Wanita dihukum penjara 5 bulan, didenda S$920; lacurkan gadis 16 tahun
Sepanjang tempoh empat tahun, seorang wanita mengendalikan syarikat model dan pengiring sosial di mana dia biasanya menguruskan langganan khidmat seks bagi para peragawati termasuk seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun, meraih pendapatan sekitar S$30,000.
(Gambar fail: AFP/Valery Hache)
SINGAPURA: Sepanjang tempoh empat tahun, seorang wanita mengendalikan syarikat model dan pengiring sosial di mana dia biasanya menguruskan langganan khidmat seks bagi para peragawati termasuk seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun, meraih pendapatan sekitar S$30,000.
Farlynda Tan, 38, dikenakan hukuman penjara selama lima bulan dan didenda S$920 pada Jumaat (19 Feb) atas dua tuduhan di bawah Piagam Wanita kerana mendapatkan seorang gadis untuk dijadikan sebagai pelacur dan mengambil kesempatan daripada pendapatannya sebagai pelacur. Dua lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Tan sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang peragawati bebas dan pengiring sosial, sebelum membuka syarikat model dan pengiring sosialnya sendiri, dengan menggunakan nama samaran Alexa dan Elixir Wong.
Dengan menggunakan rangkaian kelab dan pelanggannya, Tan menggajikan peragawati dan pengiring sosial dan memberikan mereka tugas termasuk sebagai pengiring pelanggan lelaki.
Dia tahu bahawa khidmat yang ditawarkannya itu termasuk langganan khidmat seks dan dia memuat naik iklan-iklan di Carousell untuk mendapatkan peragawati.
Tan mengendalikan syarikatnya selama tiga hingga empat tahun, menjana S$30,000 daripada khidmat seks oleh model-model di firmanya itu. Dia menguruskan sekitar dua permintaan sedemikian setiap bulan, mengenakan bayaran antara S$1,300 hingga S$1,500 ke atas setiap pelanggan dan menjana pendapatan sekitar 40 peratus daripada khidmat seks yang ditawarkan itu.
Atas kesalahan mendapatkan seorang gadis bagi tujuan pelacuran dan mengaut keuntungan daripada pelacuran, Tan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.