Wanita didenda kerana suruh amah panjat perancah bersihkan tingkap
Wanita gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat bagi dua orang pembantu rumah

Bahagian luar tingkap rumah banglo dua tingkat di mana para pembantu rumah ditugaskan untuk membersih. (Gambar: MOM)
SINGAPURA: Seorang wanita yang gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat bagi dua orang pembantu rumah dan menggajikan mereka sebagai seorang pembina perancah dan kakitangan penyenggaraan secara haram didenda S$46,000, hari ini (8 Ogos).
Willow Phua Brest, 46 tahun, mengaku bersalah semalam, atas empat dakwaan mencabuli syarat-syarat permit kerja dan satu dakwaan menggajikan pekerja secara haram. Lagi lima dakwaan serupa dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Kesemua kesalahan dilakukan pada Oktober tahun lalu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerusi satu kenyataan media.
Phua membenarkan para pembantu rumahnya untuk membersihkan bahagian luar tingkap rumah banglo dua tingkat yang terletak di Cluny Park, pada empat insiden yang berasingan.
Mereka perlu berdiri di perancah berbentuk L, setinggi tujuh meter di luar bangunan utama banglo itu bagi membersihkan tingkap yang tidak dipasang jeriji.
Menurut MOM, tindakan sedemikian seharusnya dilakukan oleh penyedia khidmat dan Phua membahayakan nyawa para pembantu rumahnya.
Kedua-dua pembantu rumah berkenaan berhenti bekerja dengan Phua dengan salah seorang diletakkan di bawah skim kerja sementara dan bekerja untuk seorang majikan baru, manakala seorang lagi sudah pulang ke negara asalnya.
Phua boleh didenda sehingga S$10,000 dan dihukum penjara 12 bulan bagi setiap tuduhan gagal menjaga keselamatan sekitaran kerja para pembantu rumahnya.
Bagi menggajikan kakitangan secara haram, Phua boleh didenda sehingga S$30,000 dan dipenjara sehingga 12 bulan. Para pesalah juga tidak dibenarkan menggajikan para pembantu rumah di masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.