberitahu beliau bahawa ibunya menampar serta menendangnya, menyebabkan mulut berdarah dan gigi patah.

Budak perempuan itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH). Namun, lelaki tersebut tidak bersemuka dengan isterinya tentang insiden itu.

Sewaktu melihat rakaman CCTV, lelaki tersebut mendapati isterinya menampar dan menendang dengan ganas anak perempuannya itu. Pemeriksaan rakaman CCTV dari hari-hari sebelumnya juga mendedahkan wanita itu menyerang dengan ganas kedua-dua anak perempuannnya itu pada waktu-waktu lain.

PUKUL MEREKA "HANYA BILA PERLU"

Siasatan mendedahkan suri rumah itu mula memukul anak perempuan sulungnya apabila dia masih berada di tadika. Pukulan itu bertambah teruk pada 2018 apabila dia memasuki Darjah 1.

Budak perempuan itu berkata ibunya akan memukulnya dengan "sangat kuat" dengan penderaan termasuk menampar beberapa kali pada bahagian muka dan menggunakan rotan untuk memukul. Selain itu, ibunya juga menendang dan menarik rambutnya.

“Serangan-serangan ini biasanya berlaku di ruang tamu di mana kamera CCTV dipasang. Kadangkala, tertuduh akan menarik rambut budak itu dan mengheretnya ke dalam bilik untuk meneruskan serangan di luar pantauan kamera CCTV," kata Timbalan Pendakwa Raya Lim Ying Min.

Budak perempuan itu tidak memberitahu bapanya tentang insiden-insiden tersebut kerana dia takut ibunya akan mendapat tahu dan memukulnya lebih teruk, kata Cik Lim. Beliau menambah budak itu juga tidak memberitahu guru-gurunya.

Rakaman CCTV menunjukkan tertuduh menyerang anak perempuan sulungnya sekurang-kurangnya tiga kali pada bulan itu dan dia tinggal bersendirian dengan anak-anaknya ketika semua kesalahan tersebut dilakukan.

Tertuduh berkata dia mendisiplinkan anak-anaknya kerana mereka "sangat nakal". Wanita itu mendakwa dia memukul mereka "hanya bila perlu" dan biasanya memilih untuk hanya memarahi mereka atau meminta mereka menghadap tembok.

Pada 5 Julai 2019, tertuduh berada di rumah bersama kesemua tiga anaknya apabila dia mencubit anak perempuan yang lebih kecil - ketika itu berumur empat tahun - beberapa kali dan berulang kali menampar pipinya.

Selepas insiden tersebut, kedua-dua budak perempuan itu dibawa keluar dari rumah buat sementara waktu oleh seorang pegawai perlindungan kanak-kanak dari Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Pada 1 Disember tahun yang sama, tertuduh sekali lagi bersendirian di rumah dengan anak-anaknya. Ketika itu, suaminya keluar untuk menemani ibu bapa beliau, yang datang menziarahi mereka, untuk menaiki teksi sebelum beliau pergi ke kedai berdekatan untuk membeli beberapa barang.

Sekembalinya ke rumah, isterinya memberitahu beliau bahawa dia mencampakkan pena penanda pada anak perempuannya yang lebih tua itu dalam keadaan marah. Akibatnya, ada kesan lebam pada dahi budak itu.

Tertuduh kemudian mendakwa luka itu hanya ringan sahaja dan tiada keperluan untuk membawa anaknya itu berjumpa doktor.

Apabila ditanya oleh bapanya, budak perempuan itu berkata ibunya menyuruh dia untuk tidak memberitahu sesiapa tentang insiden tersebut.

Lelaki berkenaan kemudian memberitahu pegawai perlindungan kanak-kanak tentang serangan tersebut.

Sebaik sahaja dia tahu pegawai itu akan datang ke rumahnya, tertuduh memberitahu anak perempuan sulungnya untuk berbohong kepada pegawai berkenaan dan memberitahu beliau bahawa mereka sedang bermain apabila satu mainan terkena pada bahagian muka.

Suri rumah berkenaan kemudian berkata dia mencampakkan pena penanda ke arah anak perempuannya itu kerana tidak boleh tahan dengan aduan budak itu mengenai adik-beradiknya.

PENDERAAN BERTERUSAN

Penderaan terus berlaku awal tahun ini ketika wanita itu bebas dengan ikat jamin.

Siasatan mendedahkan sekitar Ogos tahun ini, suaminya menyedari tertuduh naik berang dan memekik ke arah anak-anaknya tanpa sebarang alasan.

Lelaki itu kemudian melihat rakaman CCTV di rumahnya dan mendapati isterinya mendera secara fizikal kedua-dua anak perempuan mereka antara Mac dengan Mei 2021.

Beliau kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada khidmat perlindungan kanak-kanak.

Pada 8 Mac tahun ini, tertuduh menarik telinga anak perempuannya yang lebih tua dan menampar mukanya. Dia kemudian menggunakan jarinya untuk berulang kali memukul kepala dan lengan budak itu.

Wanita itu kemudian memberitahu pegawai siasatan bahawa dia mendisiplinkan anak perempuannya kerana dia tahu dia akan masuk penjara dan mahu anaknya "berkelakuan lebih baik" sebelum ketiadaannya.

Satu penilaian psikiatrik oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati tertuduh tidak mengalami sebarang penyakit mental yang didiagnosis ketika kesalahan-kesalahan dilakukan dan buat masa ini tidak mengalami sebarang penyakit mental.

Laporan itu menambah "potensi risiko masa hadapan akibat hukuman fizikal yang berat terhadap anak-anak tetap tinggi" dan interaksi masa depan dengan anak-anak harus "diawasi dengan ketat".

Bagi setiap tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak, tertuduh boleh dipenjara sehingga empat tahun atau didenda tidak melebihi S$4,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa