Wanita didenda S$5,000, elak bayar GST beg tangan berjenama
SINGAPURA: Seorang wanita pada Khamis (6 Okt) didenda kerana mengelak daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi beberapa beg tangan berjenama seperti Louis Vuitton dan Loewe.
Teo Hwee Ling, 37 tahun, ditahan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Changi pada 1 Mei semasa pulang ke sini dari Frankfurt.
Mereka memerika barangan di dalam beg kertas yang dibawanya. Teo kemudian dibawa ke pejabat Kastam Singapura di mana dia mengisytiharkan dua beg berjenama untuuk bayaran cukai - satu beg Louis Vuitton dan satu beg Loewe.
"Apabila ditanya oleh seorang pegawai Kastam Singapura untuk menunjukkan invois bagi dua beg itu, Teo mendedahkan beg tangan tersebut adalah hadiah daripada kawannya di Jerman dan dia tidak tahu nilainya," menurut Kastam Singapura dalam satu kenyataan media.
Memandangkan tidak terdapat sebarang dokumen untuk menentukan nilai beg itu, Teo mengisytiharkan secara lisan nilainya sebanyak €1,000 (S$1,470) dan membuat bayaran GST sebanyak S$68.20 selepas menolak pelepasan import GST bagi pelawat.
Memandangkan Teo berada di luar Singapura selama lebih 48 jam, dia diberikan pelepasan GST sebanyak S$500.
Namun, lewat bulan itu, Kastam Singapura menerima maklumat bahawa terdapat percanggahan dalam pengisytiharan Teo dan pembeliannya di luar negara.
"Siasatan menunjukkan bahawa Teo menyembunyikan nilai kedua-dua beg itu yang diisytiharkan sebagai hadiah, walhal ia dibeli Teo dan bernilai sekitar S$5,060," menurut agensi tersebut.
Teo juga gagal mengisytiharkan lima lagi barangan, yang dinilai pada sekitar S$9,240 apabila dia sampai di Singapura pada 1 Mei.
Menurut dokumen mahkamah, barangan itu adalah sepasang kasut Ferragamo, minyak wangi dan kosmetik, beg tangan Longchamp, Chanel dan Louis Vuitton.
Barangan itu tidak diisytiharkan dan dibawa keluar darpada dewan ketibaan dalam bagasinya, menurut Kastam Singapura.
Tambahnya, GST yang sepatutnya dibayar bagi dua beg yang dibeli adalah sekitar S$250 manakala cukai bagi lima barangan yang tidak diisytiharkan pula adalah sekitar S$640.
Nilai keseluruhan tujuh barangan itu adalah lebih S$14,000, menurut dokumen mahkamah.
Teo mengaku bersalah atas satu tuduhan mengelak bayaran GST. Satu lagi tuduhan memberikan maklumat palsu juga diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
"Ia adalah tanggungjawab bagi semua pelawat yang tiba untuk membuat pengisytiharan yang betul dan menyeluruh bagi barang-barang yang dikenakan cukai," menurut Kastam Singapura.
Di bawah Akta Kastam, mereka yang didapati bersalah mengelak daripada membayar GST boleh dikenakan denda sehingga 20 kali jumlah cukai yang dielak, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Enggan menjawab soalan atau memberikan maklumat palsu atau mengemukakan dokumen palsu adalah kesalahan serius di bawah Akta Kastam," menurut agensi tersebut, sambil menambah bahawa pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.