Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita dihukum penjara 3 minggu; simbah air panas pada bekas teman lelaki

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang wanita dihukum penjara selama tiga minggu pada Isnin (29 Ogos) kerana melecurkan bekas teman lelakinya dengan air panas semasa berlaku pertengkaran.

Shazila Akbar Bacha, 25 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan pada mangsa. Satu lagi tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Shazila dan mangsa yang berusia 31 tahun pernah menjalin hubungan cinta dan hubungan mereka bagaimanapun sudahpun terputus semasa kesalahan itu dilakukan.

Pada 18 Julai 2021, Shazila dan mangsa masing-masing secara berasingan pergi melawat rakan mereka. Mereka terserempak satu sama lain di bahagian koridor di luar flat rakan mereka.

Mereka kemudian mula bertengkar di kawasan tangga berhampiran dengan flat tersebut di mana Shazila kemudian menampar pipi mangsa.

Shazila tidak berpuas hati kerana mangsa membuat beberapa komen yang mendakwa dia tidak pandai menjaga anak lelakinya, dedah Timbalan Pendakwa Raya Chong Kee En.

Dia kemudian masuk ke dapur dan mengisi cawan plastik berwarna jingga suku penuh dengan air panas. Shazila seterusnya mencabar mangsa supaya mengulangi komennya sekali lagi.

Setelah mangsa berbuat demikian Shazila menyimbah air panas itu pada bahagian dada lelaki tersebut sebelum membaling cawan ke lantai.

Mangsa berasa sakit pada bahagian dada dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. Mangsa pergi ke klinik pada keesokan hari dan didapati mengalami kelecuran pada bahagian bawah tulang selangkanya akibat kejadian tersebut.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara dengan alasan Shazila tidak diprovokasi dan dia yang mencabar mangsa supaya mengulangi komennya sebelum menyimbah air panas pada mangsa.

Hukuman bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan adalah hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan