Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dihukum penjara palsukan surat buang kerja, terima geran COVID-19 sebanyak S$4,000

Seorang wanita yang menipu dan memalsukan surat pembuangan kerja dari majikannya agar layak menerima geran COVID-19 sebanyak S$4,000 dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Isnin (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dihukum penjara palsukan surat buang kerja, terima geran COVID-19 sebanyak S$4,000

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 06:39PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 06:53PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang menipu dan memalsukan surat pembuangan kerja dari majikannya agar layak menerima geran COVID-19 sebanyak S$4,000 dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Isnin (13 Sep).

Tiong Shi Lin, 32 tahun, berjaya menipu sistem berkenaan dua kali dengan berbohong pada borang permohonan dan memalsukan surat pembuangan kerja, menurut dokumen mahkamah.

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu dan satu tuduhan pemalsuan dokumen.

Setelah Tiong diberhentikan kerja di sebuah syarikat pada Februari lalu, dia mula bekerja sebagai seorang penolong pentadbiran dan akaun dalam jabatan sumber manusia sebuah syarikat sofwe pada bulan April tahun yang sama.

Pada 5 Mei, Tiong membuat permohonan bagi geran sokongan COVID-19 dengan menyatakan dia menganggur sejak 2 Feb 2020.

"Dia tahu bahawa dia tidak memenuhi syarat kelayakan untuk memohon geran sokongan COVID-19, kerana mulai April 2020 dia bekerja di Assurance Technology," menurut dokumen mahkamah.

Pemohon yang layak menerima tiga bayaran bulanan berturut-turut berdasarkan gaji bulanan terakhir mereka, tertakluk kepada had $800 sebulan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menolak permohonan Tiong dua minggu kemudian kerana dia tidak memberi dokumen sokongan cukup untuk membuktikan kehilangan pekerjaan.

BOHONG TENTANG PEKERJAAN

Pada 20 Mei, Tiong memohon geran sekali lagi, kali ini dengan dokumen-dokumen sokongan. Dia berbohong dengan mengisytiharkan tidak menerima gaji pada bulan Mac, April dan Mei 2020.

Dia menyerahkan petikan skrin perbualan WhatsApp dengan bekas penyelianya dari syarikat di mana dia dibuang kerja.

Tiong turut menyerahkan kenyataan CPF dari bulan Januari hingga April 2020, dan secara sengaja tidak menyertakan kenyataan bulan Mei kerana ingin menyembunyikan sumbangan CPF yang diterimanya pada bulan itu, jelas dokumen mahkamah.

Kali ini, permohonan Tiong diluluskan dan MSF membayar S$2,400 sepanjang tempoh tiga bulan.

Apabila peluang kedua untuk memohon geran dibuka pada bulan Oktober, dia mendaftar lagi. Tiong sudah menyediakan permohonannya dari awal lagi.

PALSUKAN SURAT BUANG KERJA

Pada 17 Ogos, Tiong memalsukan surat dibuang kerja dari Assurance Technology yang menyatakan dia akan dihentikan dalam sekitar sebulan.

Untuk menyediakan surat tersebut, Tiong memasuki fail sumber manusia Assurance Technology yang dikongsi dan memuat turun contoh surat pemberhentian kerja ke komputer riba yang diberi syarikatnya.

Dia kemudian mengisikan butirannya, dan merubah surat itu untuk menyatakan bahawa dia akan diberhentikan kerana syarikat tersebut perlu mengurangkan tenaga pekerja.

Tiong kemudian mencetaknya lalu menandatangani surat tersebut.

Dalam permohonannya, Tiong menyerahkan surat tersebut bersama petikan skrin yang menunjukkan dia telah membuat permohonan untuk pekerjaan lain. Dia juga memberi nama dan nombor telefon palsu sebagai kontak di Assurance Technology.

Permohonan Tiong diluluskan dan dia menerima S$1,600 sepanjang dua bulan. Bagaimanapun, sebelum dia sempat menerima bayaran ketiga, tipu helahnya terbongkar.

Tiong telah memulangkan komputer riba milik syarikat kepada seorang rakan kerja untuk dibaiki. Rakan kerja tersebut menemui sehelai surat palsu yang dicetak di dalam beg komputer riba berkenaan, menurut dokumen mahkamah.

Laporan polis dibuat pada 24 Nov dan Tiong diberkas pada hari yang sama.

Dalam minggu-minggu selepas dia ditangkap, Tiong pada mulanya berbohong tentang kesalahan-kesalahannya apabila disoal polis. Dia mendakwa tidak pernah memohon geran tersebut, dan seorang pegawai MSF telah membuat dua permohonan bagi pihaknya.

Bagi setiap kesalahan menipu, Tiong boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan