Wanita didenda buang 4 kucing peliharaan kerana khuatir boleh dijangkiti COVID-19
Disebabkan khuatir empat ekor kucing peliharaannya boleh merebakkan virus COVID-19 kepada keluarganya, seorang wanita bertindak meninggalkan haiwan-haiwan peliharaannya itu di peti surat sebuah blok di Marsiling.
SINGAPURA: Disebabkan khuatir empat ekor kucing peliharaannya boleh merebakkan virus COVID-19 kepada keluarganya, seorang wanita bertindak meninggalkan haiwan-haiwan peliharaannya itu di peti surat sebuah blok di Marsiling.
Pada Rabu (6 Jan), Zariyah yang berusia 45 tahun, didenda S$4,000 dan dilarang memiliki haiwan peliharaan selama enam bulan atas dua tuduhan dengan sengaja membuang haiwan di bawah Akta Haiwan dan Burung.
Dua tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Zariyah membela kucing-kucing berkenaan di rumahnya namun memutuskan untuk membuang haiwan-haiwan itu kerana pandemik COVID-19. Ini kerana dia menjangka keluarganya boleh dijangkiti COVID-19 melalui kucing-kucing peliharaannya itu.
Pada kira-kira pukul 9.00 malam pada 28 Mac tahun lalu, seorang individu yang lalu di sebuah blok di Marsiling melihat Zariyah melepaskan empat ekor kucing dari sangkarnya di kawasan peti surat di Blok 31, Marsiling Drive.
Kucing-kucing itu mengiau dengan kuat dan menarik perhatian orang ramai yang bertanya kepada Zariyah sebab dia melepaskan kucing-kucing tersebut.
Zariyah menjawab bahawa dia tidak dapat menjaga kucing-kucing itu lalu meninggalkan tempat tersebut. Dua ekor kucing itu diambil mereka yang berada di situ, sementara lagi dua diambil oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Singapura (SPCA).
Satu aduan dibuat kepada Lembaga Taman Negara dan Zariyah mengaku membuang haiwan-haiwan berkenaan. Dia tidak berkata apa-apa sebagai rayuan pada Rabu.
Pihak pendakwa memohon hukuman denda S$4,000 dan larangan selama enam bulan dari memelihara sebarang haiwan.
Mahkamah bertanya Zariyah jika dia menjaga sebarang haiwan peliharaan buat masa ini supaya dapat diberi masa untuk mencari penjaga baru. Zariyah menjawab tidak.
Bagi setiap tuduhan membuang seekor haiwan, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga S$10,000 dan dilarang daripada menjaga haiwan peliharaan sehingga setahun.
Seorang pakar epidemiologi Pertubuhan Kesihatan Dunia berkata pada April tahun lalu bahawa haiwan-haiwan peliharaan dipercayai tidak mempunyai peranan dalam penularan virus itu kepada manusia, namun mungkin dapat dijangkiti dari pemilik mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.