Skip to main content

Singapura

Wanita dihukum penjara kerana atur khidmat layanan seks di SG bagi warga asing

Seorang wanita Indonesia yang datang ke Singapura untuk menemani teman lelakinya menghadiri kes mahkamah, terpalit dalam sebuah kes apabila dia membantu dua wanita lain dalam khidmat layanan seks secara haram.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dihukum penjara kerana atur khidmat layanan seks di SG bagi warga asing

Seorang wanita Indonesia mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan di bawah Piagam Wanita. (Gambar Fail: AFP/Valery Hache)

Diterbitkan : 04 Jul 2025 07:28PM
SINGAPURA: Seorang wanita Indonesia yang datang ke Singapura untuk menemani teman lelakinya menghadiri kes mahkamah, terpalit dalam sebuah kes apabila dia membantu dua wanita lain dalam khidmat layanan seks secara haram.

Audina Dwika Roza, 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Jumaat (4 Jul).

Dia mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan di bawah Piagam Wanita, manakala lima tuduhan lagi dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Audina datang ke Singapura pada April 2024 menggunakan pas lawatan sosial, dengan niat untuk terlibat dalam kegiatan khidmat layanan seks.

Dia kembali ke Singapura pada Oktober 2024 menggunakan pas lawatan sosial untuk menemani teman lelakinya ketika itu, yang dikenali sebagai Randy, dalam prosiding mahkamah jenayah terhadapnya.

Pada 21 Oktober tahun lalu, seorang wanita Indonesia menghubungi Audina selepas pertemuan mereka di sebuah pusat karaoke, sambil berkata dia ingin datang ke Singapura untuk memberi khidmat layanan seks, namun tidak mempunyai wang untuk tiket penerbangan.

Audina berkata dia akan membantunya mengaturkannya.

Dia membahagikan kos tiket dengan seorang rakan, yang memperkenalkannya kepada wanita kedua yang berminat untuk melakukan khidmat layanan seks.

Kedua-dua pekerja khidmat layanan seks itu tiba di Singapura pada lewat Oktober 2024.

Mereka dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Whatsapp bersama Audina dan rakannya, yang dinamakan "Holiday SG".

Dari 22 Oktober hingga 29 Oktober tahun lalu, Audina mengiklankan khidmat layanan seksnya di laman web dan menggunakan nombor telefon berdaftar Singapura untuk pelanggan yang berminat untuk terus menghubunginya.

Dia menyediakan khidmat layanan seks kepada beberapa pelanggan di sebuah bilik hotel dan memperolehi kira-kira S$2,000.

Apabila dua pekerja seks itu tiba di Singapura, Audina berjumpa dan membawa mereka ke sebuah hotel di Dickson Road.

Dia menyuruh mereka untuk menyalin ke "pakaian seksi" supaya dia boleh mengambil gambar mereka bagi platform tersebut.

Audina kemudian mengambil gambar berunsur seksual dua wanita itu dan mengiklankan khidmat mereka secara online.

Dia menghubungi pelanggan melalui Whatsapp atau Telegram dan mengatur pertemuan dengan mereka serta harga yang dirundingkan.

Audina setuju untuk mengambil 30 peratus keuntungan mereka.

Wanita pertama itu mempunyai tujuh pelanggan dan memberi Audina kira-kira $1,300 manakala wanita kedua mempunyai hanya satu pelanggan dan memberinya $500.

Ketiga-tiga mereka ditahan polis pada 30 Oktober tahun lalu di hotel tersebut.

Audina memulangkan jumlah penuh pendapatannya kepada pekerja-pekerja seks tersebut selepas siasatan mula dijalankan.

Wanita yang mempunyai tujuh pelanggan disahkan menghidap penyakit klamidia pada Disember tahun lalu.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara antara tiga bulan dan empat minggu hingga tiga bulan dan enam minggu.

Peguam bela, Riko Isaac dari Amolat & Partners pula memohon hukuman penjara tidak lebih daripada dua bulan.

Beliau berkata Audina datang melawat teman lelakinya, Randy, sekitar 7 Oktober 2024, kerana Randy akan memulakan hukumannya kerana memandu dalam keadaan mabuk sekitar 22 Oktober tahun itu.

Audina sepatutnya pulang ke Indonesia, namun dihubungi oleh pekerja seks pertama yang dikenalinya di Indonesia.

Wanita kedua yang meminta bantuannya untuk bekerja di Singapura sebagai pekerja seks pula berkata pelanggan di Jakarta berkurangan, dan dia dan rakan-rakannya tidak dapat menampung kos sara hidup.

Audina setuju untuk membantu "kerana bersimpati" terhadap kesusahan mereka, kata peguam bela.

Hakim berkata bahawa peranan Audina "bukan kecil", membayar separuh daripada tiket penerbangan untuk salah seorang pekerja seks dan mengambil gambar mereka dan mengiklankan perkhidmatan mereka.

Audina kelihatan mengalirkan air mata semasa perbicaraan.

Dia dibenarkan menangguhkan hukumannya ke Ogos supaya boleh menyelesaikan beberapa perkara untuk anak perempuannya, kerana dia berpisah dengan suaminya.
Sumber : CNA/NI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita