Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita didenda kerana enggan pakai pelitup semasa pandemik COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang wanita didenda S$9,200 pada Isnin (24 Jun) kerana gagal memakai pelitup dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap duta jarak selamat semasa pandemik COVID-19.

Clariel Griffin, warga Singapura berusia 49 tahun, melanggar peraturan COVID-19 pada September 2021 di Marina Bay Sands (MBS), bersama suaminya, rakyat Britain Clive Ainsley Griffin.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan gagal memakai pelitup, dan satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap kakitangan awam, dengan pertuduhan ketiga menyebabkan gangguan awam diambil kira.

Griffin dan suaminya makan malam dan minum arak di Dallas Bar di MBS bersama sekumpulan rakan mereka pada 11 Sep 2021.

Kumpulan itu tidak menghabiskan minuman mereka walaupun dua kali diberi peringatan untuk berbuat demikian, kerana pengambilan alkohol tidak dibenarkan selepas jam 10.30 malam.

Pada kira-kira 10.30 malam, pemilik bar itu melihat duta jarak selamat melakukan rondaan di kawasan itu untuk memastikan tiada minuman keras diminum melepasi masa yang dibenarkan, dan memberitahu salah seorang daripada mereka tentang isu yang dihadapinya.

Pasangan Griffin itu meninggalkan bar, tetapi dilihat berjalan tanpa memakai pelitup di MBS oleh duta jarak selamat.

Walaupun diminta memakai pelitup, pasangan itu enggan berbuat demikian. Pada masa itu, memakai pelitup di tempat awam adalah wajib kerana pandemik COVID-19.

Salah seorang duta kemudian mengeluarkan telefonnya dan merakam kejadian itu.

Mahkamah diberitahu bahawa Griffin menjawab kepada duta itu dengan mengeluarkan kata kesat bahawa dia "tidak peduli *** (mengenai peraturan)", dan dia tidak akan menjalani kehidupannya seperti itu.

Dia kemudian mengejek duta itu dengan memintanya merakam dan "menangkap (dia)" kerana tidak memakai pelitup.

Semasa kejadian ini, Griffin menarik pelitup duta jarak selamat itu tanpa persetujuannya.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Griffin terus berjalan dengan sangat dekat ke arah duta, memaksanya untuk berundur untuk mengelak daripada dilanggar.

Pihak pendakwa memohon denda S$1,200 dan penjara satu hingga dua minggu. Suami Griffin juga telah didenda S$1,200 kerana peranannya dalam kes itu.

Atas kesalahan gagal memakai pelitup di khalayak ramai tanpa alasan yang munasabah, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Dia juga boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali, kerana menggunakan kekerasan jenayah ke atas kakitangan awam.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan