Skip to main content

Singapura

Wanita didenda S$18,000 kerana elak GST; muat naik pembelian barangan mewah di media sosial

Seorang wanita berusia 27 tahun didenda S$18,000 pada Khamis (27 Mac) kerana elak membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi 17 barangan yang diperoleh semasa perjalanan ke luar negara pada tahun lalu.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita didenda S$18,000 kerana elak GST; muat naik pembelian barangan mewah di media sosial

Catatan media sosial yang dimuat naik oleh wanita terbabit, memaparkan pembelian dari luar negara serta cara-cara untuk mengelak GST. (Gambar: Kastam Singapura)

Diterbitkan : 28 Mar 2025 02:42PM Dikemas Kini : 28 Mar 2025 02:43PM
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 27 tahun didenda S$18,000 pada Khamis (27 Mac) kerana elak membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi 17 barangan yang diperoleh semasa perjalanan ke luar negara pada tahun lalu.

Siasatan mendapati bahawa wanita itu dengan sengaja gagal mengisytiharkan dan membayar GST di Lapangan Terbang Changi, menurut Kastam Singapura dalam satu kenyataan media pada Jumaat (28 Mac).

Dia juga menggunakan media sosial untuk berkongsi tentang pembeliannya, termasuk panduan untuk mengelak GST.

Warga warga Singapura itu melakukan perjalanan ke Eropah pada Mei 2024 bersama keluarga dan teman lelakinya.

Semasa bercuti di luar negara, dia membeli beg berjenama, dompet, kasut dan jam tangan serta menerima cincin berlian daripada teman lelakinya, yang membelinya semasa di luar negara.

Apabila dia pulang ke Singapura, wanita itu keluar dari dewan ketibaan melalui Laluan Hijau di Lapangan Terbang Changi tanpa mengisytiharkan barang-barang tersebut.

Dia berbuat demikian walaupun mengetahui bahawa pembeliannya di luar negara melebihi GST bagi pelepasan import, menurut Kastam Singapura.

"Selain itu, dia kemudian berkongsi butiran mengenai pembeliannya di luar negara di media sosial, termasuk cara-cara untuk mengelak pembayaran GST."

Petikan skrin catatan media sosialnya dikongsi oleh Kastam Singapura. Salah satu daripadanya menyertakan gambar cincin di dalam kotak, dengan kapsyen yang menyatakan bahawa ia berharga S$9,500.

Satu lagi catatan memaparkan beg kertas putih bersama "petua terbaik untuk mendapatkan barangan mewah melepasi kastam" dan "cara saya mengelakkan 9 peratus GST @ SG Customs".

Susulan siasatan yang dijalankan, Kastam Singapura memberkas dan mendakwa wanita itu dengan satu tuduhan mengelak cukai GST.

Nilai barangnya yang tidak diisytiharkan berjumlah S$25,350.92 selepas ditolak pelepasan GST. GST yang dielakkan ialah S$2,281.58, yang telah diperoleh semula.

Kastam Singapura menegaskan bahawa mengelak cukai atau GST di pusat pemeriksaan adalah satu kesalahan yang serius.

“Pendapatan ini adalah milik Singapura, dan kutipannya penting untuk mengekalkan kedudukan yang sama bagi perniagaan tempatan yang membayar cukai ini,” tambahnya.

Para pelancong boleh mengisytiharkan dan membayar GST di pusat pemeriksaan sama ada secara fizikal atau melalui aplikasi web Customs@SG.

Di bawah Akta Kastam, sesiapa yang didapati bersalah melakukan penipuan dengan mengelak GST boleh didenda sehingga 20 kali ganda jumlah cukai yang dielakkan, hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita