Wanita didenda S$4,000, buang 16 kucing di Punggol
Seorang wanita didenda S$4,000 pada Rabu (17 Feb) dan dilarang membela sebarang haiwan peliharaan selama setahun setelah dia meninggalkan 16 kucing yang dipeliharanya dekat flatnya di Punggol.
(Gambar: Facebook/Junelle Koh)
SINGAPURA: Seorang wanita didenda S$4,000 pada Rabu (17 Feb) dan dilarang membela sebarang haiwan peliharaan selama setahun setelah dia meninggalkan 16 kucing yang dipeliharanya dekat flatnya di Punggol.
Nur Hajjar Osman, 35 tahun, mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung kerana menyebabkan kucing peliharaannya ditinggalkan dengan mengarahkan seorang lelaki supaya bantu melepaskan haiwan berkenaan. 14 lagi tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Nur Hajjar memelihara 16 ekor kucing di sebuah flat di Sumang Walk. Pada lewat Februari 2019, dia meminta tertuduh bersama, Muhammad Haidhar Zulkifli untuk bantu melepaskan kucing-kucing itu kerana dia "tidak dapat lagi menjaganya".
Haidhar bersetuju dan tiba di flatnya pada pukul 1.00 pagi pada 1 Mac 2019. Dia membawa turun kucing-kucing itu menggunakan lima sangkar dan memasukkannya ke sebuah lori yang dipinjam.
Setelah memandu mengelilingi kawasan itu, dia memutuskan untuk meninggalkan kucing itu di sebuah blok di Sumang Lane. Setelah melepaskan kucing-kucing tersebut, Haidhar memandu pergi.
Semua 16 kucing itu diselamatkan, kata pihak pendakwa. Beliau memohon bagi denda sebanyak S$4,000 dan bagi Nur Hajjar dilarang daripada memelihara sebarang haiwan selama setahun.
"Perbuatannya tidak boleh diterima sama sekali dan jelas menunjukkan bahawa dia melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang pemilik haiwan peliharaan," katanya.
"Pemilik haiwan peliharaan harus tahu bahawa haiwan-haiwan peliharaan tidak mungkin dapat bertahan sendirian jika ia tidak diselamatkan."
Beliau menambah bahawa "tidak ada alasan bagi sesiapa untuk meninggalkan haiwan peliharaan mereka".
"Haiwan peliharaan perlu dijaga seumur hidup," katanya.
Nur Hajjar memohon bagi denda ringan sambil berkata dia bekerja secara separuh masa dan hanya mempunyai S$2,000.
Haidhar berdepan tuduhan serupa dan dijangka mengaku bersalah pada bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.