Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita didenda S$5,500; langgar pegawai Certis CISCO dengan e-skuter tidak berdaftar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sedang dia menunggang e-skuter di jalan raya ke tempat kerjanya pada pagi 23 Ogos tahun lalu, Zaharah Sa'at ternampak seorang pegawai polis yang memberi isyarat supaya dia berhenti.

Namun, dia tidak mematuhi arahan itu mahupun memperlahankan e-skuternya. Sebaliknya dia terus menunggang e-skuternya itu dengan percubaan untuk melarikan diri daripada pegawai tersebut kerana takut akan berdepan dengan tindakan penguatkuasaan. Wanita tersebut kemudian terlanggar pegawai tersebut menyebabkan beliau cedera.

Di bawah Akta Mobiliti Aktif, Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMD) seperti skuter elektrik, tidak dibenarkan digunakan di jalan raya atau laluan pejalan kaki.

Pada Selasa (20 Dis), wanita warga Malaysia berusia 67 tahun itu, dikenakan denda sebanyak S$5,500 setelah dia mengaku bersalah atas satu tuduhan setiap satu atas kesalahan menunggang sebuah PMD di jalan raya dan melakukan tindakan terburu-buru yang mengancam keselamatan orang lain. Mangsanya berusia 52 tahun.

Mahkamah diberitahu bahawa wanita tersebut bekerja sebagai pekerja pembersihan ketika insiden tersebut berlaku.

Mangsa Lek Yong Hock, yang bekerja di bawah naungan firma keselamatan Certis Cisco, sedang menjalankan operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan Chua Chu Kang.

Beliau ternampak Zaharah menunggang di Teck Whye Avenue tanpa memakai topi keledar.

Beliau cuba menghentikan Zahara dan berdiri di atas jalan raya, di mana e-skuter tersebut sedang bergerak ke arah beliau.

Zaharah tahu bahawa penggunaan e-skuter di jalan raya tidak dibenarkan. Oleh sebab itu, dia tidak menghentikan atau memperlahankan e-skuternya meskipun sudah diberi isyarat untuk berbuat demikian.

Dia ingin menunggang melalui Encik Lek, tetapi sebaliknya dia terlanggar pegawai berkenaan menyebabkan beliau terjatuh ke belakang sehingga kepalanya terhantuk di lantai.

Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lee memberitahu Mahkamah: "Dia kemudiannya meninggalkan PMD dan melarikan diri dengan berjalan kaki. Dia cuba menaiki bas tetapi kemudiannya dihentikan oleh pegawai-pegawai Certis Cisco dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang lain."

Encik Lek dibawa ke hospital dan diberikan cuti sakit selama lima hari bagi kecederaannya di kepala, rahang, lengan dan betisnya.

Bagi kesalahan menunggang PMD di jalan raya, wanitan itu boleh dikenakan denda sehingga S$2,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan melakukan tindakan terburu-buru yang mengancam keselamatan orang lain, dia boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan